Rabu, Julai 13, 2016

UMNO TAWAU MASIH KUKUH



TAWAU, 12 Julai (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Umno di bahagian itu masih kukuh dan tiada sebarang borang keluar parti diterima sejak bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti baru-baru ini.

Tawfiq berkata pihaknya percaya anggota parti di kawasan itu masih memberikan keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Setakat ini, kita juga difahamkan bahawa mana-mana bahagian (Umno) lain di Sabah belum menerima sebarang borang keluar parti oleh anggota yang banyak didakwa bertindak demikian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini, Selasa.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata dakwaan kononnya 600 anggota Umno Bahagian Batu Sapi keluar Umno telah dinafikan ketuanya, Datuk Samsudin Yahya.

"Ia hanya melibatkan sebilangan kecil. Saya difahamkan ramai yang hadir pada majlis itu tapi mereka telah dikenal pasti bukan ahli Umno dan kalau ada ahli Umno pun, ia cawangan yang digantung atas pelbagai faktor antaranya ketua cawangan muflis atau tak cukup korum," katanya.

Sementara itu, Tawfiq menasihatkan semua anggota Umno di negeri ini agar tidak terpedaya oleh emosi individu tertentu yang menderita akibat kesalahan diri sendiri.

"Yang perlu diberi perhatian adalah fokus kepada pembangunan negeri dan membela nasib rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.



-- BERNAMA

TINDAKAN SHAFIE TIDAK RUGIKAN UMNO

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Oleh Shahbudin Haji Embun

Bukanlah kali pertama penulis menasihatkan kepada ahli UMNO akan pentingnya pengertian solidariti dalam parti.Dalam beberapa penulisan yang lalu, penulis telah menegaskan bahawa solidariti merupakan elemen penting yang akan mengukuhkan sesebuah parti ataupun apa-apa pertubuhan.

Lihat sahaja pasukan Iceland yang telah beraksi dengan cemerlang pada Euro 2016 . Walaupun akhirnya terpaksa akur dengan kecemerlangan pasukan tuan rumah di peringkat suku akhir, namun semangat berpasukan yang tinggi serta semangat solidariti yang ditunjukkan oleh sebuah negara yang hanya mempunyai seramai 300 ribu penduduk, telah menaikkan nama Iceland dalam Euro 2016 ini. Pasukan ini telah membuktikan solidariti adalah senjata yang lebih tajam dan bukannya berharapkan pada sentuhan ajaib pemain yang bergelar bintang.

Itulah sebabnya pengumuman keputusan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meninggalkan parti bukanlah satu berita yang memeranjatkan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan berita tentang isu ini sudah lama tersebar di kalangan ahli-ahli UMNO yang sudah menjangkakan tindakannya ini.

Persoalannya sekarang ialah adakah tindakan Shafie akan memberi kesan kepada kekuatan UMNO Sabah. Ya, mungkin beliau ada pengaruhnya dan pastinya juga ramai yang akan menyokong tindakan beliau meninggalkan UMNO. Pastinya juga kita akan mendengar beberapa orang kuat UMNO Sabah terutamanya di Semporna yang mungkin akan meletakkan jawatan dan meninggalkan UMNO.

Dalam hal ini, jika diukur dari segi populariti dan kewibawaan sebagai pemimpin, pastinya nama Mantan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih gah daripada nama Shafie Afdal.Muhyiddin dikenali di seluruh Malaysia.Ini adalah hakikatnya dan para penyokong Shafie Afdal juga perlu bertanyakan soalan, adakah nama Shafie Afdal  hebat  juga di negeri-negeri lain selain daripada Sabah?

Adakah para penyokong UMNO dari negeri lain akan berasa sedih atau marah sebagaimana yang dirasakan oleh sebahagian ahli-ahli UMNO di Semporna?.Itulah sebabnya tidak keterlaluan jika dikatakan tindakan Shafie Afdal meninggalkan UMNO tidak akan memberikan kesan yang drastik terhadap UMNO.Sekali lagi kita bandingkan dengan isu yang melibatkan Muhyiddin Yassin.


Dalam hal ini, ramai juga yang tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin dipecat dari UMNO. Bahkan ada yang melenting dan juga mengumumkan akan keluar dari parti. Namun hakikatnya tindakan beliau tidak dilhat sebagai melemahkan parti. Benar, ada yang menyatakan, tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum nanti, yang mana penyokong beliau akan bertindak dengan meminggirkan UMNO dan menyokong parti parti pembangkang.

Benar, perkara itu boleh berlaku dan ada kemungkinan juga kerusi Parlimen yang disandangnya dapat dipertahankan. Namun disebabkan UMNO mementingkan integriti dan semangat perjuangan parti, maka UMNO lebih rela melepaskan seorang individu yang boleh memberi kerosakan yang lebih serius jika terus dikekalkan dalam UMNO.Apa yang UMNO lakukan ialah untuk menguatkan perpaduan dan solidariti parti.

Itulah sebabnya penulis semakin yakin, semangat solidariti yang sudah lama disemai oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tersimpan di hati ahli-ahli UMNO Sabah.Perkara ini telah banyak kali ditegaskan oleh Najib dan juga diulangi oleh Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan bahawa kekuatan parti adalah bergantung daripada sokongan ahli-ahli UMNO yang setia dengan perjuangan parti.Itulah sebabnya semangat solidariti yang ada pada diri majoriti ahli-ahli UMNO akan memastikan  UMNO akan terus utuh dan relevan dan bukannya kerana individu yang lebih mementingkan perjuangan peribadi.

UMNO telah lama membuktikan tidak ada individu yang lebih besar daripada parti dan juga telah berjaya mengharungi pelbagai isu yang lebih serius. Satu lagi faktor yang membuatkan UMNO terus relevan ialah sikap para pemimpinnya yang tidak mudah melatah dan tidak terikut-ikut dengan tarian sumbang musuh UMNO, baik dari dalam mahupun yang berada di luar.

Dan mungkin ada hikmahnya juga UMNO  teruk dihentam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dari sini kita akan dapat menilai siapakah ahli-ahli UMNO yang telah meninggalkan parti dan mana pula  sama-sama terus berjuang dengan pucuk pimpinan UMNO.