Memaparkan catatan dengan label sayang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sayang. Papar semua catatan

Ahad, November 22, 2009

LELAKI BOLEH SERTAI SKUAD SAYANG


Wanita Umno memberi peluang kepada sesiapa sahaja termasuk lelaki untuk menganggotai Skuad Sayang bagi membantu pergerakan itu melaksanakan kerja kebajikan dan sukarelawan.

Ketua Pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun Skuad Sayang berada di bawah naungan Wanita Umno, pergerakan itu mengalukan-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertainya.

"Sesiapa juga boleh menyertai Skuad Sayang, walaupun ia berada di bawah naungan Wanita Umno tetapi kerja-kerja amal yang kita buat merentasi ideologi politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Rakyat Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno di Balai Raya Kampung Janda Baik di sini, hari Sabtu.

Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan bantuan selimut dan beg sekolah kepada 158 penduduk Kampung Janda Baik.

Beliau berkata Skuad Sayang itu ditubuhkan baru-baru ini bagi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno yang mahu melihat adanya peningkatan semangat sukarelawan dalam membuat kerja kebajikan dan membantu orang lain.

Shahrizat berkata menerusi Skuad Sayang, yang kini mempunyai 19 cawangan, semangat sukarelawan dapat dihidupkan semula kerana ia sebahagian budaya masyarakat Malaysia.

"Skuad Sayang ini bukan hanya tertumpu kepada masa-masa bencana, tetapi kita ada program tiap-tiap minggu, tumpuan kita adalah pada masyarakat miskin, sakit dan yang memerlukan bantuan".

Khamis, Februari 26, 2009

KALAU SAYANG BM, JANGAN UNDI MUKHRIZ


Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

"Saya sudah umumkan dulu, saya bukan Sasterawan Negara, saya lebih senang dipanggil sasterawan rakyat," katanya pada sidang akhbar bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di sini semalam.

Sidang akhbar tersebut diadakan sempena 'road show' anjuran GMP di negeri ini untuk menghimpunkan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di depan Istana Negara, Kuala Lumpur, 7 Mac ini.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, beliau tidak akan berhenti menegur semua pihak terutama dalam isu bahasa walaupun mengetahui kebenaran itu perit.

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran yang masih mempertahankan PPSMI seolah-olah tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri untuk menjadi medium bagi rakyat menimba ilmu.

Justeru itu, jelas beliau, perjuangan untuk meyakinkan kerajaan akan diteruskan dan semua pihak tidak perlu memandang serong tindakannya berada di atas pentas Pas bagi mempertahankan bahasa Melayu.

"Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas, apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik, tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan," katanya.

Sekiranya kerajaan masih berdegil, beliau meminta rakyat supaya menggunakan kuasa untuk menterjemahkan ketika pilihan raya dengan mengundi menolak pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

Siapa yang kuatkuasakan dasar belajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris ini? Tun Dr. Mahathir. Oleh itu para perwakilan pemuda UMNO yang sayang kepada Bahasa Melayu jangan undi anaknya, Datuk Mukhriz yang bertanding kerusi ketua pemuda UMNO Malaysia pada bulan depan. Tunjukkanlah undi protes anda terhadap dasar Mahathir itu dengan mengundi calon lain sebagai ketua pemuda.

Jika anda tetap mengundi Mukhriz maknanya anda merestui yang apa Dr. Mahathir buat kepada bahasa Melayu anda. Sedangkan orang lain bangga dengan bahasa sendiri tetapi kita merojakkan bahasa kita dengan belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.

Rabu, Februari 25, 2009

IBRAHIM ALI MEMANG SAYANG PADA UMNO


Datuk Ibrahim Ali, ahli parlimen Bebas memang sayang kepada UMNO tetapi UMNO tak sayang kepadanya. UMNO buangnya sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Pasir Mas di zaman Datuk Mustapha Mohamad jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Selepas itu UMNO Kelantan diketuai oleh Tan Sri Anuar Musa. Ibrahim masih di luar UMNO. Oleh kerana Ibrahim menyertai pilihan raya kecil Pengkalan Pasir sebagai calon Bebas, maka beliau dipecat dari UMNO serta merta. Malah ada pertairan dalam UMNO yang mengatakan sesiapa yang bertanding sebagai calon Bebas menentang calon BN akan dipecat ahli UMNO seumur hiudp.

