Rabu, September 15, 2010

PENDEDAHAN MURUGIAH PERLU DIPANDANG SERIUS


Pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Murugiah bahawa dalam masa lima tahun kebelakangan ini seramai 300 orang belia India ditahan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam, Johor perlu dipandang serius.

Kenapa ramai belia India terjerumus dalam gangsterisme? Apakah kerana pengaruh filem Tamil di televisyen? Oleh itu kerajaan perlu mengharamkan filem Tamil kerana ia banyak mempengaruhi belia India terlibat dalam keganasan. Semalam saya sudah buat cadangan ini dan kebetulan pula ia turut dicadangkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu supaya adegan ganas di tv diharamkan.

Semua filem tidak kira Tamil atau Inggeris atau China penuh dengan adegan keganasan tetapi yang lebih menonjol ialah filem Tamil di mana bila bergaduh sedikit, terus berparang. Ini yang mempengaruhi belia India untuk menjadi ganas dan liar.

Murugiah berani mendedahkan pekung di dada. Tahniah buat beliau. beliau minta Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin turun padang ke estet supaya belia India tidak menjadi samseng. Bagi saya, Hishamuddin tidak perlu turun padang. yang penting para pemimpin MIC perlu mainkan peranan mendidik belia India dengan mengadakan kursus motivasi dan sebagainya.

Apakah punca mereka menjadi ganas? Adakah kerana mereka tiada pekerjaan? oleh itu pemimpin MIC perlu mencari pekerjaan buat meeka. jika mereka tidak mempunyai kelulusan, hantarlah mereka mengikuti kursus kemahiran di IKBN dan sebagainya. Di sinilah perlunya pemimpin MIC main peranan. Jangan hanya sibuk berpolitik sahaja.

PUAD KENA GUNA SALURAN KERAJAAN


Beberapa pensyarah universiti tempatan hari ini berharap Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dapat menggunakan saluran kerajaan dalam menyuarakan sesuatu pendapatnya mengenai perjalan dan pentabiran jabatan atau agensi kerajaan.

Mereka berkata anggota Majlis Tertinggi Umno itu tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap kerajaan secara terbuka memandangkan beliau adalah juga anggota pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Safar Hashim berpendapat kritikan secara terbuka Mohd Puad terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam boleh menjejaskan hubungan antara kementerian.

"Tindakan beliau bukan sahaja boleh mengeruhkan hubungan kementerian, malah boleh menimbulkan tekanan yang tidak wajar terhadap suruhanjaya itu," katanya kepada BERNAMA di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Puad yang disiarkan sebuah akhbar hari ini yang mendakwa SKMM gagal mengambil tindakan tegas terhadap media alternatif dan blog yang didakwanya kini bebas menyalurkan agenda membenci kerajaan, selain membangkitkan provokasi di dalam negara.



Safar berkata tindakan Mohd Puad juga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat yang melihat seolah-olah anggota Kabinet tidak bersatu dan mengalami ketidakstabilan.

Bagi Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Salleh Buang, yang juga pakar perundangan berkata Mohd Puad perlu menggunakan saluran lain dari media, seperti perbincangan peribadi bersama menteri dari kementerian berkenaan.

"Lainlah jika beliau merupakan orang awam, sudah tentu tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan jika Mohd Puad mengkritik perjalanan atau perlaksanaan dasar sesuatu kementerian," katanya.

Penganalisis Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata Mohd Puad wajar menegur SKMM, "tetapi jangan melalui media massa kerana tidak bagus dan rakyat akan mempersoalkan kredibiliti kerajaan".

"Sepatutnya beliau gunakan saluran lain untuk kritik seperti melalui parti, biro-biro Umno, memo ataupun ketika menghadiri mesyuarat," katanya.

Pendapat Ahmad Atory itu turut dipersetujui Profesor Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff yang berkata kritikan memang diperlukan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan sesebuah badan.

Bagaimanapun menurutnya ia harus dijalankan secara tertutup oleh pemimpin negara bagi mengelakkan berlakunya salah faham antara kementerian.