Khamis, Disember 30, 2010

DI MANA SUBRAMANIAM PADA TAHUN 1970?


Di manakah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Subramaniam pada tahun 1970 ketika novel Interlok mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka? kenapa beliau tidak menyuruh kerajaan menarik balik percetakan novel itu pada tahun tersebut.

Inilah masalahnya apabila menteri sendiri tidak faham kenapa novel itu ditulis oleh Abdullah Hussein pada tahun tersebut. Novel ini sudah 40 tahun berada di pasaran, kenapa sekarang mahu melenting. Mahu jadi Presiden MIC ke? Kalau nak jadi Presiden baru MIC ganti Palanivel, carilah isu lain.

Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.

Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.

"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.

Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik

Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.

Kita pun boleh demo

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.

Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.

Menurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.

Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.

"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.

Respons berterusan

Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.

Katanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.

"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.

Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.

Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair.

SELAMAT TINGGAL 2010


Akhirnya tahun 2010 sampai ke penghujungnya. Mengenang kembali tahun 2010, banyak kenangan pahit manis yang dilalui bersamanya. Paling manis ialah apabila merujuk kembali bekas isteri, Zaitun Othman, 48 tahun, pada 15 Mei lalu.

Kami bercerai selama setahun lebih. Sepanjang menduda selama 1 tahun 3 bulan akhirnya saya tiada pilihan lain menikahi semula bekas isteri demi anak-anak. Kenangan paling pahit ialah saya sakit darah tinggi pada 12 Mac lalu. Sepanjang hidup saya, 51 tahun, saya tidak pernah sakit. Inilah kali pertama saya sakit yang serius dalam hidup saya.

Saya diberi pil darah tinggi oleh doktor Hospital Kuala Lumpur. Saya batuk teruk akibat menelan pil itu. Di atas nasihat boss saya, Datuk Radzi Latif, saya tukar pil. Akhirnya saya tidak batuk teruk lagi.

Dalam masa yang sama saya turut makan ubat tradisional seperti akar kayu Mahkota Dewa. Kebetulan kawan saya, Syed Yassin Tuan Pandak menjual akar kayu itu. Apabila saya ada temujanji dengan doktor sebulan kemudian, doktor kata saya sudah bebas dari darah tinggi. Namun demikian doktor nasihati saya terus menelan pil hospital.

Satu lagi kenangan manis ialah apabila rakan saya, Kamri Kamaruddin mendapat permit majalah Mindaniaga pada bulan Jun lalu. Kebetulan beliau tiada modal untuk menerbitkan majalah bulanan itu. Dia suruh saya cari pelabur dan saya perkenalkannya kepada Datuk Radzi yang saya sudah kenali sejak tahun 1994 lagi.

Datuk Radzi bersetuju menjadi penerbit majalah dengan syarat beliau mendapat 70 peratus saham dalam syarikat Wow Communications Sdn Bhd, manakala kami bertiga termasuk Pak Abu Saim mendapat 10 peratus seorang saham.

Majalah itu berjaya diterbitkan pada awal November. Atas sebab-sebab tertentu, Mindaniaga tidak diterbitkan pada Disember dan Januari 2011 kerana beri laluan kepada akhbar Harian Mutiara untuk diterbitkan. Maka Kamri sebagai pemilik asal permit Mindaniaga berhasrat memberhentikan buat sementara waktu penerbitan majalah tersebut.

Ke mana saya selepas ini? Saya boleh kekal di pejabat sekarang kerana kita ada dua akhbar iaitu Harian Mutiara dan Buletin Prestasi yang bakal menjelma pada Februari 2011. Tetapi memikirkan saya tak nak lagi makan gaji, maka saya kena buat sesuatu untuk tahun 2011. Insya Allah Allah akan beri jalan yang terbaik buat saya.

Merumus kembali tahun 2011, saya bersyukur dengan pemberian Allah. Kalau dahulu saya buat freelance dengan majalah Agro Malaysia kini saya sudah ada kerja tetap dengan Mindaniaga, Harian Mutiara dan Buletin Prestasi. Ya Allah, terlalu banyak yang Kau beri terlalu sedikit yang dapat kubalas.

