Ahad, Mei 29, 2016

KETIADAAN MASTURA DALAM KEMPEN MERUPAKAN SATU CABARAN

KUALA KANGSAR, 28 Mei (Bernama) -- Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui ketiadaan Datin Mastura Yazid dalam kempen PRK Kuala Kangsa merupakan cabaran kepada jentera BN, namun ia bukan halangan besar kerana calon BN itu sudah dikenali penduduk Kuala Kangsar.

"Kita juga boleh menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti persidangan video dengan memasang skrin besar semasa berkempen untuk Mastura menyampaikan sesuatu kepada pengundi," katanya.


Keadaan tidak mengizinkan calon Barisan Nasional (BN) Mastura Mohd Yazid untuk turun berkempen pada PRK

Parlimen Kuala Kangsar tidak akan memberi kesan kepada usaha gabungan itu untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil percaya pengundi akan memahami tempoh edah yang perlu dilalui oleh Mastura susulan kematian suaminya, bekas penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Namun pengundi tidak perlu risau kerana kita jentera Wanita akan sentiasa menghubungi calon untuk memberitahu perkembangan semasa kempen," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kuala Kangsar dan pelancaran jentera BN, di sini hari ini.

Mastura, 55, seorang peguam, dinamakan sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

PKR itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Semalam, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, 50 sebagai calon parti itu manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan calon parti itu pada 1 Jun ini.

Shahrizat berkata pemilihan Mastura sebagai calon merupakan satu keputusan yang tepat terutama dalam menyambung legasi dan hasrat arwah suaminya.

"Salah satu sebab nama beliau dicalonkan adalah kerana beliau adalah satu-satunya insan yang sentiasa bersama arwah. Sebagai isteri beliau mengetahui semua isu dan semua tuntutan rakyat di Kuala Kangsar," katanya.



Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon percaya masyarakat Cina akan menyokong Mastura memandangkan beliau mempunyai keperibadian yang serupa dengan arwah suaminya.

Jumlah pengundi pada PKR Kuala Kangsar adalah sebanyak 32,949 dengan hampir 8,000 adalah pengundi kaum Cina dan daripada jumlah itu, 2,834 adalah ahli MCA, katanya.

"Kami yakin masyarakat Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 2013, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi dengan mengalahkan calon PAS, Khalil Lim Abdullah dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim.

-- BERNAMA

TUNTUTAN FILIPINA TIDAK RELEVAN KATA TAWFIQ

TAWAU, 28 Mei (Bernama) -- Tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah adalah isu tidak wajar, tidak relevan dan tidak akan diterima oleh rakyat Sabah sampai bila-bila, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata rakyat Sabah sebulat suara sudah menentukan pilihan masa depan mereka sendiri melalui pungutan suara yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang meliputi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

"Rakyat Sabah telah membuat keputusan menerusi bancian yang dibuat melalui Suruhanjaya Cobbold di mana rakyat Sabah ketika itu telah membuat keputusan. Majoriti rakyat Sabah bersetuju untuk bergabung bersama Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk satu negara bernama Malaysia.

"Keputusan itu adalah keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh ditukar ganti dan keputusan itu akan terus dipertahankan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kenyataan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Rabu lalu yang mengatakan Filipina akan meneruskan tuntutannya ke atas Sabah.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas dan Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Tawau semasa menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi yang tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Justeru, kata Tawfiq, fokus rakyat Sabah ialah untuk membangunkan Sabah dalam sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaysia.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataannya menegaskan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina dan mana-mana pihak terhadap negeri berkenaan dan Sabah memilih untuk kekal di dalam persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang turut bersetuju dengan pandangan Tawfiq, berkata tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah suatu isu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu telah melaksanakan hak mereka menentukan masa depan sendiri dengan membuat keputusan membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Katanya keputusan yang dibuat Sabah atau North Borneo ketika itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak kerana dari sudut undang-undang antarabangsa pun, Sabah mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

"Beberapa tahun lalu, semasa adanya pertikaian wilayah berkenaan dengan Pulau Ligitan dan Sipadan, kes ini telah di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan persetujuan antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu pihak Filipina telah membuat satu permohonan untuk mencelah ke atas kes itu dengan alasan mereka ada hak ke atas Sabah.

"Tetapi pihak ICJ dalam satu perintah, selepas mendengar hujahan daripada pihak Filipina, telah memutuskan bahawa pencelahan ini tidak dibenarkan atas sebab bahawa mereka (Filipina) tidak ada hak mengenai Sabah. Jadi bagi saya ini sudah cukup jelas bahawa ini (tuntutan Filipina ke atas Sabah) bukan satu isu lagi," katanya.

Sehubungan itu, Teo berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlu bimbang dengan kenyataan Duterte kerana realiti politik pada hari ini ialah Sabah sememangya sebahagian daripada Malaysia yang diiktiraf oleh PBB.

-- BERNAMA

PENGAMAL MEDIA KENA SAMPAIKAN MAKLUMAT TEPAT

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan para pengamal media tempatan supaya sentiasa menyampaikan maklumat tepat dan tidak mengelirukan rakyat.

Ini kerana, ada pihak media menyiarkan berita yang belum lagi diketahui kesahihannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, katanya.

Sebagai contoh, Salleh berkata isu pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Salleh berkata rang undang-undang itu bukanlah hukum hudud seperti disiarkan akhbar.

"Maklumat itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pindaan ke atas undang-undang syariah, selain ia juga satu usul persendirian dan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan memang dibolehkan mengemukakan usul persendirian dan terserah pada kesesuaian sama ada konkrit atau tidak," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap melancarkan secara rasmi siaran Bernama Radio di Kota Kinabalu Sabah menerusi frekuensi FM107.9.

Dalam pada itu, Salleh berkata walaupun media mempunyai persaingan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, namun, kesahihan berita perlu diberi keutamaan agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan tidak menimbulkan salah faham.

Mengenai isu tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah, Salleh berkata perkara itu tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah jelas bahawa rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia.

"Kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan (Filipina) ke atas Sabah kerana rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia," katanya.

Pada Rabu, bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte dilaporkan berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

-- BERNAMA