Isnin, Mac 18, 2019
MASJID TERAPUNG TARIKAN TERBAHARU DI BANDAR RAYA KUCHING
KUCHING, 17 Mac (Bernama) -- Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak, menjadi tarikan terbaharu di bandar raya ini selepas Jambatan Darul Hana.
Masjid, yang bernilai RM21 juta, itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac lepas.
Mampu menampung 1,600 jemaah pada satu-satu masa, selain mempunyai reka bentuk yang menarik ia menjadi simbol keagungan syiar Islam di sini.
Tatkala waktu senja, panaroma sekitar masjid bertambah mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam yang menampakkan lagi seni binanya yang agung.
Di sebelah malam pula, Masjid Terapung yang dibina di atas tapak warisan jalan Kuching itu akan diterangi dengan lampu LED pelbagai warna bagi menaikkan lagi seri dan suasana di tebingan sungai itu.
Penduduk setempat, Nur Apriyani Abdul Razak, 18, berkata beliau terpesona dengan keindahan seni bina masjid itu sekali gus menjadi mercu tanda terbaharu umat Islam di Sarawak.
“Kemudahan tempat untuk berwuduk juga selesa, disediakan di luar dan dalam. Selain itu, kita berasa amat selamat ketika beribadah kerana masjid berkenaan turut disediakan dengan pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.
Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Hafizul Hakimi, 26, berkata beliau tidak menjangka tebingan Sungai Sarawak turut mempunyai Masjid Terapung seperti di Melaka dan Terengganu.
“Sebelum ini, saya hanya tahu mengenai jambatan Darul Hana, sekali berkunjung ke sini rupa-rupanya ada satu lagi mercu tanda terbaharu di Bumi Kenyalang ini.
“Panaromanya sungguh indah, apabila menyusuri tebingan sungai ini dengan Sarawak River Cruise pada waktu senja,” katanya.
Masjid, yang memiliki ciri rekaan dan binaan Timur Tengah, itu turut terbuka kepada orang awam yang bukan beragama Islam bagi memberi peluang melihat sendiri rekaan dalamannya.
Ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Terapung itu baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan masjid tersebut, hasil cetusan idea dari Abdul Taib, selari dengan usaha untuk memperindahkan kawasan tebingan Sungai Sarawak.
“Kami menjangkakan kerja menaik taraf kawasan tebingan ini, yang bermula dari Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung, siap dalam tempoh dua tahun dan seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya cantik, bersih dan selamat.
“Kedudukannya yang strategik serta bersebelahan Kuching Waterfront telah mengubah landskap setempat, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai ikon terbaharu,” katanya.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)