Esok hari terakhir dalam tahun 2010, sehingga esok saya sudah ada 900 posting dalam blog ini, www.catatanzabidi.blogspot.com. Dahulu blog ini dikenali sebagai www.memobelakang.blogspot.com. Apabila blog ini dihacked, maka saya tukar namanya.
terima kasih kepada semua pembaca yang terus menyokong blog ini dan saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Semoga 2011 menjanjikan lebih banyak kejayaan buat kita semua.

PERISTIWA PENTING DALAM TAHUN 2010


Berikut ialah kronologi peristiwa politik tanah air sepanjang tahun 2010.

JANUARI:

1 - Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia pada usia 71 tahun.

FEBRUARI:

12 - Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim mengumumkan keputusan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi anggota Bebas.

28 - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin keluar PKR untuk sertai Umno.

MAC:

1 - Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng mengumumkan keputusan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas.

3 - Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri keluar PKR dan menjadi anggota Bebas.

6 - PKR pecat anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.

28 - Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menang jawatan presiden MCA menewaskan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA.

APRIL:

25 - Calon Barisan Nasional P Kamalanathan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

MEI:

14 - Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong isytihar keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

16 - Calon DAP Wong Ho Leng menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi.

JUN:

11 - PAS benarkan calon bukan Islam bertanding menggunakan simbol parti itu semasa pilihan raya tetapi dengan syarat terima dasar dan perjuangan parti itu.

JULAI:

22 - MIC terima Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah, yang dipecat daripada Parti Progresif Penduduk (PPP), menjadi anggota MIC.

OGOS:

1 - DAP pecat ahli Majlis Perbandaran Klang Tee Boon Hock kerana dakwaan menyalahgunakan kepala surat seorang anggota exco Selangor.

SEPTEMBER:

1 - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan menawar untuk melepaskan jawatan kerajaan kerana tidak setuju pendirian parti menentang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau masih memegang semua jawatan kerajaan.

OKTOBER:

23 - Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu perhimpunan agung Umno bahawa beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun padang ke seluruh negara tahun depan untuk bertemu anggota Umno dan rakyat.

4 - Calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 undi dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas.

4 - Calon BN Datin Linda Tsen menang pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.

19 - Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan hasrat untuk keluar daripada PKR ekoran hilang kepercayaan dengan perjuangan parti itu.

20 - BN setuju pinda perlembagaannya untuk memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus.

24 - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu meninggal dunia pada usia 91 tahun.

28 - Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR.

28 - Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dipilih Pengerusi DAP Selangor.

DISEMBER:

1 - Umno tangguh pemilihan parti 2011 selama 18 bulan.

6 - Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berundur selepas 31 tahun memimpin parti itu dan menyerahkan jawatan kepada timbalannya Datuk G.Palanivel.

13 - MCA tangguh pemilihan parti yang dijadualkan pada 2011, dipercayai mengikut langkah Umno.

15 - DAP turut tangguh pemilihan parti sehingga Ogos 2012

15 - Zaid Ibrahim menjadi Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

16 - Empat wakil rakyat pembangkang -- Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, S.Sivarasa dan Azmin Ali -- digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar di dewan/ menghina dewan.

17 - Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, akibat kencing manis.

27 - Umno Pulau Pinang, Kedah, Terengganu diketuai pengerusi perhubungan yang baru daripada kalangan pemimpin negeri.

SELAMAT TAHUN BARU 2011

TAHNIAH HARIMAU MALAYSIA


Malaya sudah lama tiada tetapi kenapa pasukan Malaysia diberi nama Harimau Malaya? Sepatutnya mereka digelar Harimau Malaysia. Esok rakyat Malaysia bercuti gara-gara pasukan bolasepak itu menjulang piala AFF Suzuki setelah ketandusannya selama 14 tahun.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.

“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Selasa, Disember 28, 2010

TAHNIAH AHMAD SAID


Pelbagai ramalan dibuat menjelang pengumuman ibupejabat UMNO mengenai pertukaran pengerusi perhubungan UMNO negeri. Presiden UMNO dan timbalannya mengekalkan jawatan pengerusi Selangor (Najib Tun Razak) dan pengerusi Wilayah Persekutuan (Muhyiddin Yassin).

