Khamis, Julai 26, 2018

PEGUAM NEGARA TARIK BALIK KES RASUAH LIM GUAN ENG?

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya badan itu akan menarik dua pertuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini.

SPRM, dalam kenyataan, memberitahu suruhanjaya itu tu tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara seumpama itu bagi mana-mana kes pendakwaan sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara.

Sebuah portal memetik laporan China Press yang melaporkan bahawa SPRM berkemungkinan akan menarik balik dua pertuduhan terhadap Lim apabila perbicaraan kes rasuah Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, pada 30 Julai ini.

Lim didakwa dengan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran di Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri negeri itu.

Lim mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut.