Memaparkan catatan dengan label mat hassan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mat hassan. Papar semua catatan

Selasa, April 02, 2019

MAT HASSAN TAK AMBIL MUDAH PRK RANTAU

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK berkenaan di sebalik dakwaan dirinya dikenali ramai pengundi berbanding saingannya.

Bekas menteri besar tiga penggal itu berkata seperti mana calon lain, beliau juga akan meluangkan tempoh kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

"Politik ini dinamik bukan statik, saya tak boleh rasa selesa dan tak boleh ambil mudah, saya akan cuba sebaik mungkin jumpa pengundi," katanya pada sidang media hari ketiga kempen PRK berkenaan, di sini hari ini.

Sabtu, Mac 23, 2019

MAT HASSAN KEKAL CALON BN PRK RANTAU

SEREMBAN, 22 Mac (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi tersebut, 13 April ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengumumkan demikian pada majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi PRK DUN Rantau oleh MCA di sebuah dewan di Rantau, dekat sini, malam ini.

"Kita perlu kerjasama jentera pilihan raya yang baik antara UMNO, MCA dan MIC untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK ini," kata Mohamad, yang kini menjalankan tugas-tugas sebagai presiden UMNO.

Sabtu, Disember 22, 2018

ADAKAH MAT HASSAN AKAN DAPAT SOKONGAN PENUH?



 oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan ambil alih jawatan Presiden parti, adakah ahli-ahli UMNO menyokong beliau.

Andai kata ahli UMNO pada keseluruhannya tidak memberi sokongan penuh kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, lebih baik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Demikian diberitahu oleh Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Beliau memberikan kata-kata itu ketika bertemu dengan Zahid Hamidi minggu lepas.

Dalam pertemuan berlangsung di ibu pejabat parti di sini, Ahmad Zahid memberitahu Nik Dir bahawa tidak ada gunanya beliau menyerahkan jawatan kepada timbalannya sekiranya seluruh ahli UMNO tidak bersetuju terhadap Mohamad.

"Datuk Zahid beritahu saya sekiranya Mat Hassan disokong penuh oleh ahli UMNO semua peringkat beliau sedia berbuat demikian.

"Jika sekiranya apa yang hadapi sekarang sama sahaja bakal diterima oleh Datuk Mat Hassan, adalah baik beliau mengekalkan jawatan.

"Kerana apa sebab beliau dipilih oleh ahli melalui perhimpunan parti. Jadi beliau berpendapat adalah baik menyerahkan kepada parti dan bukan mendengar bekas pemimpin untuk untuk meletakkan jawatan, " ujar Nik Dir.

Dalam pertemu itu, Nik Dir ditemani beberapa rakan untuk bertanyakan khabar terhadap Ahmad Zahid.

Selain beliau bertanyakan khabar, Nik Dir juga memberikan pandangan dan pendapat beliau mengenai desakan beberapa pihak supaya meletakkan jawatan.

"Walaupun dapat berjumpa selama 15 minit banyak perkara kami bincangkan,"katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO menggesa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melepaskan jawatan Presiden UMNO.

Antara mereka ialah Datuk Hamzah Zainuddin. Selain Hamzah, Datuk Fasiah Mohd. Fakeh dan Datuk Rosol Wahid turut menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatan.

Hamzah yang mengetuai pada sidang media itu mahukan Ahmad Zahid segera mengosongkan kerusi atas alasan bekas timbalan perdana menteri itu tidak ada hala tuju untuk menerajui parti.

Kata Ahli Parlimen Larut itu lagi, Ahmad Zahid sedang menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah dan perlu memberikan tumpuan terhadap masalah tersebut.

Nik Dir menegaskan bahawa Hamzah tidak ada hak untuk berbuat demikian kerana beliau bukan lagi menjadi ahli UMNO selepas mengambil keputusan meninggalkan parti ini.

"Bagi saya soal UMNO biarlah orang parti ini yang uruskan. Beliau tak perlu sibuk-sibuk tentang parti ini sebab dah buat keputusan keluar," katanya.

Hamzah kata Nik Dir ibarat wakil rakyat yang tidak tahu mengenang budi dan sanggup melupakan jasa parti yang telah banyak memberi kemewahan kepada beliau.

"Apabila UMNO sudah hilang kuasa, tanpa segan silu kata macam-macam tentang parti. Tak ada yang baik tetang parti hanya yang buruk sahaja dicakapnya," katanya.

Nik Dir juga menegaskan sebahagian besar pemimpin UMNO di Sabah sudah tertipu oleh bekas Pengerusi UMNO negeri itu.

"Kebanyakkan ketua UMNO di Sabah tidak tahu apa tujuan Datuk Hajiji Noor suruh datang berjumpa beliau.

"Mereka ingat Hajiji mahu beritahu sesuatu tentang parti. Ruoa-rupanya sidang media itu untuk maklum bahawa kesemua yang hadir pada hari itu keluar UMNO.

