Khamis, Februari 27, 2014

MAHKAMAH TOLAK SAMAN MPK TERHADAP PAS

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM5 juta oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terhadap PAS berhubung perkataan berbaur fitnah dalam isu Zoo Bukit Takal di Terengganu. Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop, dalam keputusannya, menegaskan MPK gagal membuktikan elemen fitnah dalam kes itu. Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili PAS, memberitahu media bahawa hakim berkata MPK gagal membuktikan bahawa kenyataan fitnah itu diterbitkan PAS terhadap majlis itu. "Mahkamah menolak saman itu dengan kos RM30,000," katanya. Peguam Azwan Abdul Wahab mewakili MPK. Pada 22 Mac tahun lepas, MPK memfailkan saman terhadap PAS dengan menuntut ganti rugi RM5 juta daripada parti itu yang didakwanya mengedarkan risalah mengandungi kata-kata berbaur fitnah dan palsu dalam isu Zoo Bukit Takal. Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PAS untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikenakan terhadap parti itu. MPK memfailkan permohonan penghakiman ingkar terhadap PAS setelah parti itu gagal hadir di mahkamah dua kali meskipun diperintah berbuat demikian. -- BERNAMA