Rabu, Mac 02, 2011

MALAYSIA RUGI RM10 BILION KERANA RASUAH


Gejala pengambilan rasuah yang berlaku di negara ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berkata, meskipun kajian daripada Bank Dunia itu tidak dapat disahkan sumbernya, usaha keras perlu dilakukan bagi menangani gejala itu.

"Jika dilihat daripada RM1 bilion sahaja, kita boleh membina 90 buah sekolah rendah atau 500 buah jambatan, 667 kilometer jalan luar bandar atau 6,667 kilometer jalan kampung.

"Namun rasuah menyebabkan negara kita mengalami kerugian besar. Atas sebab itu, kita perlu mencegah rasuah dan tidak mahu wang rasuah mengalir keluar," katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis pelancaran Hari Integriti Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2011 di Dewan Resital di Kota Kinabalu semalam.

Turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Jalil Jaafar; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Amran Ahmed dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Kasim Mansur.

Menurut Sutinah, berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI), pada tahun lalu negara mengalami kejatuhan mata kepada 4.4 berbanding 4.5 mata pada 2009.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam CPI 2010.

"Berdasarkan CPI itu, Malaysia boleh dikatakan berada pada tahap tidak berapa bagus namun tidak berapa teruk dari sudut penglibatan dalam jenayah rasuah.

"Bagaimanapun, kita perlu tahu, kejatuhan satu mata dalam tahap rasuah dikaitkan dengan 16 peratus penurunan pelaburan dari luar negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, SPRM menerima kira-kira 10,000 laporan mengenai rasuah setahun.

Namun, katanya, kebanyakan laporan itu tidak mempunyai asas menyebabkan SPRM tidak dapat melakukan tindakan susulan.

Sutinah berkata, berdasarkan kepada statistik pula, penjawat awam didapati menjadi golongan yang paling ramai menerima rasuah di negara ini.

"Pihak swasta pula sama banyak antara pemberi dan penerima rasuah manakala, orang awam banyak direkodkan memberi rasuah," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: