Sabtu, Jun 01, 2019
JAMBATAN ANGKAT KT AKAN DIBUKA ESOK JAM 7 PAGI
KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan dibuka kepada orang awam pada pukul 7.00 pagi Ahad ini sehingga 17 Jun.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembukaan jambatan itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, dan koordinasi sistem penyuraian trafik.
“Ujian dijalankan pada tarikh ini adalah kerana ia waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya sekaligus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook rasminya.
Semua jenis kenderaan beroda dibenar menggunakan jambatan itu namun kenderaan tidak dibenar berhenti di jambatan itu.
Pengguna juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan angkat kerana secara teknikal ia masih dianggap sebagai kawasan pembinaan, katanya.
Ahmad Samsuri berkata Polis Diraja Malaysia dan syarikat operator pengurusan jambatan itu akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga dalam tempoh pengujian ini.
“Saya meminta supaya pengguna dapat mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain projek itu dan tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)