Jumaat, September 13, 2013

MENENTANG MB ADALAH FARDHU KIFAYAH

KUALA LUMPUR: Tepat ramalan FMT pada 4 September lalu bahawa seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman. FMT pada hari tersebut menulis tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar. Hari ini tokoh berkenaan, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu dari kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak. “Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua ahli Umno Terengganu,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di Restoran Nagas berhampiran PWTC pagi ini. Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu. Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding. Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu. “Kalau kita tak berani berubah,ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya. Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa memerintah negeri. “Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi. Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. “Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau. Turut baca Umno Kemaman: Semua jawatan utama ditandingi (www.freemalaysiatoday.com)

SEMUA JAWATAN UTAMA DI KEMAMAN DICABAR

Umno Bahagian Kemaman dijangka menyaksikan tiga jawatan utamanya dicabar Oktober ini. Menurut sumber, seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian. Tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar. Sumber itu menambah, jika tokoh veteran itu jadi menentang Ahmad Said, ini bermakna Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu gagal mengawal ahlinya supaya menjadikan Umno Kemaman sebagai contoh kepada tujuh bahagian lain di Terengganu. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dijangka menerima cabaran daripada seorang ahli perniagaan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Cabaran dari ahli perniagaan itu dikatakan direstui Ahmad Said kerana Ahmad Shabery dijangka mencabar Ahmad Said pada tahun 2016 jika benar Ahmad Said dikekalkan Menteri Besar untuk satu tahun sahaja. Sumber itu menambah, maka politik Ahmad Shabery perlu dimatikan pada 19 Oktober jika Ahmad Said mahu kekal sebagai Ketua Bahagian pada tahun 2016. Manakala bagi jawatan naib ketua pula, ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar (gambar) dikatakan akan mencabar Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid. Sumber itu memberitahu FMT bahawa Wan Hakim dikatakan mendapat sokongan daripada Ahmad Shabery yang mahu melihat karier politik Setiausaha Politik Menteri Besar itu berakhir. Manakala Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim,29, dijangka menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Hisham Zubir. Hisham dikatakan merestui Fikri Ibrahim atau nama glamournya, Bulat, 37, untuk jawatan tersebut yang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)