Isnin, Disember 25, 2017

ISA NAFI MELARIKAN DIRI DARI MEDIA



PORT DICKSON, 25 Dis (Bernama) -- Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau berakta pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menghubunginya bagi mendapatkan keterangan selepas Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad membuat laporan polis dan sidang media mengenai perkara itu.

"Setakat ini, polis belum panggil saya, biar polis jalankan tugas. Tetapi, saya sedia beri kerjasama sekiranya polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) panggil.

"Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak mahu isu ini dijadikan polemik politik" katanya kepada pemberita semasa menghadiri Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Batu 4 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Isa yang juga Penaung Persatuan Veteran ATM Cawangan Port Dickson, menangkis dakwaan kononnya beliau melarikan diri daripada pihak media.




"Ramai cakap saya lari, mana ada saya lari, saya ada banyak program di sini, Jempol dan Seremban," katanya.

Mohd Isa pernah menjadi Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Khamis lepas, media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA