Jumaat, September 07, 2018

TINDAKAN ROTAN MAHKAMAH SYARIAH TIDAK SEKERAS ROTAN MAHKAMAH SIVIL

KOTA BHARU, 6 Sept (Bernama) -- Tindakan hukuman sebat yang dikenakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu ke atas dua wanita, masing-masing berumur 32 dan 22 tahun, baru-baru ini seharusnya tidak dipertikaikan.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata ia keputusan mahkamah yang perlu dihormati seperti mana prosedur dijalankan oleh mahkamah sivil.

"Tindakan rotan oleh mahkamah sivil jauh lebih keras berbanding mahkamah syariah tetapi tiada pertikaian berlaku, malah tindakan pertikai hukuman yang ditetapkan dianggap menghina mahkamah.

"Kenapa tindakan mempertikai hukuman mahkamah syariah tidak dilihat dalam pandangan sama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan barisan Kabinet hari ini yang disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa adalah penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis dengan hukuman berat menanti umatnya yang melakukan kesalahan.