KOTA BHARU, 13 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V ialah seorang raja yang menjunjung tinggi agama Islam dengan menitik beratkan pematuhan ajaran Islam di dalam pentadbiran negeri dan dalam kehidupan baginda, selain daripada memuliakan ilmuan agama.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata baginda sering merujuk kepada beliau mengenai perkara-perkara yang berkaitan hukum-hakam Islam.
"Sebagai contoh dalam hal berkaitan undang-undang hiburan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam. Sebarang pertunjukan, permainan, hiburan tidak boleh diadakan pada malam Jumaat.
Tapi jika masyarakat Cina nak adakan (hiburan) pada malam Jumaat, maka mereka akan memohon kepada Sultan Muhammad V dan baginda tidak terus memberi kebenaran melainkan sesudah mendapat pandangan daripada Jabatan Mufti," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Bernama News Channel (BNC) di pejabatnya di Balai Islam Lundang di sini.
Selain itu, Mohamad Shukri berkata Sultan Muhammad V turut memuliakan golongan ilmuan agama seperti mudir dan pengetua sekolah pondok dengan memberi mereka darjah kebesaran dan pingat pada setiap kali sambutan hari keputeraan baginda.
"Malah, ketika ada kelapangan, baginda kadang-kadang akan mengadakan santapan tengah hari di pondok-pondok agama (bagi mendekatkan diri dengan golongan cerdik pandai agama), dan saya melihat, sepanjang saya menjadi mufti, tidak ada satu (perkara) yang apabila diberi pandangan, tidak diterima baginda," katanya.
Ditanya mengenai keperibadian Sultan Muhammad V, Mohamad Shukri berkata beliau mula mengenali Sultan Kelantan itu sejak baginda berusia 17 tahun lagi.
"Sebagaimana umum mengetahui, usrah Diraja Kelantan memang gemar mempelajari ilmu-ilmu Islam, justeru baginda akan mengadakan kelas agama sekurang-kurangnya seminggu sekali antara waktu Maghrib dan Isyak di Istana Negeri di Kubang Kerian di sini.
Selain menjemput beberapa penceramah seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Mohd Noor Ibrahim, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob dan saya sendiri, baginda akan memastikan setiap kakitangan di istana untuk turut serta dalam majlis ilmu berkenaan yang sering kali berakhir dengan jamuan ringan selepas solat Isyak," katanya.
Beliau berkata dari segi keilmuan pula, Sultan Muhammad V menjemput seorang guru al-Quran khas untuk menemani baginda di sepanjang perjalanannya termasuk ketika berkunjung ke Eropah bagi memastikan baginda tidak terlepas untuk solat berjemaah.
"Baginda juga sering mengajak saya untuk menunaikan umrah terutama pada 10 hari terakhir Ramadan dan acap kali baginda menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.
Baginda turut menghantar sekumpulan lima hingga enam rakyatnya untuk menunaikan haji pada setiap tahun dengan pembiayaan baginda sendiri, malah turut membina Masjid Al-Ismaili di Pasir Pekan, Tumpat dan diwakafkan untuk ayahandanya Sultan Ismail Petra," katanya.
Beliau berkata adalah menjadi kebiasaan Sultan Muhammad V berangkat menghadiri program berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di serata negeri.
"Baginda juga pakar dalam penyembelihan lembu korban dan akan menyembelih sendiri lembu korban apabila tibanya Hari Raya Aidiladha, malah turut mengagihkan lembu-lembu korban ke beberapa kawasan di negeri ini sebagai sedekah," katanya.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata Sultan Muhammad V juga sangat mengambil berat terhadap setiap undang-undang Islam yang digubal di Kelantan.
Bercakap kepada Bernama dan BNC dalam satu temu bual di pejabatnya di Kompleks Mahkamah Syariah Kota Bharu di Tunjong di sini, Daud berkata baginda pernah bertitah setiap undang-undang yang ingin dilaksanakan di Mahkamah Syariah ini perlu dibentangkan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terlebih dahulu.
Setelah mendapat kelulusan daripada agensi itu, baharulah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan seterusnya rang undang-undang itu dibentang, dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daud berkata Sultan Muhammad juga sangat mengambil berat mengenai sebarang kekurangan dalam menguatkuasakan Undang-undang Syariah di Kelantan.
"Baginda sering bertanya sama ada kedudukan mahkamah sempurna atau masih ada lagi kekurangan, begitu juga pegawai-pegawai, hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Syariah masih mencukupi atau tidak.
Baginda memang sangat mengambil berat. Setiap kali saya menghadap baginda, memang perkara utama yang diminta penjelasan adalah perjalanan di Mahkamah Syariah. Baginda juga sangat berminat dalam hal-hal berkaitan agama," katanya.
-- BERNAMA
Selasa, Disember 13, 2016
KEBIMBANGAN SULTAN PERAK BERASAS
TANJUNG MALIM, 12 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam
melahirkan kebimbangan dengan gejala rasuah dan pecah amanah yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.
Baginda bertitah berdasarkan laporan media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang sangat besar.
Titah Sultan Nazrin sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.
"Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abbas lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.
"Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat negeri yang disertai kira-kira 2,000 orang, di sini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Baginda bertitah harta yang diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak merupakan satu bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap orang yang berhak.
"Begitu juga apabila seseorang menguasai harta orang lain dengan cara mengupah saksi-saksi palsu atau memberi suapan kepada hakim dengan tujuan keputusan memihak kepadanya dan harta-harta itu jatuh ke tangannya," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, umat Islam perlu menjadikan sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dan pegangan terutama dalam usaha mencari formula menangani situasi semasa.
"Janganlah kita mengizinkan diri untuk kembali ke era kejahilan setelah disinarkan dengan petunjuk dan hidayah.
"Semoga dengan mendalami sejarah dan perjalanan hidup Rasulullah, ummah akan memiliki kekuatan untuk memupuk akhlak al-Amin, agar umat Islam menjadi umat yang paling beramanah," titah Sultan Nazrin.

Langgan:
Catatan (Atom)