Isnin, Ogos 05, 2013

LIM GUAN ENG DIGESA BERUNDUR

Lim Guan Eng digesa segera berundur daripada jawatan Setiausaha Agung DAP selepas dikatakan gagal mengendalikan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu. Pengerusi Biro Antarabangsa Institusi Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Guan Eng juga dilihat gagal menjawab beberapa isu termasuk dakwaan terdapat 547 perwakilan 'haram' yang dibawa masuk ke dalam mesyuarat pemilihan itu. "Kini ramai ahli DAP sendiri sudah muak dengan sikap angkuh beliau serta tipu dusta yang digunakan untuk menarik sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. "Taktik pembohongan yang digunakan Guan Eng untuk kekal berkuasa itu tidak boleh dibiarkan dan adalah lebih baik untuk beliau melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung dan juga Ketua Menteri secara baik," katanya di sini hari ini. Guan Eng sebelum ini cuba berdolak-dalik dalam menyelesaikan kemelut pemilihan CEC dengan mengenakan dua syarat baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas diberikan arahan agar pemilihan parti tersebut perlu diadakan semula. Dua syarat berkenaan adalah ROS perlu mengemukakan alasan munasabah kenapa tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan DAP berhubung pemilihan CEC pada Disember lalu dan kedua, apakah peruntukan yang diguna pakai oleh pertubuhan tersebut dalam mengeluarkan arahannya. Mengulas lanjut, Fakhrul Azman memberitahu, semua orang tahu tentang pembohongan yang dilakukan oleh Guan Eng berhubung isi kandungan sebenar surat ROS bertarikh 17 April 2013. "Selain itu, dia juga perlu menjelaskan dakwaan bahawa perwakilan haram itu hanya disuruh mengundi enam calon tertentu sahaja dan bukan 20 calon semasa pemilihan CEC," ujarnya.