Jumaat, Oktober 03, 2008

SIAPA MENANG NAIB KETUA BAHAGIAN KEMAMAN?

Pada hari raya pertama saya telah berkunjung ke rumah sepupu saya, Azhar Abdul Rahman yang bekerja dengan RTM Kajang. Kebetulan beliau adalah menantu kepada Ustaz Awang Dagang bekas ADUN Chukai (1999-2004).

Sedang saya berbual dengan Abang Har, datang Ustaz Awang Dagang ke rumah menantunya. Dapatlah kami bersembang politik sambil bertanya pendirian Datuk Mustafa Ali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menjawab bahawa Cikga Pa nampak hasrat Anwar nak tubuh kerajaan tidak akan menjadi kenyataan.

Ustaz Awang Dagang nampak lebih sihat setelah tidak jadi YB dan Exco. Saya tidak lama di rumah Abang Har kerana saya pergi ke rumah Naib Ketua UMNO Bahagian, Rahim Hussin. Bila saya sampai di rumahnya jam 5.30 petang itu, orang sudah tidak ramai. Sempat saya berbual dengannya. Beliau yakin menang pada pemilihan 18 Oktober ini kerana Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek; ADUN Chukai,Datuk Mohamed Awang Tera menyokongnya. Rahim dicabar oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada hari esoknya, hari raya kedua, saya telah berkunjung ke rumah terbuka Wan Ahmad Nizam. Ramai ketua cawangan yang hadir, Mohamad Yahya, Ali Dagang dan sebagainya. Wan Ahmad Nizam kata dia bertanding kerana cawangan-cawangan mahu perubahan. Lagipun dia sudah habis umur Ketua Pemuda, takkan dia nak lawan Ketua Bahagian yang dipegang oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Jadi jawatan yang dia nampak hanya Naib Ketua Bahagian sahaja.

PASIR GAJAH TETAP KAMPUNGKU

Pada hari raya Aidil Fitri yang pertama (1 Oktober) saya sempat solat sunat hari raya di masjid baru di kampong saya, masjid Pasir Gajah. Lebih besar dapat menampung 700 orang jemaah, kata Tok Imam Yusof Kamaruddin.

Saya masih ingat bekas Ketua Kampung, Arwah PaK Mat Yahya pernah jumpa MB ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad minta bina masjid baru tetapi Wan Mokhtar menolaknya kerana bimbang masjid Jambi di Kampong. Laut jadi masjid PAS pula.

Tetapi entah macam mana bila BN menang dengan slogan 1 masjid, 1 DUN, Pasir Gajah dapat masjid baru selepas masjid Kg. Dadong. Saya jarang balik mke kampong selepas tinggal di Chukai lebih kurang 18 km dari Pasir Gajah kerana orang tua saya sudah meninggal. Yang ada mak mertua sahaja di Pasir Gajah.

Pasir Gajah agak unik kerana asal nama kampongnya diambil dari banyaknya gajah yang berehat di atas pasir di sungai Pasir Gajah atau dikenali Kampong :Laut. Orang Jambi dari Sumatra yang membuka kampong Pasir Gajah pada tahun 20an setelah berhijrah dari Jambi ke Batu Pahat dari dari Batu Pahat ke Pasir Gajah. Saya pernah temui Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang berkunjung ke rumah saudara maranya di Pasir Gajah. Kata beliau, “Bila Raja Jambi kalah perang, Raja Jambi lari ke Batu Pahat, Johor. Dari Batu Pahat ramai yang berhijrah ke Kemaman. Masa dulu naik perahu. Sampai di Kampong Laut, dibuka kampong dan dibina Masjid Jambi yang memang architecturenya sama dengan architecture Jambi. Muzium Terengganu telah gezetkan Masjid Jambi itu sebagai masjid bersejarah dan salah satu tempat warisan di Terengganu.

Selepas masyarakat Jambi, baru datang orang Kelantan ke Pasir Gajah yang mana ayah kepada datuk saya, Che Omar telah berhijrah dari Kelantan pada tahun 30an. Datuk saya, Haji Abdullah Omar kahwin dengan orang Kemasik, Hajah Zaharah anak kepada Chegu Haji Yusof. Kalau tanya orang lama siapa Chegu Haji Yusof semua orang kenal kerana dia bukan sahaja orang yang mengajar agama malah seorang pendekar yang pernah seguru dengan Kiyai Salleh di Batu Pahat. Bila Chegu Haji Yusof meninggal dunia pada tahun 1974, jalan raya terpaksa ditutup di Kemasek kerana ribuan orang hantarnya ke kubur di kawasan masjid Kemasek. Salah seorang cucunya yang ikut jejak langkah Chegu Yusof ialah Ghazali Mohd. Nor, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dendang, Dungun.