"Saya dapat tahu bahawa Datuk Jainab iaitu Ketua Wanita Sabah tak tahu kenapa beliau dibabitkan dalam perkara ini. Beliau ingat ini sidang media biasa bukan pasal umum ketua bahagian Sabah keluar parti," ujar beliau.

Nik Dir berkata taktik dilakukan oleh bekas orang nombor satu parti UMNO Sabah itu ibarat orang terdesak dan cuba mengelirukan ahli parti yang sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan Pusat.

"Mereka sedar ramai ahli UMNO Sabah sayangkan parti ini. Oleh kerana mahu menidakkan kesetiaan orang UMNO Sabah terhadap parti tidak boleh dijual beli, mereka buat sidang media umum keluar parti, " jelas beliau.

Mengenai cakap-cakap banyak pihak bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerajaan lima tahun,
Nik Dir enggan mengulas.

Sebaliknya beliau meminta semua pihak supaya melihat dengan hati dan perasaan bagaimana kerajaan sekarang bekerja untuk rakyat.

"Setelah hampir lapan bulan memerintah, rakyat dapat menilai. Biarlah rakyat yang menjawab soalan yang mengatakan kerajaan sekarang kerajaan lima tahun," katanya.



Jumaat, November 30, 2018

PRK RANTAU DITANGGUH KERANA MAT HASSAN BUAT RAYUAN

SEREMBAN, 29 Nov (Bernama) – Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terbatal dan tidak sah.

Timbalan Presiden UMNO itu memfailkan rayuan melalui peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat daripada firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak & Co, hari ini, sebelum tempoh notis rayuan selama 14 hari berakhir petang ini.

Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata beliau mengambil keputusan untuk merayu setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan alasan penghakiman secara lisan serta nasihat guaman daripada barisan peguamnya

Jumaat, November 16, 2018

MAT HASSAN AKAN BINCANG DENGAN PEGUAMNYA SAMA ADA MAHU BUAT RAYUAN



SEREMBAN: Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di Seremban.

Beliau yang merupakan responden pertama dalam petisyen yang difailkan calon PKR, Dr S. Streram, berkata beliau menghormati keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU yang lepas adalah tidak sah dan batal.

“Saya perlukan masa untuk berbincang dan kami ada 14 hari untuk memfailkan rayuan, sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, Mohamad berkata itu terpulang kepada parti.

“Bagi mempertahankan jawatan, sepatutnya saya bertanding tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Sementara itu, Dr Streram berkata beliau terlalu gembira dengan keputusan hari ini yang membuktikan demokrasi berparlimen ditegakkan.




“Saya merasa sangat gembira sebab enam bulan kita berlawan dengan barisan peguam yang handal untuk memdapatkan keputusan untuk rakyat Malaysia.

“Sama ada saya akan menjadi calon PKR untuk PRK yang akan datang ini, itu terpulang kepada parti untuk memilih, walaupun saya yang mencabar keputusan pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, wakil SPR berkata badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari setelah menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah.

- Bernama

Isnin, Julai 23, 2018

RUNDING DENGAN PAS HANTAR SATU CALON PEMIKIRAN BAHARU UMNO



REMBAU 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS dan UMNO seperti 'adik beradik' dalam meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebagai suatu tanggapan yang baik.

Beliau berkata, tidak salah untuk mereka mencapai kata sepakat demi kebaikan dan yang penting adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa rugi kerana ego sendiri.

"Itu namanya adik beradik, siapa patut beralah dia akan beralah. Tetapi beralah kerana mencari kebaikan bukan kerana sesuatu yang tidak baik. Kita perlu meneroka pemikiran politik baharu yang tidak menyebabkan berpecah belah kerana ini boleh menyebabkan rakyat kucar kacir dan negara kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau di sini, hari ini oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata rundingan dengan PAS supaya menghantar seorang sahaja calon dari parti pembangkang adalah konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan UMNO.

Isnin, April 30, 2018

MB YANG CAKNA MASALAH RAKYAT




SEREMBAN: Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan telah membuktikan bahawa beliau adalah MB yang cakna masalah rakyat. Sebab itulah beliau menang tanpa bertanding di DUN Rantau apabila PAS tidak meletakkan calon selepas calon PKR tidak dibenarkan SPR masuk ke dalam dewan kerana tidak ada pas SPR.

Apabila 43 orang pekerja estet Ladang Kirby di Labu enggan berpindah setelah estet itu dibeli oleh Sime Darby, Mohamad telah menemui Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Seri Rahman Dahlan memohon peruntukan untuk membina projek perumahan rakyat (PPR) di ladang tersebut.

Projek itu diluluskan oleh menteri baharu, Tan Sri Noh Omar dan impian penduduk Ladang Kirby menjadi kenyataan apabila MB melancarkan projek tersebut sebanyak 200 unit pagi ini.

"Mereka tolak pampasan yang diberikan oleh Sime Darby kerana ladang ini satu nostalgia buat mereka. Maka kerajaan negeri bersetuju PPR dibina di kawasan ladang Kirby seluas 43 ekar, dan 43 orang ini diberi keutamaan mendiami PPR tersebut manakala 157 orang lagi diambil dari rakyat Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan PPR Labu yang dibina oleh Tulangis Sdn Bhd.

