Isnin, September 06, 2010

KARIM GHANI MAHU HIDUPKAN SEMULA USNO?


Petang semalam pada jam 2.46 petang saya menerima sms dari nombor yang tidak dikenali, 0168466799 yang berbunyi seperti berikut: "Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Datuk Haji Karim Ghani, bekas Naib Presiden USNO, bekas ADUN Bongawan, bekas Senator, bekas Ketua Penaja UMNO Bahagian Pensiangan dan bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah telah kami lantik sebagai ketua umum bagi mengkaji pembelaan nasib bekas pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang dan seluruh penyokong USNO dan semua rakyat Sabah setelah UMNO dikembangkan di Sabah. Datuk Haji Karim akan menyediakan laporan dalam masa satu bulan dari sekarang dan sebarang pendapat boleh terus berhubung dengan beliau melalui handphone 0128679263".

Selepas menerima sms itu, saya hubungi Musli Oli, penulis terkenal di Sabah. Katanya, Datuk Karim buang masa. Dahulu dia dipecat dari USNO kerana mahu UMNO masuk ke Sabah tetapi kini dia pula mahu bangkitkan USNO.

USNO dibubarkan setelah UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991. Sejak BN menang di Sabah sudah tiga orang bekas pemimpin USNO menjadi Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Sakaran Dandai, Datuk Osu Sukam dan Datuk Seri Musa Aman.

Oleh itu jika bekas pemimpin USNO yang menjadi Ketua Menteri Sabah tidak pandai menjaga hati bekas penyokong USNO, maka bukan salah UMNO tetapi salah mereka sendiri. Oleh itu usaha menghidupkan semula USNO bukannya mudah kerana KDN tidak akan meluluskan semula pendaftaran parti politik yang menyaingi UMNO di Sabah.

Kecuali selepas dibuat kajian ini, mereka buat keputusan untuk menyertai PKR beramai-ramai maka PKR akan menjadi saingan sengit kepada UMNO dalam pilihanraya negeri Sabah akan datang.

Datuk Karim dipinggirkan oleh Musa Aman apabila beliau menjadi Ketua Menteri. Dari jawatan Ketua Penerangan, beliau digantikan oleh Musa dengan orang lain. Selepas BN bertapak di Sabah pada tahun 1994, Datuk Karim tidak pernah dapat peluang bertanding sama ada di parlimen atau negeri yang menyebabkan beliau kecewa sedangkan beliau telah dipecat dari USNO kerana mahu UMNO bertapak di Sabah pada tahun 1986.

Beliau mendahului zaman. Di kala pemimpin USNO tidak mahu UMNo, beliau mahu UMNO dikembangkan ke Sabah. Bila UMNO bertapak, beliau pula tidak mendapat tempat dalam UMNO sehingga dikalahkan oleh Datuk Rizalman Abdullah dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan. beliau hanya diberi peluang sebagai ahli Dewan Negara (Senator) selama dua penggal. Kini beliau rasa tersisih dan dipinggirkan maka beliau fikir sudah sampai masanya bagi bekas para penyokong USNO bersatu kembali dalam satu wadah. Mampukah gerakan ini menggugat UMNO Sabah?Terserahlah kepada rakyat Sabah untuk membuat penentuan.