Tiga orang Naib Presiden kehilangan jawqatan pengerusi kepada timbalannya. Di Pulau Pinang, Dr Zahid Hamidi memberi laluan kepada timbalannya, Zainal Abidin Osman yang baru menduda akibat kematian isterinya. Jika BN menang semula di Pulau Pinang pada tahun 2012, beliau adalah bakal Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di Terengganu, Hishamuddin memberi laluan kepada MB, Ahmad Said. Inilah kali kedua Ahmad Said mengetuai Perhubungan Negeri setelah dilucutkan ke jawatan timbalan pengerusi buat seketika. Di Kedah, Shafie Afdal beri laluan kepada Ahmad Bashah sebagai pengerusi perhubungan UMNO yang baru.

Dengan perlantikan tiga pengerusi perhubungan UMNO negeri yang baru, ini bermakna pilihanraya tidak akan diadakan pada tahun 2011. Mereka perlukan sekurang-kurangnya setahun untuk kuatkan UMNO masing-masing sebelum bersedia bertempur dalam peperangan akan datang. Maka pilihanraya wajarlah diadakan pada tahun 2012. Apatah lagi MIC baru diketuai oleh Presiden baru, palanivel.

Tahniah buat mereka semua terutamanya kepada Ahmad said yang diberi peluang semula mengetuai UMNO Terengganu.

Isnin, Disember 27, 2010

ISA GANTI YUSOF NOOR


Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkuat kuasa pada 1 Jan 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusoff Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA.

Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Jan 2011.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusoff di atas perkhidmatan beliau menerajui Felda bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Disember 2010. – Bernama

BAKAL MENANTU KEDUA





Syukurlah pada petang 25 Disember lalu, selesai majlis pertunangan anak perempuan saya yang kedua, Siti Zuraifah,26 tahun. Angah adalah seorang pensyarah di TATIUC, Kijal, Kemaman, Terengganu yang baru tamat menyudahkan Masternya di UPM, Serdang.

Angah bertunang dengan orang Kulim Bharu, Kedah bernama Syam. Syam bekerja di Agensi Maritime Malaysia dan knbi sedang belajar memandu helikopter di Ipoh. Kursusnya dijangka tamat pada bulan Mei 2011. Selepas habis kursus baru Syam dibenarkan bernikah.

Dalam usia 51 tahun, saya rasa semakin tua kerana sudah menerima seorang menantu, Faizal orang Batu Gajah, Perak suami kepada Siti Zuhairatun, 28 tahun. Mereka sudah mendapat anak sulung, Insyirah Balqish, 6 bulan yang merupakan cucu sulung saya yang pertama.

Majlis pertunangan diadakan di rumah Along di Bukit Mahkota, Bangi kerana memudahkan rombongan dari Kedah datang. Kalau mereka hendak pergi Kemaman agak jauh. Kenduri pada bulan Jun nanti diadakan di rumah kami di Kemaman. Oleh itu biarlah majlis pertunangan diadakan di Kuala Lumpur manakala kenduri perkahwinan nanti dibut di Kemaman, Terengganu.

Jumaat, Disember 24, 2010

DR KHIR SINDIR IDRIS JALA


Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo menimbulkan persoalan adakah penjelasan kerajaan, terutama berhubung kenaikan kos sara hidup berjaya menyakinkan rakyat.

"Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada Barisan Nasional?

Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi," katanya.

Menulis di blognya semalam, Dr Mohd Khir juga berkata, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan.

"Saya percaya jentera kerajaan terutamanya menteri 'jaga makmal' boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan (cukai) GST.

"Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa menteri 'jaga letrik' mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai.

"Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat," katanya dengan nada menyindir.

Beliau menimbulkan perkara itu selepas menyuaraka kebimbangannya terhadap janji terbaru Pakatan melalui "Buku Jingga" yang dikeluarkan semasa konvensyennya sebelum ini.

Katanya, walaupun sebahagian janji tersebut tidak realistik, namun boleh mempengaruhi undi rakyat, terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM 500.

"BN hanya ada satu pilihan, memuaskan hati golongan majoriti yang berpendapatan rendah dan sederhana yang menjadi isu 'bread and butter' sebagai tanda aras kepuasan mereka.

