Rabu, April 11, 2018

BN TERENGGANU PERLU AKUR CALON MB PILIHAN PM

KUALA LUMPUR: BN Terengganu perlu akur dengan calon menteri besar pilihan Datuk Seri Najib Razak jika berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, Najib selaku pengerusi BN pastinya mempunyai pertimbangan sendiri dalam memilih orang yang sesuai mentadbir negeri itu.

"Saya percaya pucuk pimpinan ada pertimbangannya dan pertimbangan itu yang harus kita patuhi," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengatakan setiausaha politik Najib, Datuk Jailani Ngah bakal dipilih menjadi menteri besar Terengganu.

Jailani dikatakan akan bertanding di DUN Batu Rakit, manakala Ahmad Razif berpindah ke kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dipegang PAS.

Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman bagaimanapun berkata pentadbiran negeri tidak berdepan banyak masalah bawah pimpinan Ahmad Razif.

"Saya lihat tiada banyak masalah sekarang. Sudah tentu setiap orang yang diberi tanggungjawab memerlukan masa untuk membuktikan kemampuannya," katanya lagi.

Malah beliau mengatakan kedudukan Umno dan BN di sana kini lebih kukuh dan yakin mampu menambah beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-14.

"Saya percaya beberapa kerusi akan dapat diambil balik...(Namun) ia memerlukan kerja kuat dan (pasukan yang) bersatu," katanya lagi.

Ahmad Said dikatakan kecewa dengan perkara itu dan mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas, disusuli Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukti Besi, Roslee Daud.

Susulan itu, BN hanya memiliki 14 kerusi DUN manakala PAS dan PKR 15 kerusi.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan untuk keluar Umno selepas campur tangan Najib.

Jailani sudah dua penggal berkhidmat dengan Najib. Selain itu beliau juga menjadi pengerusi program khas Haji 1MDB.

Sumber mendakwa Jailani dipilih berdasarkan latar belakang akademik dan agama yang kuat, iaitu lepasan jurusan undang-undang syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

ZAMAN MAHATHIR MENGUNDI PUN PADA HARI BEKERJA

LUMUT, 10 April (Bernama) -- Penetapan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini yang juga merupakan hari bekerja bukanlah suatu perkara luar biasa sehingga boleh mencetuskan permasalahan kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tarikh tersebut sudah pasti telah dipertimbangkan sebaiknya sebelum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian pada hari bekerja pernah berlaku pada PRU 1995 dan 1999.

Shamsul Anuar berkata penetapan tarikh mengundi pada hari bekerja tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum ini ia pernah dilakukan ketika negara di bawah pemerintahan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Setiap perkara yang dibuat kerajaan atau agensi (kerajaan) akan diputar belit (oleh pihak pembangkang) dan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada rakyat. '

"Sebenarnya mengundi pada hari Rabu (hari berkerja) bukanlah perkara baharu..ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu beberapa kali pilihan raya dibuat pada hari berkerja," katanya.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) berkata, isu berkaitan tarikh pengundian dilihat seperti sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang yang disifatkan mahu menimbulkan kemarahan rakyat.

Katanya, beliau percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi serangan pihak pembangkang yang sudah boleh dijangka terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan 9 Mei nanti.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata BIKUM sentiasa menggerakkan kerja bantuan secara konsisten dan berterusan sejak dahulu lagi dan bukan hanya dilakukan menjelang PRU semata-mata.

Beliau berkata BIKUM memberi jaminan bantuan kepada rakyat akan diteruskan malah akan dipergiatkan dari semasa ke semasa biarpun selepas PRU diadakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

"Kita akan lakukan secara konsisten kerana ia tanggungjawab kita dan sebagai tanda terima kasih parti kepada rakyat yang sentiasa memberi kepercayaan kepada UMNO," katanya.

-- BERNAMA