Isnin, Disember 26, 2016

LIM KIT SIANG HANYA BAZIRKAN MASA

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pemimpin DAP Lim Kit Siang perlu menghentikan permainannya bertanya soalan yang beliau sudah tahu jawapannya.

Beliau juga meminta Kit Siang supaya tidak lagi berpura-pura untuk bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya membuat kenyataan atau tuduhan, dan belajarlah untuk menerima perbezaan pandangan.

"Lim Kit Siang mengemukakan banyak soalan kepada saya: sudah 35 setakat ini. Tetapi, walaupun beliau mengolahnya supaya kelihatan seperti soalan, ia sebenarnya kenyataan yang bertopengkan soalan.

"Ini adalah taktik biasa untuk membuat kenyataan yang kelihatan seperti soalan untuk menyebabkan orang yang anda tanya soalan itu tidak mempunyai banyak ruang untuk memberi jawapan," kata Salleh dalam catatan terbaru melalui blog beliau semalam.


Salleh berkata jika Kit Siang ingin membuat kenyataan atau tuduhan, buatlah dengan berterus terang.

Kenapa hendak berpura-pura bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya bukan bertanya soalan? Beliau hanya ingin membuat tuduhan.

"Bagaimanapun, bagi mengelak daripada dikecam kerana membuat tuduhan palsu atau mengelirukan, beliau mengadunnya sebagai soalan dan jika diasak, beliau boleh mempertahankan diri dengan berkata beliau tidak membuat tuduhan, tetapi hanya bertanya soalan," kata Salleh.

Menurut beliau, kebanyakan 'soalan' yang Kit Siang kemukakan sebenarnya sudah dijawab anggota Kabinet lain dan pemimpin DAP itu juga tahu mengenainya, tetapi tetap berpura-pura tidak tahu mengenainya.

"Ini benar-benar membazirkan masa dan dirancang untuk mengalih perhatian kita daripada isu lebih penting seperti orang yang menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri. Kit Siang, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR dan PAS kelihatan tidak sepakat tentang perkara ini.

"Adakah Kit Siang cuba mengalihkan perhatian kita daripada perkara itu? Soalan saya ini adalah soalan tulen, bukan soalan yang dibuat-buat," kata Salleh.

-- BERNAMA