Orang Kelantan dan Jambi duduk aman damai di Pasir Gajah sejak tahun 30an sampai sekarang. Di antara saudara mara saya yang berasal dari Kelantan yang menetap di Pasir Gajah ialah Saidi Abdul Ghani, taukeh getah sekerap; Haji Bakri Wahab, kontraktor yang berjaya. Malah Pengerusi PEREMBA, Tan Sri Razali Abdul Rahman sering kali dating ke Pasir Gajah ketika bapa saudaranya, Haji Abdullah masih hidup.

Datuk saya, Haji Abdullah telah menyelamatkan pekerja Kedai Jaya ketika beliau jadi Home Guard di Batu 9 apabila lori Kedai Jaya diserang pengganas kominis pada tahun 1954. Sebagai balasan kepada jasanya, beliau dilantik Penghulu yang berkhidmat di beberapa mukim di Kijal, Jabor Perasing, Pasir Semut, Binjai, Pasir Raja, Belara, Manir dan pencen di Gelugor, Kuala Terengganu pada tahun 1980. Selepas pencen, beliau kembali menetap di Pasir Gajah pada tahun 1980 hinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1988.

Emak saya, Hajah Zainun dilahirkan di Pasir Gajah pada tahun 1940 tetapi saya dilahirkan di Jabor kerana ketika itu ayah dan emak saya ikut datuk saya yang bekerja sebagai penghulu di Jabor Perasing. Oleh kerana anak lelaki datuk dan nenek saya meninggal sejak lahir, maka mereka yang tidak ada anak lelaki ambil saya cucu sulungnya sebagai anak. Sebab itu saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya dan saya anggap Pasir Gajah sebagai kampong halaman saya sedangnya ayah dan emak saya tinggal di Balok, Kuantan setelah pencen bekerja dengan FELCRA Kg. Nibong, Hulu Terengganu pada tahun 1993.

Bekas Ketua Cawangan, Pak Ali Ismail sering tanya saya kenapa saya jarang balik ke Pasir Gajah. Secara berseloroh saya jawab, “ Saya Pengerusi Tetap, balik setahun sekali kerana mesyuarat agong setahun sekali”.

Saya percaya bila lebuhraya LPT Fasa Kedua siap, Pasir Gajah akan lebih maju kerana susur keluar ikut Pasir Gajah dan dari Kuala Lumpur ke Pasir Gajah bila naik kereta nanti dalam tempoh 3 jam setengah sahaja. Betapa dekatnya Kuala Lumpur dengan Pasir Gajah.

Di kampong saya tidak dipanggil Zabidi tetapi dipanggil Awang. Kalau orang panggil saya Awang, itu maknanya orang Pasir Gajah. Saya masih ingat pada tahun 1988, kawan saya Shamsury Mamat datang dari Kota Bharu cari saya.

“Mana rumah Zabidi?”tanya Shamsury kepada seorang penduduk kampong.
“Tak kenal, Zabidi mana?” tanya orang itu.
“Zabidi yang kerja wartawan akhbar WATAN di Kuala Lumpur”, kata Shamsuruy.
“Oh Awang. Rumahnya masuk ke dalam tanah lot, belok kanan,” jawab orang itu lagi.

Ada seorang sahaja orang Kuala Terengganu yang panggil saya Awang iaitu bekas Senator Hassan Ali atau Pak Chan (bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus) yang panggil saya Awang sejak tahun 1996 hingga sekarang. Pak Chanlah yang menguruskan jenazah emak saudara saya, arwah Cikgu Maznah yang meninggal dunia di Padang Nenas, Kuala Terengganu pada tahun 1996.

IDRIS TIKAM PAK LAH?

Akhirnya mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Besut bersetuju mencalonkan Najib dan Muhyiddin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada persidangan 11 Oktober ini. Ramai yang terkejut kerana selama ini Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh adalah kesayangan Pak Lah.

Kenapa beliau tergamak meninggalkan Pak Lah di saat-saat Pak Lah perlukan sokongan? Malah beliau dilantik Ahli Majlis Tertinggi UMNO pun atas ehsan Pak Lah kerana dia adalah Menteri Besar Terengganu ketika itu. Sepatutnya bila tak jadi Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, lepaskanlah jawatan itu kerana jawatan itu dilantik atas budi bicara Pak Lah.