"Sepatutnya KPI kerajaan hari ini ialah kepuasan hati majoriti rakyat bukan untung rugi perniagaan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), hebat dan gahnya jenama transformasi ekonomi atau berapa ratus juta yang boleh dikutip oleh saman ekor," katanya.

Rabu, Disember 22, 2010

JUHAR DILANTIK TYT SABAH


Sebelum ini beberapa nama telah disebut-sebut sebagai TYT Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru termasuk Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Datuk Seri Panglima Ampong Puyon. Walau bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan surat cara pelantikan kepada Datuk Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.

Istiadat itu, yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun Kadazan (Upko), Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Juhar, 57, Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini.

Juhar adalah antara pemimpin Sabah yang terlibat dengan rundingan USNO/UMNO untuk kemasukan UMNO ke negeri itu pada 1991.

Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (1990-1999), Ahli Parlimen Kinabatangan (juga 1990-1999) dan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi (2003-2008).

Pemegang ijazah sarjana muda dalam undang-undang ini sebelum itu pernah menjadi majistret.

Jawatan terkini beliau adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah

Isnin, Disember 20, 2010

ISOBEL BUKAN ANAK KANDUNG


Bekas suami model dan pengacara TV Daphne Eleanor Iking memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam bahawa Isobel Daniella Iking-Chong bukan anak kandungnya.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, berkata perkara itu diketahui selepas melakukan beberapa ujian, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau mengambil keputusan melakukan ujian itu selepas beberapa kali membaca e-mel antara bekas pengarah Urusan Adidas Darren Choy Khin Ming, 45, dengan bekas isterinya.

Katanya, beliau membawa Isobel ke sebuah klinik di Petaling Jaya bagi melakukan ujian itu selepas berasa sangsi dengan e-mel Iking kepada Choy yang berbunyi "Muka dia (Isobel) lebih mirip kepada awak".

Chong berkata hasil ujian menunjukkan darahnya dan Iking dari jenis "O"
manakala Isobel mempunyai darah jenis "A".

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan saman peribadinya terhadap Choy yang didakwa memikat Iking, 31, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.

Iking berkahwin dengan Chong pada 27 Jan 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Isobel, sebelum mereka bercerai pada 2009.

Jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy yang diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader, berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding hari ini, Chong berkata e-mel antara Choy dan Iking lebih terarah kepada cinta, dan melaluinya, beliau mengetahui mereka merancang bercuti ke Banyan Tree Bintan Resort, Indonesia untuk melakukan hubungan intim.

"Saya ada bukti bahawa Darren Choy mempunyai niat untuk menggoda bekas isteri saya untuk mengadakan hubungan seksual," kata beliau ketika ditanya peguam Wong Kian Kheong Chong yang mewakilinya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin depan.

Jumaat, Disember 17, 2010

AKHIRNYA KARIM SERTAI PKR


Bekas pemimpin Umno Sabah yang juga individu yang bertanggungjawab membawa parti dari Semenanjung ke negeri itu, Datuk Karim Ghani secara rasmi menyertai PKR.

"Saya rasa berbesar hati kerana PKR menerima saya," kata Karim yang sebelum ini pernah bersama Parti Bersatu Kebangsaan Sabah (Usno).

"Saya telah serahkan borang permohonan terus ke ibupejabat PKR."

Menurutnya, beliau sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Ahmad Thamrin Jaini dan beberapa lagi pemimpin cabang di Sabah.

Ketika ditanya tentang alasan menyertai PKR, beliau berkata alasannya sama apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Umno Sabah.

"Pakatan telah berjanji akan mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak dan berjanji akan menyerahkan 20 peratus royalti minyak kepada kedua-dua negeri ini," kata Karim.

"Ini sama seperti yang saya nyatakan dalam surat perletakkan jawatan kepada Umno Sabah.

"Umno buat saya seperti duduk di tepi 'jamban'," perlinya.

Karim berkata, janji bahawa autonomi Sabah akan dihormati akan membantu ahli Usno bangkit menentang Parti Bersatu Sabah (PBS).

ZAID SAH JADI PRESIDEN KITA


Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan kedudukan Zakaria Salleh sebagai Presiden Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) atau nama barunya, parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), bukannya Hanafi Hamat.

