Jumaat, Mac 11, 2011

MENTERI YANG TAK MINAT POLITIK


Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala membayangkan beliau tidak akan menyertai politik selepas menamatkan kontrak perkhidmatan dengan kerajaan.

Malah, beliau juga tidak dapat menentukan apa yang akan dilakukan selepas bersara, sama ada menceburi diri dalam perniagaan, melancong atau sekadar berdiam diri di rumah.

‘’Saya meletakkan semuanya kepada takdir dan masa yang akan menentukan. Buat masa ini, saya tidak dapat memastikan apa yang perlu dilakukan selepas bersara.

‘’Ia mengingatkan saya seperti mana cita-cita saya yang ingin mengikuti pengajian undang-undang di New Zealand dan menjadi peguam suatu masa dahulu, namun, akhirnya saya mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia yang menentukan takdir bertemu isteri, mempunyai dua anak lelaki, berkhidmat dengan syarikat minyak Shell, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Airline System Bhd. (MAS), menjadi menteri dan kini CEO PEMANDU,’’ kata beliau di sini, hari ini.

Idris berkata demikian bagi menjawab soalan peserta seminar Prinsip Transformasi Kepimpinan mengenai tempoh perkhidmatan Idris dalam PEMANDU dan apa yang akan dilakukannya selepas tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Hadir sama pada majlis ialah Pengerusi Audit Bureau of Circulations Malaysia (ABC), Margaret Lim, Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Akredit Malaysia, Datuk Vincent Lee dan Pengerusi Persatuan Penerbit-penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Datuk Nasir Ali.

Mengulas lanjut tentang transformasi, Idris menambah, ia akan berlaku sekiranya enam prinsip dilaksanakan iaitu melakukan perkara yang mustahil, diterajui indeks petunjuk prestasi, disiplin dalam tindakan kepimpinan mengikut situasi, gabungan kemenangan (winning coalition) dan gangguanbaik (divine intervention).

Menurut beliau keenam prinsip itu juga telah digunakan sewaktu beliau berkhidmat dengan Shell, MAS dan PEMANDU.

‘’Keenam-enam prinsip rahsia transformasi ini amat berkesan dalam menentukan perubahan dalam sesebuah pentadbiran,’’ katanya.

Selain itu, Idris turut menyatakan peranan wanita amat penting dalam kerajaan dan sektor swasta di negara ini.

Katanya, hampir 50 peratus wanita menyumbang kepada guna tenaga di dunia dengan memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi.

‘’Pelajar-pelajar paling cemerlang di negara ini juga dikuasai wanita dan ini menunjukkan betapa negara perlu menggunakan guna tenaga golongan ini dengan sebaiknya,’’ ujarnya.