Isnin, September 20, 2010
MUBARAK KEDAH KESAL DENGAN KENYATAAN NAZRI
Tindakan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) termasuk cuba membawa balik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri disangkal oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah.
Ketua Penerangannya, Datuk Badri Yunus berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tingkah laku menteri itu yang cuba mengaitkan Dr. Mahathir dalam perkara itu disifatkan sebagai amat menghairankan.
Beliau berkata, semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa jika tidak kerana Perkasa dan Dr. Mahathir, perbuatan sesetengah pihak di negara ini yang cuba mempertikaikan orang Melayu termasuk hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan akan menjadi semakin dahsyat.
"Ketika orang Melayu dipertikaikan hak-hak mereka, siapakah yang lantang bangkit mempertahankannya? Bukankah Perkasa dan orang seperti Ibrahim Ali serta Dr. Mahathir yang dilihat ke depan tanpa mengira mereka dihentam semula oleh mereka yang berkenaan.
"Yang paling orang hendak tahu ialah di manakah para pemimpin Melayu seperti Nazri ketika itu?
"Yang kita tahu ialah Nazri tidak berhenti-henti menghentam Dr. Mahathir sejak beliau bersara hingga tampak seolah-olah dia mempunyai dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri itu," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan ruangan Bisik-Bisik Mingguan oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Nazri.
Tulisan Awang itu menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan Malaysia berhubung isu Perkasa.
Malah, Nazri seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insider menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Secara peribadi, Badri memberitahu, beliau amat marah dengan tindak tanduk Nazri selama ini terhadap Dr. Mahathir dalam beberapa siri kecaman termasuk mencabar untuk berlawan.
"Siapakah Nazri jika hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir? Bukan saya saja tapi semua orang tahu peranan dan jasa Dr. Mahathir terhadap negara ini.
"Sedarlah diri dan cermin diri sendiri. Janganlah kerana ada sedikit jawatan, kita jadi sombong dan angkuh hingga mencerca dan mencaci orang yang pernah memberi kita peluang naik hingga ke jawatan hari ini," ujar Badri yang pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal.
Badri turut sependapat dengan Awang bahawa Nazri perlu menyatakan pendiriannya mengenai siapa ketuanya sekarang memandangkan menteri itu kini dilihat banyak berlembut dengan pembangkang.
Katanya, di sebalik bertindak mengkritik pembangkang, Nazri nampaknya lebih berminat menghentam 'orang sendiri' dan perbuatan itu perlu dijelaskan oleh beliau.
Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan Nazri tidak pula bertukar menjadi beban kepada parti dan kerajaan kerana terlalu asyik dan ghairah menghentam pihak yang diwakilinya sendiri.
NAZRI JAWAB AWANG SELAMAT
Saya ada membaca komen Awang Selamat terhadap saya dalam kolumnya. Saya ingin membuat beberapa penjelasan supaya pembaca tidak menganggap apa yang dia tulis itu adalah betul.
Pertama, saya tidak pernah takut untuk dikritik oleh pembangkang. Saya mahu Awang datang ke Parlimen dan melihat dan mendengar dengan sendiri ucapan-ucapan yang menyakitkan hati dan serangan yang saya terima ketika saya mempertahankan kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perdana Menteri. Sepanjang tempoh 33 tahun pembabitan saya dalam politik, saya tidak terlepas daripada kritikan mana-mana pihak termasuk komen terbaru daripada Awang. Saya sendiri tidak tahu tentang Awang kerana saya tidak tahu siapa dia Awang. Saya harap dia juga seorang lelaki macam saya dan membuktikan bahawa dia tidak takut untuk berhadapan dengan kritikan dan bersembunyi di sebalik nama samaran yang dia gunakan.
Saya juga bukan anti Dr Mahathir. Bagi saya, setakat ini beliau adalah Perdana Menteri terbaik yang saya pernah berkhidmat. Bagaimanapun, sebagai seorang bekas Perdana Menteri juga ada banyak kekurangannya. Awang sewajarnya keluar daripada peredaran masa dan berhadapan dengan hakikat bahawa saya kini berada dalam kerajaan sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan sebaliknya. Justeru, yang mengkritik kerajaan ialah Tun Mahathir dan bukan sebaliknya. Sudah tentu, sesiapa sahaja tanpa mengira siapa yang mengkritik kerajaan akan menerima serangan dalam tindakan saya mempertahankan kerajaan, sebagimana yang telah saya lakukan ketika Tun Mahathir dan Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Dengan mengatakan begitu, saya mahu Awang mengetahui bahawa saya sentiasa tahu siapa ketua saya. Ia buka Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno. Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya.
Bersopan kepada pembangkang adalah tindkaan tepat untuk diambil dalam amalan demokrasi kerana seperti saya mereka juga dipilih oleh rakyat. Sudah tentu Awang terperangkap dalam peredaran waktu masa-masa lalu di mana ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja tidak melibatkan mereka bersama, malah membenci mereka dalam kebanyakan masa. Awang tidak akan faham perkara ini kerana dia bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih, diletakkan di Dewan menerusi suara rakyat. Awang tidak pernah terfikir bagaimana lima Ahli Parlimen PKR boleh melompat ke kumpulan anggota bebas kalau bukan kerana kesopanan yang diperlihatkan oleh saya kepada mereka selaku Meneri Hal Ehwal Parlimen. Bilangan mereka yang melompat untuk menyertai kokus bebas telah mengatasi satu-satunya wakil rakyat tunggal dari kawasan Pasir Mas, hero orang Melayu yang diagung-agungkan oleh Awang. Umno tidak pernah meminta ataupun memerlukan Ibrahim untuk membantu kami, tetapi kerjasama dengan dia hanya akan menyebabkan kami kehilangan undi. Tun Mahathir sendiri memberitahu kami bahawa beliau telah hilang 90 peratus undi di Kota Setar Selatan yang merupakan kerusi Parlimen majoritinya orang Melayu pada 1969 di tangan Yusof Rawa, di mana dilaporkan bahawa Tun mengatakan beliau tidak memerlukan undi orang Cina. Ini adalah perkara yang perlu dibelajari daripada peristiwa itu.