Pengesahan tersebut sekali gus mengiktiraf peralihan kuasa parti itu yang menyaksikan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua KITA yang baru berkuatkuasa semalam.

Sumber ROS Kelantan memberitahu, ekoran aduan yang dikemukakan Hanafi akhir tahun lalu, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Akta Pertubuhan yang meminta pengurusan AKIM mengemukakan laporan dan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan.

"Setelah semakan terperinci dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, ROS mendapati pelantikan Zakaria Salleh sebagai Presiden adalah sah mengikut Perlembagaan parti itu.

"Buktinya ROS Kelantan telah menerima salinan surat pengesahan rasmi bertarikh 20 Oktober lalu yang dikeluarkan ibu pejabat ROS di Putrajaya kepada pihak pengurusan AKIM yang beralamat di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu, Disember 08, 2010

DAPATKAH PALANIVEL KEMUDIKAN MIC?


Akhirnya Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC kepada timbalannya, Datuk G Palanivel setelah mengemudi parti itu selama 31 tahun. Dapatkah Palanivel mengemudikan MIC seperti Samy Vellu?

Palanivel membuktikan bahawa seorang setiausaha akhbar berjaya menjadi Presiden MIC. Dalam UMNO belum pernah seorang setiausaha akhbar menjadi Presiden parti. Paling tinggi ahli majlis tertinggi kalau diambil kira Datuk Khalid Yunus yang pernah menjadi setiausaha akhbar menteri.

Palanivel walaupun tidak terpilih sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor tetap mendapat hadiah apabila dilantik sebagai senator dan Timbalan Menteri Perladangan, Industri dan Komodoti.

Memanglah janggal Presiden MIC adalah timbalan menteri manakala timbalan presidennya yang baru, Datuk Dr S Subramaniam adalah seorang menteri (Menteri Sumber Manusia). Akan tetapi mereka tetap bekerjasama demi mempastikan orang India kembali menyokong BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Pilihanraya umum dijangka diadakan pada awal 2012 setelah MIC stabil dengan barisan kepimpinan yang baru. Jika MIC mahu kuat MIC pastiklan semua penentang Samy Vellu yang dipecat dari MIC diterima kembali menyertai MIC.

Palanivel perlu membuktikan bahawa dirinya tidak terikat dengan Samy Vellu walaupun beliau diarah untuk menaikkan anak Samy vellu, Vell Pari dalam pemilihan MIC akan datang. Vell Pari sudah melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden MIC dalam pemilihan akan datang.

Dapatkah beliau survive dalam politik MIC tanpa ayahnya? Mahukah perwakilan memberi laluan mudah kepada anak Samy Vellu. Apa kata pula pemimpin MIC yang lain seperti Devamany, Saravanan, Kamalanathan?

MIC hanya menang tiga kerusi daripada sembilan kerusi pada tahun 2008. Di Malaysia tidak ada kerusi majoriti pengundi India maka MIC menang kerana ehsan pengundi Melayu. Oleh itu MIC perlu menjaga hati para pengundi Melayu jika mereka mahu menang semula dalam pilihanraya umum akan datang.

Selasa, Disember 07, 2010

ADUN BUAT FITNAH TAK DAPAT PERUNTUKAN


Semalam Teganuku memperkatakan ‘Setengah ADUN Terengganu Tidak Reti Bersyukur? ‘ sebagai entri awal memperkatakan mengenai tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mendakwa peruntukan untuk mereka tidak memadai bagi melaksanakan program untuk rakyat.

Beberapa ADUN BN dikatakan membuat laporan kepada pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kononnya peruntukan tidak sampai ke kawasan mereka untuk melaksanakan projek bagi kemudahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan terkejut apabila mendapat maklumat mengenai tindakan segelintir ADUN berkenaan.

Pertanyaan kini berlegar mengenai siapakah ADUN berkenaan dan benarkah mereka tidak mendapat peruntukan sedemikian?

Difahamkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menyediakan laporan penuh bagi dikemukakan kepada Menteri Besar mengenai peruntukan tahunan untuk ADUN sejak 2008 hingga akhir tahun ini.