Pak Lah bukan main sayang kepada Idris. Setiap kali mesyuarat majlis tertinggi, beliau pu7ji Idris yang berjaya menterjemahkan Islam Hadhari Pak Lah. Pak Lah masih mempertahankan Idris untuk jadi MB Terengganu selepas pilihan raya umum lalu tetapi Sultan Mizan tidak mahu Idris, bukan salah Pak Lah lagi. Malah Khairy tulis surat kepada semua Ketua Pemuda Bahagian di Terengganu supaya Ketua Pemuda boikot Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru kerana Khairy mahu Idris jadi MB. Inikah balasan Idris kepada Pak Lah? Pak Lah sanggup lantik Idris sebagai Pengerusi MARA. Jika tak boleh lagi menerima Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, letaklah jawatan Pengerusi MARA. Pak Lah sedih kerana Idris selama ini adalah orang kepercayaannya sanggup menikamnya dari hadapan. Sebagai bekas Editor Warta Parlimen Kepala Batas, saya masih hormati Pak Lah. Tetapi bila saya dapati beliau sudah tidak layak lagi memimpin UMNO, saya letak jawatan sebagai Editor Warta Parlimen Kepala Batas dan menyertai akhbar WATAN. Beranikah Iris letak jawatan Pengerusi MARA?

KUDA HITAM SUDAH MUNCUL

Baru-baru ini Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek telah buat kenyataan bahawa akan muncul kuda hitam dalam pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada Mac depan. Kini sudah terjawab apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut dalam suratkhabar Utusan Malaysia hari ini.

Rupa-rupanya Dr. Zahid Hamidi adlah kuda hitam itu yang telah memeranjatkan semua orang sekalipun desas-desus yang mengatakan bahawa Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib mahu jugga bertanding. Dalam pada itu Tan Sri Muhyidin Mohd. Yassin belum lagi mengesahkan sama ada bertanding atau tidak kerana menunggu pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 8 Oktober ini.

Adakah Dr. Zahid terlalu awal buat pengumuman? Ramai yang terkejut kerana Dr. Zahid tidak pernah jadi Naib Presiden UMNO tiba-tiba mahu tanding Timbalan Presiden. Adakah kerana dia pernah jadi Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak, maka beliau mahu jadi regu Najib? Kalaulah jawatan Ketua Pemuda yang setaraf dengan Naib Presiden jadi ukuran, Dr. Zahid pernah jadi Ketua Pemuda dari tahun 1996-2000 maka dia sudah jadi Naib Presiden. Kalau itu jadi ukuran Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin pun boleh bertanding kerusi Timbalan Presiden juga.

Malah dua orang Naib Presiden yang ada, Datuk Seri Ali Rustam dan yang baru habis hukuman, Tan Sri Isa Samad pun layak tanding Timbalan Presiden. Oleh itu perjalanan Muhiyyiddin ke tangga Timbalan Presiden UMNO bukannya satu perjalanan yang mudah jika Dr. Zahid, Muhammad, Hishamuddin, Ali dan Isa turut bertanding.

Namun demikian banyak Bahagian akan mencalonkan Najib-Muhyiddin kerana mereka dapati mereka orang lama dalam UMNO. Keberanian Muhyiddin yang konsisten sejak pilihan raya umum Mac lalu menyebabkan ramai yang kagum dengan kepimpinan beliau.

SMS HARI RAYA MASIH DITERIMA

Hari ini Hari Raya Aidilfitri yang ketiga. Masih banyak sms yang saya terima dari rakan-rakan yang mohon maaf di hari raya. Antaranya daripada bekas Editor web, Warta Parlimen Kepala Batas, Samsul; consultant Public Mutual saya, Alicia Wong; bekas bisnes partner, P.L. Lee; bekas Ketua UMNO Cawangan Pasir Minal, Syed Zakaria Syed Sidek; taukeh batik di Chendering, Othaman Ibrahim; Hanie Mior Idris.

Anak yang berada di Kuala Terengganu, Zahir Amir; Asri dari Tasik Puteri; pensyarah Uitm Shah Alam, Dr. Rahmat;pensyarah UKM, Dr. Yahya Ibrahim; taukeh lintah di Kijal, Tengku Azman; Musli Haji Oli dari Kota Kinabalu;Shamsury Mamat dari Kota Bharu; Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Zahari Haji Said; Kamal Hassan Pesama; Kamri Kamaruddin; Fairuz yang mahu kelilingi dunia dengan kapal terbang secara solo; consultant Public Mutual, Chin.

Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah; Zaini Rejab dari Kuala Ibai;ADC Bakar, bodyguard MB Terengganu. Ada rakan dalam blognya menghentam peribadi saya. Saya tak perlu jawab kerana di hari baik bulan baik ini sepatutnya kita bermaaf-maafan dan bukannya mendedahkan peribadi orang. Saya boleh juga dedahkan keburukannya tetapi saya tidak guna blog saya untuk hentam peribadi sesiapa. Seperti kata bekas AJK Bahagian Kemaman, Haji Mustafa Abdul Rahman yang baru balik dari umarh semalam, biarlah kawan buat begitu keranaq dia tak takut mati.