Sabtu, April 28, 2018
TAHNIAH DATUK SERI MOHAMAD HASSAN KERANA MENANG TANPA BERTANDING
REMBAU 28 April - Barisan Nasional mendapat kelebihan awal satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.
Kemenangan itu diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini.
Ini berikutan calon yang dinamakan PKR, S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.
Selain Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.
Pengumuman itu menyaksikan Mohamad, yang juga Pengerusi BN negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU14, 9 Mei ini, buat penggal keempat sejak 2004.
Pada PRU13 lepas, Mohamad yang juga penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada PKR.
Terdahulu, suasana agak tegang apabila Streram dan penyokongnya membantah sekatan polis yang tidak membenarkan beliau memasuki pusat penamaan calon di sini, meskipun telah hadir seawal pukul 8 pagi. - BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)