Selasa, Oktober 26, 2010

KEMPEN SAPP SUDAH LAPUK


Pendekatan kempen oleh Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengetengahkan konsep 'Sabah untuk Sabah' atau 'mengembalikan autonomi kepada Sabah', sudah lapuk dan tidak selari dengan aspirasi negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pemikiran seperti itu sudah ketinggalan zaman, kerana ketika ini seluruh rakyat hidup dalam suasana aman sejahtera di dalam sebuah negara, Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, mesti bercakap sebagai seorang warganegara Malaysia, jangan terlalu bersikap kenegerian," katanya dalam satu persidangan akhbar di Lapangan Terbang Sandakan di sini.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di lapangan terbang di sini, yang berlepas pulang ke ibu negara.

Musa yang merupakan pengarah operasi Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, berkata demikian ketika mengulas strategi kempen SAPP pada pilihan raya itu yang dikatakan mengetengahkan konsep berkenaan.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas, dan ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, 54,yang suka bercakap dalam Bahasa Inggeris, calon Parti Keadilan rakyat (PKR) Ansari Abdullah, dan calon SAPP yang merupakan presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee.

Musa berkata proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar hasil daripada kematangan penduduk di sini dalam berpolitik.

Katanya BN akan meningkatkan gerakan jentera pilihan raya bermula sekarang, dalam usaha memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN TIDAK JEJAS PELUANG CALON BN


Sudah 17 tahun emak saudara saya, Mak Doh tinggal di Kolam Mas, Gua Musang, tetapi saya tidak pernah pergi ke rumahnya. Pilihanraya kecil Galas menyebabkan saya menjejakkan kaki buat kali pertama di rumahnya pada jam 3 pagi tadi.

Saya tiba dari Kuala Lumpur dengan Mat Blue atau Pak Lah yang ajak saya mengikuti hari penamaan calon bagi DUN Galas hari ini. Suami emak saudara saya, Pak Su Salam sakit stroke sejak dua tahun lalu tetapi kini sudah boleh angkat kakinya setelah makan ubat yang sudah lupa namanya iaitu sejenis daun barli.

Mak Doh sempat bercerita bahawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempat datang ke rumahnya melawat Pak Su Salam yang terlantar sakit dengan jentera BN semalam.

Pagi tadi, saya dengan Mat Blue sampai awal di rest house lama tempat calon BN berarak. Saya sempat bersalam dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ditemui wartawan mengulas mengenai calon BN.

Perbezaan latar belakang pendidikan antara calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff dengan calon PAS Zulkefli Mohamed, diyakini tidak akan menjejaskan peluang BN untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Abdul Aziz, 49, mempunyai kelebihan tersendiri selaku anak tempatan dan telah lama berkhidmat dengan masyarakat di Gua Musang terutamanya kawasan Galas.

"Latar belakang pendidikan bukan isu sama sekali, rakyat kini lebih berfikiran terbuka dan mereka mahukan wakil rakyat yang mampu memberi perkhidmatan kepada mereka.

"Kalau calon itu berkelulusan tinggi dan mengamalkan bidang perubatan di kawasan lain, maka sudah tentu beliau tidak dapat beri perhatian kepada kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang hari ini.

Sedangkan Abdul Aziz merupakan anak tempatan dan tinggal di sini selain pernah menjadi Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sudah tentu perkhidmatan beliau kepada masyarakat dapat diteruskan kerana telah lama mempunyai jalinan rapat dengan masyarakat, kata Ahmad Zahid.

Selain itu, katanya melalui calon BN, kerajaan akan dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan kawasan dan membantu rakyat miskin di Galas yang kebanyakanya bekerja sebagai petani.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas yang ditetapkan pada 4 Nov bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN diwakili Abdul Aziz manakala calon PAS ialah Dr Zulkefli, 44, Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang yang bertugas sebagai pengamal perubatan di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan mampu menawan kembali kawasan Galas berdasarkan kerjasama erat antara jentera parti bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di peringkat negeri dan bahagian sendiri.

"Dengan kombinasi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai Pengarah Pilihan Raya BN/UMNO DUN Galas) mencerminkan kekuatan ikatan hubungan dalaman parti di peringkat negeri sendiri.

"Tidak pernah sebelum ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadi Timbalan Pengarah Pilihan Raya dan Pengarahnya Ketua UMNO Bahagian (Tengku Razaleigh)... keadaan ini mencerminkan keterbukaan pimpinan pusat yang diterjemahkan di peringkat negeri, jadi saya yakin BN tidak akan masalah untuk menang," katanya.