Isnin, Oktober 11, 2010

PILIHAN KU LI KENA DISOKONG


Semua pihak hendaklah memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya itu.

Yang Dipertua Majlis Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata dengan sokongan padu semua pihak, tidak mustahil kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN Kelantan kembali dikuasai Umno selepas ini.

"Secara tradisinya DUN Galas milik Umno, disebabkan wakil rakyat sebelum ini tidak mengambil tahu masalah rakyat, Umno kalah kepada PAS pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata DUN Galas merupakan jantung dan hati kepada Umno Kelantan kerana tidak pernah kalah termasuk pada pilihan raya umum 1990 di mana kerusi Umno dan BN tinggal dua sahaja.

"Tidak mustahil Umno dan BN Boleh menang sekiranya calon yang dikemukakan oleh Ku Li mendapat sokongan semua pihak," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mana-mana calon yang dipilih dan menang pada pilihan raya itu bekerja kuat demi masa depan Umno dan BN di Kelantan.

"Jangan ada lagi wakil rakyat yang mengabaikan tanggungjawab mereka tetapi wakil rakyat yang cakna rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46 kerana barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari mengundi ialah pada 4 Nov.