Sudah tentu, Awang tidak akan faham kerana dia bukan sahaja tidak pernah menawarkan dirinya sebagai calon pilihan raya, tetapi juga pembaca tidak tahu siapa dia sebenarnya. Ahli-ahli politik macam saya, yang telah bertanding empat pilihan raya dan yang telah menang, selalunya jelas dengan apa yang kami perkatakan dan tidak semberono macam Awang. Kita perlu menghimpunkan undi tanpa mengira kaum dan kami tidak duduk di zon selesa macam Awang. Dia boleh tulis dan mengatakan apa sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab dan secara semberono dengan menyedari bahawa dia tidak akan dihukum oleh para pengundi.
Itu sebabnya mengapa Awang, jika anda bertanya apakah agenda saya, saya merasakan setiap budak sekolah akan tahu bahawa matlamatnya ialah mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan Datuk Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya berharap Awang juga mempunyai agenda yang sama melainkan ketuanya adalah orang lain.
Akhirnya, saya mahu menasihatkan Awang agar berpegang pada apa yang dia lakukan dan tahu apa yang terbaik dan tidak mencampuri politik negara yang pengetahuannya jelas cetek dan sifar pengalaman. Dia harus memberi tumpuan untuk menaikkan edaran akhbarnya yang terus merosot. Kedudukan itu dengan sendiri menunjukkan prestasi dan standardnya yang rendah di mana Utusan terpaksa merujuk kepada laporan media alternatif elektronik baru sedangkan ia seharusnya bertindak sebaliknya. Itu yang sepatutnya menjadi KPI dan ukuran kejayan dia dalam bidang yang dia mendakwa dia mewakili. Saya punya sudah pasti iaitu memenangi kerusi Padang Rengas bagi BN dalam pilihan raya umum akan datang tanpa mengira sama ada saya menjadi calonnya ataupun tidak. Sehingga itu kita harus terus melihat.
Dan, bagi saya, saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?
(dipetik dari the malaysian insider.com)
GANGSTER INDIA GANAS
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaman Khan (gambar) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera bagi mengekang gejala gengsterisme melibatkan kaum India.
Menurut beliau, ini kerana kumpulan gengster itu mampu bertindak ganas dan kejam berdasarkan beberapa kes yang berlaku sekitar 1980-an.
Jelasnya, berbanding gengster kaum lain, kumpulan samseng daripada kaum India sering bertindak kejam terhadap mangsa mereka.
“Sekitar 1990-an terdapat gengster India seperti Bentong Kali yang melakukan rompakan serta membunuh mangsa kononnya untuk membantu golongan miskin.
“Selain itu, terdapat juga satu lagi kumpulan remaja kaum India yang menggelarkan diri mereka Geng Satu Hati.
“Walaupun hanya kumpulan kecil yang terdiri daripada anak kakitangan Hospital Kuala Lumpur namun mereka mampu bertindak ganas ketika melakukan jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas permintaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah di dalam Mingguan Malaysia hari ini supaya polis memberi perhatian terhadap gejala gengsterisme di kalangan kaum India yang semakin memuncak.
Kenyataan beliau dikeluarkan berasaskan laporan Ketua Pemuda MIC Selangor, M. Shaker Raj Ayenger yang mendakwa 300 belia India di Selangor ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dalam tempoh empat bulan tahun ini.
Mohd. Zaman memberitahu, selain kedua-dua kumpulan terbabit terdapat juga pembunuhan kejam lain yang dilakukan gengster India ketika itu.
Antaranya, jelas beliau, satu kes pembunuhan kejam yang berlaku ladang kelapa sawit di Gopeng, Perak.
Katanya, kejadian itu berpunca apabila pemilik ladang kelapa sawit berkenaan mencederakan sekumpulan lembu milik gengster berkenaan.
“Bagi membalas dendam, kumpulan samseng itu menetak pemilik ladang itu dengan kejam sehingga mati.
“Selain itu, di Kuala Kubu Bharu, gengster India di situ yang berang terhadap kesilapan dilakukan seorang lelaki di kuil mereka mencincang mangsa sehingga mayatnya tidak dapat dikenali,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan kejadian-kejadian itu termasuk insiden pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, polis kini perlu bertindak pantas menghapuskan kumpulan tersebut.
Menurutnya, jika dibiarkan, perkara itu dikhuatiri akan terus berlaku pada masa depan dengan kejadian lebih menyayat hati dan melibatkan lebih ramai mangsa.
Mohd. Zaman menambah, kumpulan samseng itu perlu dibendung pada peringkat awal termasuk usaha pihak berkuasa untuk melakukan sekatan terhadap aksi ganas dalam filem Tamil.
LIMA PELAJAR JADI KUMPULAN PERTAMA SEKOLAH HARAPAN
Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.
Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.
"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.
Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.
Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.
"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.
"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.
Langgan:
Catatan (Atom)