Jumaat, Ogos 21, 2009

NASIB PENERBIT MAJALAH MELAYU


Malaysia sudah 52 tahun merdeka tetapi penerbit majalah kecil Melayu seperti BUSINESS KINI amat malang nasibnya. Bukan mudah untuk menerbitkan sebuah majalah yang mempunyai 66 muka surat. Apatah lagi majalah itu adalah majalah berwarna sepenuhnya.


Kos mencetaknya agak mahal. Jadi untuk menampung kos cetak sudah tentu iklan adalah sumber utamanya. Alangkah seksanya mencari iklan bagi majalah Melayu. Majalah ekonomi dan bisnes dalam bahasa Inggeris bukan main mudah dapat iklan. Sebut saja THE EDGE bukan main tebal dengan iklan berwarna.


Pengalaman saya sebulan lebih di BUSINESS KINI amat susah dapatkan iklan. Apatah lagi agensi kerajaan sendiri tidak ada semangat Melayu untuk menolong penerbit majalah kecil seperti kami. Bukannya kami minta iklan bernilai RM3 juta. Kami minta iklan bernilai RM3 ribu satu muka surat sahaja. Itu pun susah nak lulus. Pelbagai alasan yang diberi oleh pihak berkenaan.


Kebetulan saya pernah berurusan dengan beberapa agensi kerajaan di masa lalu untuk penerbitan lain dengan orang lain. Pegawai yang incharge di masa lalu sudah bertukar ke bahagian lain. Maka beliau sudah tidak ada kuasa untuk merekomen penerbit kecil seperti kami dapatkan iklan bernilai RM3 ribu. Pegawai baru memang tak kenal kami. Maka dijawabnya pengurusan tidak berminat membeli iklan.


Kalau pegawai baru ada semangat nak bantu penerbit majalah Melayu, apa salahnya mereka rekomen kami untuk dapatkan iklan bernilai RM3 ribu. Tetapi nak buat macam mana kerana mereka samakan BUSINESS KINI dengan THE EDGE yang begitu besar pasarannya. Ini susahnya bila minda pegawai samakan penerbit jerung dengan penerbit ikan bilis.


Kalau begini gayanya memang susah penerbit kecil macam kami untuk bertahan. Tetapi kejadian ini tidak mematahkan semangat kami. Kami akan terus mencari iklan di semua agensi kerajaan. Jika mereka ada semangat seperti Puan Suzana dan Encik Suhaimi Othman di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mereka dapat menolong penerbit kecil seperti kami. Terima kasih MTIB yang sudi membeli iklan kami walaupun saya tak kenali mereka. Juga terima kasih kepada Prof Madya Jalaludin Harun, Ketua Pengarah MTIB yang ada semangat Melayu.


Semoga selepas sungutan ini agensi kerajaan dapat menanamkan semangat Melayu untuk menolong penerbit kecil Melayu seperti kami.