Selasa, Mac 03, 2009

JANGAN GANGGU MAHASISWA


Parti-parti politik diminta tidak mengganggu atau mempengaruhi persatuan-persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi mengelak berlakunya perpecahan di kalangan pelajar.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, campur tangan parti-parti politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang hanya akan mengeruhkan keadaan dan memecah-belahkan perpaduan mahasiswa.

Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan persatuan mahasiswa kini turut terbabit dengan isu-isu sensitif mengenai agama, perkauman dan bahasa yang boleh mewujudkan polarisasi di kalangan mereka.

''Biarkan persatuan mahasiswa bergerak tanpa pengaruh luar, biar mereka pilih haluan sendiri agar mereka dapat membentuk jati diri sendiri," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya di sini semalam.

Beliau menambah, campur tangan parti-parti politik hanya menjadikan persatuan mahasiswa kaku dan lesu jika dibandingkan dengan persatuan mahasiswa dahulu terutama pada era 70-an.

"Pada era saya, pemimpin dan kepimpinan pelajar di IPTA juga tidak memihak kepada mana-mana parti politik di luar kampus, kami berjuang ikut aspirasi dan misi kami sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

"Kami bertindak menentang kerajaan bukan kerana menjadi boneka kepada sesiapa, kami membangkang, menentang dan buat tuntutan semata-mata demi kepentingan seluruh pelajar," katanya.

Ibrahim adalah bekas Presiden Kesatuan Siswazah ITM dan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia pada era 70-an.

Jelas beliau, perjuangan persatuan mahasiswa pada eranya tidak berpaksi pada sesiapa kerana mahasiswa ketika itu bukan sahaja tidak sehaluan dengan kerajaan, tetapi juga tidak sehaluan dengan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau juga meminta kepada persatuan-persatuan mahasiswa di IPTA agar mengelak daripada mengaitkan diri dengan mana-mana parti politik dan perlu bersifat neutral.

"Saya beranggapan bahawa corak perjuangan mahasiswa Islam Malaysia ketika ini seolah-olah sudah menjadi 'ideology based' atau bertukar menjadi perjuangan berasaskan ideologi siasah di luar kampus.

"Pada saya, perubahan paksi perjuangan yang 'ideology based' ini boleh menyebabkan perpecahan di kalangan generasi muda Islam di peringkat IPTA," katanya.

Menurutnya, perjuangan persatuan mahasiswa hari ini yang banyak berasaskan ideologi politik tertentu adalah sesuatu yang kurang sihat.

Selain menumpukan pada masalah tempatan, beliau juga menyarankan agar persatuan mahasiswa memberikan juga perhatian terhadap isu antarabangsa terutama yang melibatkan dunia Islam kini.

"Abad ke-21 adalah abad yang amat mencabar kepada agama Islam, dunia Islam dan umat Islam di serata dunia. Cabaran global ini menuntut umat Islam sejagat untuk mengeratkan perpaduan dan mengukuhkan tekad perjuangan biar menjadi sangat tajam, fokus dan berwibawa," katanya.

BUMIPUTRAISME TAK SAMA DENGAN APARTEID


Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyelar pihak yang menyamakan ‘bumiputeraisme’ dengan dasar aparteid sebagai cuba meniup sentimen perkauman sekali gus memecahbelahkan perpaduan masyarakat di negara ini

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini pihak pembangkang sering mengungkit serta mempersoalkan isu-isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan ini secara tidak langsung menjurus ke arah perpecahan kaum.

“Jangan samakan dasar aparteid dengan hak keistimewaan bumiputera kerana aparteid merupakan dasar yang menindas orang kulit hitam di Afrika Selatan.

“Sedangkan hak keistimewaan bumiputera merupakan dasar yang tidak pernah menindas serta menzalimi kaum lain di negara ini. Dasar berkenaan hanyalah memberi kelebihan dalam membela nasib bumiputera terutamanya golongan miskin,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Paroi semalam.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr. Boo Cheng Hau membuat kenyataan yang menimbulkan kontroversi apabila menyamakan pemikiran membantu bumiputera dengan dasar aparteid.

Khairy mencabar pihak pembangkang menunjukkan persamaan antara kedua-dua dasar tersebut.

“Saya nak beri amaran kepada pihak pembangkang, jangan tiup sentimen perkauman dan jangan bertindak dengan cara yang tidak bertanggungjawab kerana ia akan membangkitkan kemarahan orang Melayu.

“Kita dalam Barisan Nasional (BN) ingin menjaga keharmonian negara tetapi sekarang pihak pembangkang seolah-olah seperti mahu menghancurkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, masalah perpecahan kaum di negara ini mungkin tidak dapat dibendung sekiranya pembangkang terus membangkitkan isu-isu sensitif.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa usaha membantu golongan miskin hanya diberikan kepada golongan bumiputera, Khairy memberitahu antara matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah membasmi kemiskinan di negara ini secara menyeluruh tanpa mengira kaum.