Jika UMNO mahu menerima semula Ibrahim, maka peraturan ini perlu dipinda terlebih dahulu. Jika tidak orang akan pertikai kenapa kelonggaran diberi kepada Ibrahim yang pernah menentang UMNO.

Pada tahun 1982 Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Pemuda Berjasa menyertai UMNO dan beliau menang sebagai Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas. Pada masa yang sama beliau menang Exco Pemuda UMNO Malaysia. Beliau dikatakan membawa Anwar Ibrahim menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai UMNO. Ku Li yang membawa Anwar bertemu dengan Dr. Mahathir Mohamad dan akhirnya Anwar bersetuju menyertai UMNO gara-gara inisiatif Ibrahim Ali ini.

Ketika itu Ku Li mahu mengimbangi pengaruh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin yang menyokong Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Anwar dibawa masuk ke UMNO untuk menumbangkan Haji Suhaimi. Maka kalahlah Haji Suhaimi pada 9 September 1982.

Pada tahun 1982 Ibrahim tidak diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Beliau diberi peluang bertanding buat kali pertama pada tahun 1986 dan menang. Beliau yang setia dengan Ku Li menyertai Semangat 46 dan berjaya mengekalkan kerusi Pasir Mas pada pilihan raya umum 1990 di atas tiket Semangat 46.

Menjelang pilihan raya umum 1995, beliau melompat ke dalam UMNO dan meninggalkan Ku Li. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau gagal mempertahankan kerusi parlimen Pasir Mas.
Sekali lagi beliau gagal merebut kerusi semula Pasir Mas pada tahun 1999.

Pada tahun 2004 beliau masih bersama UMNO. Tetapi akhirnya dipecat dari UMNO apabila digugurkan oleh Tok Pa sebagai Ketua Penaja UMNO bahagian Pasir Mas.

Pada tahun 2008, Ibrahim Ali cerdik. Beliau berunding dengan PAS dan sebagai calon Bebas beliau menggunakan lambang PAS untuk bertanding. Maka dapatlah beliau kembali ke parlimen. Sebagai ahli parlimen Bebas beliau bebas mengkritik tidak kira parti BN atau parti pembangkang. Itu yang menimbulkan kemarahan ahli-ahli PAS kononnya beliau tidak mengenang budi Nik Aziz yang memberi laluan kepadanya bertanding di Pasir Mas.

Ibrahim kini didesak oleh orang PAS untuk mengosongkan kerusi Pasir Mas. Ini menimbulkan minat UMNO Kelantan untuk mempelawa Ibrahim masuk UMNO semula. Halangannya ialah UMNO sudah buat peraturan bahawa sesiapa ahli UMNO yang bertanding sebagai calon Bebas tidak akan diterima menyertai semula UMNO seumur hidup. Maka untuk membenarkan Ibrahim Ali menyertai UMNO, maka halangan ini perlu dipinda.

Sebagai ahli parlimen, Ibrahim gigih bekerja untuk rakyat Pasir Mas. Walaupun beliau tidak dapat peruntukan dari kerajaan, Ibrahim mampu menghidupkan aktivitinya di dalam kawasannya. Beliau seringkali membantu rakyatnya menulis surat sokongan kepada rakyat yang diwakilinya walaupun surat itu belum tentu dilayan oleh menteri-menteri UMNO yang merupakan kawan lamanya.

Ibrahim menunggu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO, barulah beliau akan menyertai semula UMNO. Cintanya kepada UMNO tidak perlu dipertikai lagi walaupun beliau kini adalah ahli parlimen Bebas dan seperti katanya beliau sedia menyertai UMNO dengan syarat beliau boleh kekalkan kelantangannya menegur para pemimpin UMNO.