Jumaat, Januari 29, 2016

MUKHRIZ PERLU BERJIWA BESAR

Bagi mengelakkan kemelut politik Kedah berlarutan, seorang penganalisis politik berpendapat adalah lebih baik bagi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir memilih untuk berjiwa besar dengan mengutamakan perpaduan UMNO dan kepentingan parti.

 Penyandang Kursi Tun Abdul Razak dan Professor Pelawat Sains Politik di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Prof Dr Jayum Jawan berkata langkah terbaik yang wajar diambil oleh Mukhriz bagi menyelesaikan pergolakan politik di Kedah adalah dengan meletak jawatannya sebagai Menteri Besar.

 "Langkah itu (meletak jawatan) secara langsung dapat mempertahankan maruah dan integriti Mukhriz sebagai seorang pemimpin kerana sudah jelas beliau tidak mendapat sokongan daripada semua (ketua) UMNO Bahagian di Kedah," katanya kepada Bernama.

 Sejak 20 Jan lepas, suasana politik di Kedah 'panas' apabila Mukhriz menerima tekanan daripada barisan kepimpinan UMNO Kedah yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. 

Jayum, yang juga Timbalan Ketua Kluster (Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa) Majlis Profesor Negara, berkata kesediaan Mukhriz untuk menjaga kepentingan parti seiring dengan pendiriannya sebelum ini yang menegaskan bahawa beliau akan tetap setia kepada UMNO. Mukhriz, yang juga ADUN Ayer Hitam, turut dilaporkan bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan membabitkan dirinya. -- BERNAMA