Rabu, Jun 15, 2011

PKR AMBILALIH SABAH?

Selepas kalah di Sarawak pada pilihanraya negeri baru-baru ini, PKR kini mengidam untuk mengambilalih negeri Sabah. PKR dikatakan sedang berunding dengan SAPP untuk menumbangkan BN Sabah.

Menurut Ketua Cabang PKR Tenom, Datuk Halid Zaman, Datuk Yong Teck Lee sudah hantar wakil untuk berunding dengan PKR Sabah dalam pembahagian kerusi. Yong dikatakan berazam untuk menjadi Ketua Menteri Sabah semula.

Kekalahan pembangkang pada pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi baru-baru ini menunjukkan bahawa perlu ada persepakatan di antara PKR dengan SAPP. Biarlah SAPP tumpu di kerusi Cina manakala PKR tumpu di kawasan Melayu dan Kadazan.

Saya yang baru tiba di Kota Kinabalu pada jam 2 petang tadi dibawa Musli oli ke Hotel Hyatt. Kebetulan Datuk Halid Zaman berada di situ dengan beberapa rakannya membincangkan isu politik semasa.

Walaupun sudah berusia 70 tahun lebih, Datuk Halid masih kelihatan sihat. Mungkin berkat minum air sarang burung. Beliau adalah pengusaha sarang burung walit. Yang peliknya beliau menang menjadi Ketua Cabang PKR di Tenom yang bukan kampung halamannya dan mengalahkan orang muda pula.

Katanya, beliau tidak ada niat untuk menjadi calon semula. Biarlah dia jaga parti sahaja dan beri peluang kepada orang muda untuk bertanding menentang calon-calon BN yang sudah lama.

Menurut beliau, rakyat sudah bosan dengan karenah para pemimpin BN yang mengkayakan diri sendiri.

"Sudah sampai masanya bagi rakyat Sabah menukar kerajaan baru seperti tahun 1976, 1985," kata beliau yang merujuk kepada keberanian rakyat Sabah menumbangkan kerajaan USNO dan kerajaan Berjaya.

PKR yang menjanjikan kerajaan autonomi kepada Sabah mungkin menarik minat rakyat Sabah kerana Sabah sepatutnya setaraf dengan Semenanjung dan Sabah bukannya setaraf dengan mana-mana negeri di Semenanjung.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, kata beliau, kerajaan Sabah akan menjadi keajaan yang lebih berdikari tanpa bergantung kepada keputusan kerajaan pusat.

PANDIKAR AMIN SERAH KEPADA PUCUK PIMPINAN


Semalam saya menemui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Saya kenali beliau sejak duduk di Sabah pada tahun 1989 lagi. Ketika itu beliau adalah Senator dari PBS dan akhirnya meninggalkan PBS dan menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Datuk Mark Koding.

Sudah tiga tahun saya tidak menemui beliau. Ketika beliau mula-mula dilantik sebagai Speaker saya yang bekerja dengan akhbar Watan ketika itu sempat menemuramahnya. Senalam saya berkunjung sebagai kawan lama.

Ketika ditanya, beliau berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya.

"Jika BN suruh saya bertanding, saya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang," kata beliau yang terpaksa bersara dari politik buat seketika setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Tan Sri Pandikar yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Marudu meletakkan jawatan kerana mahu beri tumpuan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai Speaker kita jangan aktif dalam politik nanti ahli parlimen pembangkang kata kita berat sebelah.

Sejak beliau meletakkan jawatan dalam UMNO, beliau dihormati oleh kawan dan lawan sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Tan Sri Pandikar Amin berkata sebagai ahli UMNO, beliau patuu kepada arahan parti.

"kalau parti tidak suruh saya bertanding, saya tak bertanding tetapi saya akan bantu calon BN menangi pilihanraya," katanya lagi.

Beliau yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah memukau Dewan Rakyat kerana berjaya mematahkan hujah ahli parlimen pembangkang. UMNO Sabah kini memilihi dua orang menteri tetapi mereka (Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Anipah Aman) tidak dapat menandingi kehebatan Pandikar ketika menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat.

Justru itu jika beliau aktif semula dalam parti, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana prestasi beliau tidak kira di mana tetap bersinar baik sebagai menteri di pusat, menteri di negeri atau Speaker Dewan Rakyat.