Sabtu, Julai 18, 2009

CAKAP ORANG TAK ADA KUASA


Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.


Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.


Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.


"Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya

.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.


Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.


"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya.


Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.


Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan.


"Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori.


"Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.


Saya ingin komen sikit cadangan Pak Lah supaya kerajaan memansuhkan ISA. Nampaknya beginilah cakap orang tak ada kuasa. Kenapa sewaktu beliau jadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri beliau tidak berusaha memansuhkan ISA? Sedangkan ketika itu beliau ada kuasa penuh untuk berbuat demikian.


Sebab itulah bila sudah bersara dari politik, Pak Lah tak payahlah cakap banyak. Sewaktu beliau jadi Menteri Dalam Negeri, betapa polis dilihat terlalu mengongkong rakyat dengan menyuraikan banyak perhimpunan haram seperti perhimpunan Bersih dan Hindraf. Jika polis liberal di zaman Pak Lah, rakyat tidak berarak di jalan raya jika permit diluluskan.


Oleh itu tak perlulah Pak Lah komen mengenai ISA. Beliau sepatutnya memansuhkannya sewaktu beliau jadi Perdana Menteri.