Teganuku bertanyakan beberapa ADUN mengenai peruntukan selain menyelidik beberapa kenyataan Ahmad Said mengenai perkara itu sama ada melalui kenyataan akhbar, ucapan Bajet tahunan juga kenyataan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Seperti dilaporkan semalam, peruntukan yang diberikan sebenarnya cukup, malah kadangkalanya Menteri Besar bermurah hati untuk menambah peruntukan untuk musim perayaan dan sebagainya.

Perkara ini diakui oleh beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang ditemui.

Memang benar peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar untuk ADUN bertambah 100 peratus dalam tempoh dua tahun – 2008 dan 2010.

Bantuan Am untuk setiap ADUN pada 2008 ialah RM200,000 kini menjadi RM400,000 setiap DUN sementara Bantuan Pembangunan pula juga bertambah pada jumlah yang sama.

Ini bermakna setiap DUN di bawah BN mendapat RM800,000 setahun pada 2010, iaitu pertambahan sekali ganda berbanding RM400,000 pada 2008.

Pada dasarnya peruntukan untuk ADUN dan Pegarah Pembangunan DUN ( di kawasan yang dimenangi pembangkang, peruntukan adalah seperti berikut:

Bantuan Am:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM250,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Bantuan Pembangunan:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Selain bantuan ini, mulai tahun 2010 setiap Ahli Parlimen / Pegawai Pembangunan Parlimen diberi peruntukan Bantuan Am sejumlah RM200,000.00 kecuali Parlimen Kuala Terengganu yang menerima RM400,000.00.

Exco juga dikatakan menerima tambahan peruntukan Bantuan Am sebagaimana berikut:

i) Tahun 2008 - RM250,000.00 setiap EXCO
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap EXCO
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap EXCO

Apa yang menarik di Terengganu, setiap ADUN dan PPD turut menerima bantuan seperti Peruntukan Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah mulai 2010 sebanyak RM50,000 bagi setiap DUN.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan Ihya Ramadhan (untuk Exco & ADUN) mulai tahun ini (2010) iaitu RM10,000.00 setiap Exco dan RM 8,000.00 bagi setiap ADUN.

Malah Menteri Besar turut bersetuju menaikkan Peruntukan Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Exco & ADUN) seperti berikut:

i) Tahun 2008 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
(kecuali YB. Toh Chin Yaw RM5,000.00)
Tahun 2008 - RM 6,000.00 setiap ADUN

ii) Tahun 2009 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2009 - RM 6,000.00 setiap ADUN

iii) Tahun 2010 - RM15,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2010 - RM10,000.00 setiap ADUN

Apakah peruntukan seperti ini belum mencukupi untuk ADUN Terengganu?

Berapakah lagi jumlah yang perlu mereka dapati untuk menjamin mampu berkhidmat kepada rakyat?

Atau apakah sesetengah ADUN ini jenis tamak. tidak tahu berterima kasih?

(dipetik dari www.teganuku.blogspot.com)

Isnin, Disember 06, 2010

TNB ANAYAI USAHAWAN MELAYU?




Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) didakwa telah menganayai sebuah syarikat Melayu.

Menurut Pengerusi I-Expo Sdn Bhd, Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor, pihaknya telah dianayai oleh pihak TNB yang mana TNB melalui anak syarikatnya TNEC (Tenaga Nasional Engineering Corporation) telah mencuri balik barangan yang telah mereka jual kepada pihaknya.


"Saya mengadakan sidang akhbar ini setelah mengambil kira usaha untuk menemui Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh tidak berhasil. Kami telah menghantar pelbagai surat rayuan untuk menemuinya tetapi hasrat kami tidak diendahkan," katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh pelbagai akhbar Melayu dan Cina. Malangnya akhbar Melayu tidak berani menyiarkan berita sidang akhbar itu kecuali akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 2 Disember telah menyiarkannya.

Katanya, syarikat kami telah mengikat kontrak meroboh sebuah stesen janakuasa TNB di Perai, Butterworth, Pulau Pinang pada 3 Februari 2006 dan pada 7 Mac 2006 kami telah membuat pembayaran bagi scrap metal sebanyak RM14 juta untuk kuantiti 29,100.000 tan/unit.

