Selasa, Februari 12, 2019

MALAYSIA PERLU BELAJAR DARI ESTONIA DALAM PENGDIGITALAN

DUBAI, 11 Feb (Bernama) -- Adalah perkara biasa untuk menyaksikan negara membangun seperti Malaysia sering melihat kepada negara-negara maju dari segi untuk mendapatkan kepakaran berkaitan pembinaan negara, pendigitalan dan inovasi.

Walaupun negara kita tidak jauh ketinggalan dalam bidang berkenaan, Malaysia masih ketinggalan dari segi menyelaraskan atau memanfaatkan sepenuhnya kepakaran berkenaan disebalik penembusan telefon pintar dalam kalangan populasinya pada kadar 65.14 peratus setakat 2018.

Sebagai contoh, negara kita tidak mempunyai platform tunggal bagi semua perkhidmatan kerajaan.

Misalnya, malah proses mudah untuk membayar kompaun atau perkhidmatan majlis perbandaran adalah rumit kerana setiap aplikasi mempunyai 'gateway” tersendiri. Bayangkan kesulitan yang seseorang itu perlu harungi.

Selain kesulitan dihadapi, mendapati bahawa "gateway" itu tidak dilindungi atau tidak berfungsi pada platform tertentu selepas melalui proses menjerihkan untuk membuat akaun, turut mempunyai kisahnya sendiri.

Saya sentiasa tertanya-tanya kenapa begitu Ini kerana negara kita bukannya tidak mempunyai golongan cerdik pandai atau teknologi yang perlu

Oleh itu, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila saya mendapati Estonia, sebuah negara kecil dan kurang dikenali, sekurang-kurangnya bagi diri saya, begitu gah dalam dunia pendigitalan.

Anda pasti sukar percaya apabila saya katakan bahawa negara yang terletak di utara Eropah ini, bersempadan dengan Laut Baltik dan Teluk Finland, merupakan masyarakat paling mahir digital di dunia.

Di Estonia, 99 peratus perkhidmatan awam seperti mengundi, rekod kesihatan dan cukai boleh dilakukan secara dalam talian.

"Kami sudah sampai ke tahap di mana negara kami sering digelar e-Estonia," kata Perdana Menteri Juri Ratas dengan penuh rasa bangga pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia yang baru berakhir di sini.

Sebagai perdana menteri, setiap hari beliau menandatangani puluhan dokumen rasmi kerajaan secara digital dengan menggunakan telefon bimbitnya.

"Menurunkan tanda tangan secara digital dapat menjimatkan sekurang-kurangnya lima hari perniagaan dalam setahun bagi setiap pekerja di Estonia, bersamaan dengan kadar kecekapan bagi sekurang-kurangnya dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, setahun,” katanya.

Walaupun tiada siapa dapat menafikan tugas besar yang perlu dilakukan untuk mewujudkan aspek teknikal seperti penebusan digital secara meluas dan pada kadar tinggi, orang ramai juga akan berhujah bahawa adalah lebih mudah untuk sebuah negara dengan populasi 1.3 juta orang, tetapi akan lebih rumit apabila anda perlu berurusan dengan populasi lebih besar sebanyak 30 juta orang.

Ratas mempunyai jawapannya.

Beliau berkata komponen paling penting bagi masyarakat digital sebenar adalah "mempunyai minda terbuka dan percaya kepada penyelesaian digital".

"Percaya adalah elemen utama. Menggunakan teknologi memerlukan kepercayaan pengguna, tetapi teknologi juga dapat membantu anda membina kepercayaan. Sebagai pengguna, saya mahu kepastian bahawa data saya adalah selamat dan terjamin dan saya ada kawalan ke atasnya," katanya dan menurutnya Estonia telah menggunakan blockchain sejak 2012 untuk memastikan integriti data log fail.

Beliau seterusnya berkata setiap warganegara di Estonia boleh mendapat tahu siapa yang telah melihat data mereka.

“Kami telah membina ciri-ciri itu dalam perkhidmatan penting dan kritikal kami. Sebagai contoh, saya boleh melihat apabila seorang doktor memeriksa rekod kesihatan elektronik saya dan saya boleh bertanya (kepada beliau) akan sebabnya," katanya.

Ratas turut mempunyai pandangan yang seimbang akan perkara itu.

Beliau memberi amaran tentang serangan siber dan kerajaan perlu menjaga dan melindungi ruang siber sebagaimana ia menjaga keselamatan di jalan-jalan.

Ancaman sebegitu adalah perkara biasa dan sesuatu yang perlu ditangani kerana negara akan mendapat lebih banyak manfaat dengan menggunakan platform digital seperti pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, tadbir urus lebih baik dan masyarakat yang lebih saling berhubung.

Ketika Malaysia beraspirasi untuk melakar kemajuan besar dalam ekonomi digital, mungkin ini merupakan sesuatu yang kita boleh belajar daripada Estonia atau boleh saya gelar "E-Estonia."

-- BERNAMA