Isnin, November 08, 2010

UMNO PATUT CONTOHI GERAKAN


UMNO sebagai tulang belakang BN perlu mencontohi salah satu parti komponennya, Gerakan yang akan memperkenalkan calon pada tahun hadapan. Oleh kerana pilihanraya umum dijangka diadakan pada tahun 2012 langkah Gerakan memperkenalkan calon lebih awal wajar dicontohi oleh semua parti komponen.

Dengan ini bakal calon boleh bekerja kuat di kawasan masing-masing supaya para pengundi mengenali mereka dengan lebih dekat. Apa yang berlaku calon kalah kerana para pengundi tidak kenali mereka. Apatalah lagi untuk memperkenalkan calon baru dalam masa 10 hari agak sukar melainkan pengundi memilih parti dan bukannya memilih calon.

Parti Gerakan akan mengenal pasti dan memperkenalkan calon-calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Tahun Baru Cina, Februari tahun depan.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Gerakan telah melancarkan jentera parti untuk menjelajah ke seluruh negara sejak empat bulan lalu bagi bertemu dan mendengar suara hati pemimpin negeri dan peringkat akar umbi.

Jelasnya, melalui pertemuan tersebut, pengurusan parti akan membuat penilaian awal berhubung kedudukan politik semasa di setiap negeri.

"Bagaimanapun, banyak lagi harus diusahakan, kita akan melawat semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kami dalam tempoh tiga bulan ini bagi menilai prestasi wakil-wakil rakyat dan penyelaras sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Tsu Koon menegaskan, beliau tidak mahu ahli Gerakan melobi secara berlebihan untuk menjadi calon.

"Ini kerana penilaian dan pemilihan akan berdasarkan komitmen, integriti, kebolehan, prestasi dan faktor boleh menang," katanya.

Tambahnya, walaupun sokongan penduduk luar bandar, orang Melayu dan India mula kembali kepada Barisan Nasional (BN), beliau mendapati keyakinan pengundi di bandar dan kaum Cina masih belum pulih sepenuhnya.

Sehubungan itu, katanya, semua parti komponen BN perlu berusaha lagi untuk menyakinkan semula pengundi dan masyarakat Cina di negara ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Tsu Koon menegaskan, tindakan Gerakan mengenal pasti dan memperkenalkan calon itu tidak bercanggah dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya kerusi tradisi sesebuah parti komponen perlu diserahkan kepada parti lain jika mereka tiada peluang untuk menang.

Menurut Tsu Koon, cadangan Ahmad Zahid itu adalah pandangan peribadi yang belum dibincangkan di peringkat BN.