Khamis, Julai 27, 2017

ANWAR DAN LIM KIT SIANG TIDAK MAAFKAN DR MAHATHIR

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dibenarkan menjadi perdana menteri oleh pimpinan Pakatan Harapan sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 tetapi hanya diperalatkan untuk menyerang UMNO.

Beliau berkata Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau 'dosa silam' Dr Mahathir ke atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.

"Dosa Dr Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (kini telah dimansuhkan) oleh Dr Mahathir dan begitu juga dengan Anwar, beliau sendiri dituduh dengan pelbagai tuduhan dan keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota keluarganya.

"Sebab itu, saya tidak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga mereka boleh memaafkan dosa besar Dr Mahathir itu," katanya mengulas mengenai kemungkinan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil kepada 213 penerima pada majlis konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia - Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) Kemas di sini, hari ini.

Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir dipergunakan oleh Anwar dan Kit Siang untuk menyerang UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menyedari wujud 'isu peribadi' antara beliau dan UMNO selepas usaha menempatkan anaknya Datuk Seri Mukhriz di kerusi naib presiden UMNO pada pemilihan parti 2013 gagal.

Dalam konteks sama, katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk menyerang Melayu dan UMNO melalui Dr Mahathir sehingga parti yang ditunjangi orang Melayu itu terus berpecah sedangkan DAP kekal seperti yang mereka mahukan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata parti yang diwakili orang Melayu telah berpecah kepada lima iaitu UMNO, PAS, PKR, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala dalam skala Pakatan Harapan, DAP kekal sebagai parti dominan.

"Budi bicara atau ihsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum," katanya.

-- BERNAMA

ANGGAPAN ORANG BARAT TERHADAP ISLAM ADALAH SALAH

KUALA LUMPUR: Adalah salah menganggap bahawa orang Islam adalah pengganas. Menurut Prof Othman Shibly bukan semua orang Islam adalah pengganas walaupun segelintir yang bersifat ekstrim.

Dalam wawancara eksklusif dengan beliau, Othman berkata tanggapan orang Barat terhadap orang Islam adalah tidak benar.

Jangan hukum semua orang Islam dengan tanggapan yang salah, kata beliau yang menjadi pensyarah di University at Buffalo di New York, Amerika Syarikat.

Beliau yang berasal dari Syria telah menetap di Amerika Syarikat selama 25 tahun dan kini menjadi warganegara Amerika Syarikat.

Beliau memuji langkah yang diambil oleh PERTAMA yang menganjurkan persidangan ulama sedunia.

Katanya, persidangan ini fokus kepada aspek praktikal untuk mengatasi masalah yang dihadapi umat Islam sekarang.

Bagi Dr Aziz El Kobaiti Idrissi dari Morocco berpendapat tarekat adalah jawapan kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam.

Islam tanpa sufi adalah  mati. Sufi adalah hati kepada Islam. Untuk membangkitkan kembali umat Islam maka sufi adalah jalan yang terbaik, katanya lagi.

Sehubungan dengan itu beliau bersetuju dengan penubuhan World Sufi Centre yang bertujuan untuk menyatukan ahli sufi di seluruh dunia.

Kita sekarang berada dalam krisis, maka melalui tarekat dapat menyelesaikan masalah umat Islam, tegasnya lagi

Prof Othman Shibly dari University at Buffalo, New York
Dr Aziz El Kobaitu Idrissi dari Morocco

PUSAT SUFI SEDUNIA SETUJU DITUBUHKAN

KUALA LUMPUR: Sidang pleno Persidangan Ulama Sedunia di UTM di sini malam tadi bersetuju menubuhkan Pusat Sufi Sedunia (World Sufi Centre).

Dalam perbincangan ulama seluruh dunia malam tadi mereka bersetuju WSC berpusat di Kuala Lumpur.

Tujuan penubuhan WSC adalah untuk menjalankan kajian tentang tarekat yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim di kalangan pengamal tarekat di seluruh dunia.





UCAM BANTU GELANDANGAN

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dengan kerjasama RISDA akan menerajui program untuk membantu golongan gelandangan di seluruh Malaysia bermula tahun ini.

Sejumlah RM10,000 telah disumbangkan oleh RISDA untuk menjayakan Program Jejak Gelandangan di lima rumah gelandangan di seluruh Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata pihaknya bertungkus lumus untuk membantu golongan gelandangan di rumah Anjung Singgah dan sekitar Chow Kit dan Pudu di sini.

Katanya, langkah yang diambil dapat membantu golongan tersebut yang memerlukan bantuan tempat tinggal dan sara hidup untuk menjalani kehidupan yang lebih baik apabila mereka mendapat tempat tinggal sendiri.

"Melalui sumbangan yang diberikan RISDA, pihak kami dapat memberi bantuan kelengkapan seperti pek makanan kering dan keperluan kebersihan diri selaras dengan objektif tanggungjawab sosial korporat UCAM," katanya pada majlis pelancaran Program Jejak Gelandangan di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu, di sini hari ini.