Beliau memuji Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin yang membina projek tersebut kerana track record Tulangis yang banyak membina PPR di seluruh negara.

Dalam ucapannya, beliau berseloroh kalau Datuk Seri Rahim gagal membina PPR Labu beliau akan dilarang masuk ke Negeri Sembilan.

"Apabila Datuk Seri Rahim sampai sempadan Negeri Sembilan di Nilai, secara automatik beliau tidak boleh masuk ke negeri ini," kata beliau sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Menteri Besar juga meminta kementerian memasukkan dalam bajet 2019 untuk membina 300 lagi PPR Labu di kawasan sebelah tapak yang sedia ada.

Beliau juga meminta Majlis Perbandaran Nilai memberi kerjasama kepada kontraktor supaya dapat membina projek ini pada bulan Julai nanti dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Dalam ucapannya juga, beliau meminta SPR memberi kebenaran kepada calon PKR. S. Streram  untuk bertanding pada PRU 9 Mei nanti.

"Saya sudah bersedia untuk lawan calon PKR. Saya yakin BN menang kerana penduduk Rantau mengenang budi BN. Orang PKR pun tak kenal calon tersebut kerana dia orang Selangor dan bukan orang Rantau," katanya.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Mohamad adalah calon tunggal yang menang tanpa bertanding.

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno percaya ada konspirasi untuk memburukkan beliau kerana apabila calon PKR itu tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan sekejap sahaja isu itu diviralkan oleh pihak pembangkang ke seluruh negara.

"Sedangkan Tok Mun calon Bebas di Kuala Terengganu  dahulu pun mohon pas SPR kenapa dia yang enggan mohon pas SPR," soal beliau.

Katanya, S. Streram sengaja tidak mohon pas SPR kerana mahu menyalahkan SPR dan menuduh beliau berpakat dengan polis tidak membenarkan calon PKR itu masuk ke dalam Dewan.

"Saya tidak tahu menahu kerana saya duduk dalam Dewan. Malah isteri saya yang tiada pas SPR pun tidak dibenarkan masuk juga," katanya lagi.

Sabtu, April 28, 2018

TAHNIAH DATUK SERI MOHAMAD HASSAN KERANA MENANG TANPA BERTANDING



REMBAU 28 April - Barisan Nasional mendapat kelebihan awal satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.


Kemenangan itu diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini.


Ini berikutan calon yang dinamakan PKR, S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.

Selain Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.

Pengumuman itu menyaksikan Mohamad, yang juga Pengerusi BN negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU14, 9 Mei ini, buat penggal keempat sejak 2004.

Pada PRU13 lepas, Mohamad yang juga penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada PKR.

Terdahulu, suasana agak tegang apabila Streram dan penyokongnya membantah sekatan polis yang tidak membenarkan beliau memasuki pusat penamaan calon di sini, meskipun telah hadir seawal pukul 8 pagi. - BERNAMA



Isnin, April 09, 2018

BN SENTIASA DENGAR RINTIHAN RAKYAT

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mendengar dan memenuhi segala kehendak rakyat dalam segenap aspek kehidupan seharian, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada peringkat negeri, satu jawatankuasa unit penyelesaian masalah ditubuhkan bagi menerima, mengklasifikasi serta menyelesaikan masalah yang diadu rakyat.

"Kita usaha sedaya upaya atasi isu rakyat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Saya rasa rakyat merasa selesa dan mereka faham terutamanya dasar-dasar yang telah kita buat, kita laksanakan dengan sebaik mungkin."

"Saya amat yakin rakyat dapat merasainya dan isu-isu berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat memang jadi keutamaan kita," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga menteri besar berkata menerusi jawatankuasa itu, semua aduan akan dinilai dan dikategorikan sama ada ia berasaskan keperluan atau kehendak.

"Ada juga rungutan yang berasaskan kepada kemahuan dan ada berasaskan keperluan. Misalnya orang nak ke ladang nak menoreh getah dan dia punya jambatan putus disebabkan banjir...itu kita terus buat."

"Tetapi kalau nak buat dewan besar, itu kemahuan. Kalau tak ada dewan pun tak terganggu kehidupan seharian," katanya

Sabtu, Mac 10, 2018

MB NAFI TUDUHAN ADUN DAP

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan tuduhan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J. Arul Kumar daripada DAP berhubung kenyataannya berkaitan keperluan masyarakat India di negeri ini.

Beliau menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar dan tidak pernah disebut olehnya.

"Saya tak pernah sebut keperluan masyarakat India cuma sekolah dan kuil sahaja. Apa yang saya katakan ialah isu sekolah dan isu kuil masyarakat India di negeri ini telah ditangani dan diselesaikan (kerajaan negeri)," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas video berdurasi 3.42 minit yang tular dan diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan Arul Kumar dalam kenyataan berbahasa Tamil mendakwa menteri besar mengeluarkan kenyataan bahawa keperluan masyarakat India di negeri ini hanya sekolah dan kuil sahaja.