Khamis, Ogos 06, 2009

RONNIE LIU PERLU DIPECAT EXCO


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu perlu digugurkan segera daripada barisan Exco Selangor kerana beliau sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan negeri itu.


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menganggap desakan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali ke atas Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan semalam adalah tepat.


"Sekiranya beliau (Liu) enggan meletakkan jawatan, saya mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengambil langkah segera menggugurkan Liu daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Ini perlu dilakukan sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan kerajaan pakatan pula," katanya dalam laman blog beliau http://zul4kulim.blogspot.com/.


Hassan semalam mendesak portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu ditarik balik berikutan beberapa aduan mengenai tindakannya membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu, yang mempertikaikan keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas.


Tambah Hassan, ini termasuk dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway beberapa hari lalu.


Zulkifli yang terkenal dengan pendirian tegasnya dalam isu melibatkan umat Islam membuat saranan itu dalam entri terbarunya berkaitan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Desakan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebelum ini dipercayai kerana terdapat persepsi masyarakat umum khususnya di kalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, 'jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!!'.


"Hari ini (semalam) Dr. Hassan Ali dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya Liu digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum," jelasnya.