Jumaat, Oktober 15, 2010

DUA PEKERJA DIPENJARA TUJUH TAHUN



Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini atas empat tuduhan berasingan melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.

Mereka ialah U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, kedua-duanya pekerja ladang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Kelmarin, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Semua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.

Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.

TAK PERLU PANGKAH BN


Nampaknya pengundi DUN Galas tidak perlu pangkah BN. Kalau BN kalah pun, BN tetap menunaikan janji yang ditabur pada pilihanraya kecil ini. Hal yang sama berlaku di DUN Manek Urai pada tahun lepas.

Walaupun BN tewas dalam pilihanraya kecil itu, BN tetap menunaikan pelbagai janji yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya kecil tersebut. Inilah untungnya rakyat Kelantan. PAS menang tetapi BN yang buat pembangunan.

Sepatutnya BN menghukum pengundi Manek Urai dengan tidak menunaikan janji. Buat apa tunai janji, BN sudah kalah. Biarlah PAS yang buat pembangunan sebaliknya BN tidak zalim. BN tidak mahu jadi munafik. Justru itu BN tetap tunaikan janji walau kalah di Manek Urai.

Jika trend Manek Urai tidak berubah di Galas, maka biar PAS menang dan BN tetap tunaikan janji yang ditabur menjelang pilihanraya kecil ini. Oleh itu sudah sampai masanya BN menghukum para pengundi Galas. Kalau BN menang, baru BN tunaikan janjib dan kalau BN kalah, tak perlulah BN tunaikan janji.

Dakwaan pemimpin Pas bahawa Barisan Nasional (BN) belum menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang lalu hanya satu fitnah.

Menurut bekas calon BN yang bertanding bagi kawasan tersebut, Tuan Aziz Tuan Mat, 40, semua janji yang diberikan semasa kempen itu telah pun ditunaikan, malah pelbagai lagi bantuan akan menyusul.

"Saya mahu mereka beritahu apa lagi yang kita tidak tunaikan. Walaupun saya kalah tetapi semua janji-janji itu telah pun dilaksanakan untuk manfaat rakyat di situ.

"Sebab itulah saya menyeru pengundi di Galas agar tidak tertipu dengan kata-kata pemimpin Pas ini yang hanya fitnah semata-mata," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada kempen pilihan raya kecil itu 14 Julai tahun lalu, Kerajaan Pusat telah berjanji untuk membawa pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai Lama membabitkan kos RM10 juta, menaik taraf Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina gelanggang sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

Tuan Aziz berkata, walaupun hanya pembinaan jambatan itu yang masih belum ditunaikan kerana beberapa masalah yang timbul, pemimpin Pas tidak melepaskan peluang apabila menjadikannya sebagai isu utama mereka untuk berkempen di Galas.

Beliau yang juga penyelaras DUN Guchil berkata, beberapa masalah pemilikan tanah adalah punca kelewatan pembinaan jambatan itu, namun ia akan tetap diteruskan meskipun kosnya dikatakan telah meningkat sehingga RM17 juta.

"Masjid Temalir sudah hampir siap. Proses pemilikan tanah di Kampung Manjor sudah siap dan tidak lama lagi gelanggang sukan akan dibina.

"Di seluruh Manek Urai lebih 500 buah rumah penduduk miskin telah diganti dan dinaik taraf, jadi apa lagi yang Pas nak cakap," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta lebih 11,000 pengundi di DUN Galas dapat membuat keputusan terbaik ketika hari pengundian nanti supaya memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membangunkan kawasan mereka.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu.