Sabtu, Mei 21, 2016

MALAYSIA KEMPUNAN LAGI PIALA THOMAS



Penantian Malaysia untuk merangkul kejuaraan Piala Thomas terus berpanjangan selepas mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 sebelum kecundang 2-3 kepada Denmark dalam separuh akhir di Kunshan, China, malam tadi.



Beraksi dalam perlawanan penentuan nyata memberi tekanan hebat kepada Chong Wei Feng apabila tunduk 15-21, 18-21 kepada Emil Holst, sekali gus membolehkan Denmark melangkah ke final buat kali kesembilan.

Bagi pasukan negara, kekalahan ini memanjangkan lagi penantian 24 tahun untuk mendakap kejuaraan badminton berpasukan dunia itu sejak kali terakhir memenanginya di Kuala Lumpur pada 1992.

Dalam aksi di Kunshan hari ini, pemain No. 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei memberikan permulaan positif buat pasukan negara apabila menumpaskan bekas juara remaja dunia, Viktor Axelsen 23-21, 21-18.

Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi harapan kepada peminat untuk melihat pasukan negara melangkah ke final lebih awal apabila mengejutkan pasangan handalan, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen 21-18, 21-18.

Bagaimanapun, kekalahan 18-21, 18-21 yang dialami Iskandar Zulkarnain Zainuddin kepada Hans-Kristian Vittinghus mula meresahkan kem negara, sebelum Astrup-Anders Skaarup Rasmussen mengheret pertarungan ke perlawanan penentuan dengan kemenangan 21-10, 8-21, 13-21 ke atas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Wei Feng yang menjadi harapan terakhir Malaysia untuk mencari tiket final nyata tertekan dengan peranan yang dimainkan apabila melakukan terlalu banyak kesilapan ketika dihukum oleh Holst dalam masa 51 minit.

Denmark, yang tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Thomas kini akan menentang juara 13 kali, Indonesia, yang mara selepas menumpaskan Korea Selatan 3-1.