"Setelah selesai pengambilan pada 15 Mei 2009, sah sebagaimana yang kami jangkakan scrap metal ini didapati berkurangan sebanyak 9,665.058 tan/unit yang kami pasti telah dicuri balik oleh pihak TNB/TNEC," katanya lagi.

"Sebagai bukti ada gambar-gambar yang kita ambil semasa kejadian berlaku malah kami telah membuat laporan polis beberapa kali namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau mendakwa pihak TNB/TNEC telah menyalahgunakan kuasa dengan memakai uniform serta kenderaan TNB bagi mengangkut scrap-metal ini.

"Mereka juga sentiasa dapat keluarkan scrap-metal ini dari kawasan tapak dengan membuat beberapa permit material release palsu supaya dapat menipu pengawal keselamatan,' jelasnya lagi.

Kapten (B) Mahadzir amat dukacita kerana permohonan pihaknya untuk menemui CEO TNB bagi menyelsaikan perkara ini tidak dilayan.

"Apa yang kami mahu ialah mendapatkan kembali barangan kami dan kami pernah menerima tiga butir peluru hidup untuk menggertak kami," katanya lagi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah skandal terbesar TNB dalam menganayai usahawan Melayu seperti beliau.

Beliau menggesa para pemimpin kerajaan menyiasat perkara ini dan TNB memulangkan semula hak syarikat beliau yang melebihi RM51 juta.

"Datuk Seri Che Khalib telah diberi maklumat yang salah oleh para pegawai TNB yang menyebabkan beliau enggan berjumpa kami. Apa salahnya beliau bersifat terbuka menerima kami mengemukakan aduan untuk penyelesaian," katanya lagi.

Beliau hairan bagaimana Che Khalib dinobatkan sebagai CEO terbaik sedangkan perkara yang kami hadapi tidak diselesaikan yang boleh melumpuhkan syarikat Melayu seperti kami.

Jumaat, Disember 03, 2010

NATRAH MENGHIBURKAN


Sudah lama saya tidak berpeluang menonton teater. Malam tadi saya menonton teater Natrah lakonan Maya Karin, Remy Ishak, Sofea Jane, Aaron Aziz di Istana Budaya. Saya menontonnya kerana membuat liputan untuk akhbar baru Harian Mutiara.

Memang seronok menonton teater tersebut yang mengisahkan kisah perjuangan Natrah yang dibela oleh emak angkatnya, Che Aminah. Natrah menjadi rebutan di antara emak angkatnya dengan emak kandung, Adeline Hertogh.

Selama lapan tahun anak Belanda dibesarkan sebagai orang Islam, akhirnya dia dibawa lari ke Belanda yang sudah tentu akhirnya dia menjadi mangsa keadaan. Teater arahan Erma Fatima ini selama dua jam amat menghiburkan.

Sebagai anak Kemaman, saya rasa bangga menonton Natrah apatah lagi Natrah pernah dibesarkan di Kemaman. Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Hajah Rahmah salleh adalah kakak angkat Natrah.

terima kasih kepada PRO Istana Budaya, puan Puteri yang telah mengizinkan kami wartawan akhbar Harian Mutiara dan majalah Mindaniaga menonton teater Natrah sambil membuat liputan. Syabas Erma Fatima di atas kejayaannya mengarah teater ini.

Oleh itu bagi sesiapa yang belum menontonnya, cepatlah pergi ke Istana Budaya. Selamat menonton.

Rabu, Disember 01, 2010

MACAM MACAM CARA CARI PUBLISITI


Macam-macam cara cari publisiti. Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berjalan kaki ke bangunan parlimen kerana tiada bas menuju ke sana.

Pelik juga kenapa Khairy tidak tahan teksi? Adakah teksi tidak mahu pergi kerana jarak dari LRT Masjid Jamek terlalu dekat? Menurut The Star hari ini, beliau berjalan kaki dari LRT tersebut kerana tiada siapa yang tahu ada perkhidmatan bas yang menuju ke parlimen.

Beliau baru menghadiri mesyuarat di Bukit Jalil dengan Kementerian Belia dan Sukan. Dari Bukit Jalil, beliau terus menaikki LRT ke Masjid Jamek.