Rabu, Julai 09, 2014
TUAN CHIK DALAM KENANGAN
Pagi semalam 9.30 sahabat saya Tuan Chik Tuan Muda, 58 tahun, meninggal dunia kerana kanser limpa. Saya terkejut menerima panggilan telefon dari adik ipar pada jam 11 pagi. terus saya call Mat Din, kawan rapat Tuan Chik untuk pengesahan. Mat Din dalam perjalanan dari KT ke Kemaman. Saya sendiri pun tak tahu dia sakit kerana Mat Din tak beritahu bahawa pada 3hb Tuan Chik dah masuk Hospital Kuantan dihantar oleh Mat Din sendiri. Kisfi pun marah kerana tiap hari Kisfi jumpa Mat Din, Mat Din tak beritahu pun Tuan Chik sakit.
Setiap kali saya balik Kemaman saya akan singgah di kedai bajanya. Dahulu Tuan Chik adalah seorang kerani di FELCRA Seri Bandi. Di situ dia kenali Mat Din yang bekerja sebagai pembantu luar FELCRA. Selepas dia menang ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman pada tahun 1990, dia memohon jadi Penghulu. Dua kali dia mohon jadi penghulu. Kali pertama gagal kerana dalam kad pengenalannya dia dilahirkan di Pahang. Selepas mendapat pengesahan sudah lama jadi rakyat Terengganu, barulah beliau berjaya menjadi Penghulu dengan pertolongan aruah Cikgu Mohamad Mahmud pegawai khas ADUN Chukai, Tan Sri Wan Mokhtar. Tempat pertama beliau bertugas di mukim Pasir Semut yang berpengkalan di kampung saya Pasir Gajah pada tahun 1992. Saya baru balik dari Sabah pada tahun 1992 dan balik ke Pasir Gajah setelah meletakkan jawatan sebagai Penolong Editor akhbar Watan. Maka kami rapat kerana kami mempunyai minat yang sama dalam politik. Kami sering bersama kerana kebetulan ketika itu saya tiada kereta maka saya menumpang keretanya ke majlis politik di daerah Kemaman. Pada tahun 1995, apabila saya menang bertanding jawatan ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman beliau sudah meninggalkan pemuda dan menang ahli jawatankuasa Umno Bahagian. Saya bimbang juga jika umur pemudanya belum habis, dia tetap mempertahankan jawatan ajk pemuda dan sudah tentu saya kalah kerana masakan perwakilan mahu pilih dua orang dari cawangan Pasir Gajah sebagai ajk pemuda.
Pada tahun 1993, apabila ADUN Kijal, Ahmad Said menentang aruah Nazri Salleh bagi jawatan Ketua Pemuda, beliau adalah salah seorang ajk pemuda yang digelar Geng 10 yang menentang Nazri Salleh.Maka strategi diatur untuk mengalahkannya sebagai ketua cawangan Umno FELCRA Seri Bandi di mana Harun yang ditaja oleh kumpulan Nazri Salleh mengalahkan Tuan Chik yang menyokong Ahmad Said.
Di zaman PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, beliau ditukarkan ke Setiu. Apabila BN menang semula pada tahun 2004, beliau ditukarkan ke Kijal dan menjadi rapat semula dengan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said. Dua tahun kemudian beliau bersara pilihan dan membuka kedai baja di Chukai. Dalam politik, kawan lupa kawan. Dia banyak menaikkan Ahmad Said dari wakil rakyat biasa sehingga menjadi ADUN dan Exco tetapi Ahmad Said yang dikelilingi oleh orang-orangnya menyebabkan Tuan Chik tersingkir dari kumpulan Ahmad Said. Selepas Ahmad Said jadi MB pun, Tuan Chik tetap menentang Ahmad Said melalui Facebooknya sehingga Facebooknya kena godam oelh para penyokong Ahmad Said. Saya rapat dengan beliau. Setelah bekerja smeula di KL pada tahun 2001, setiap kali balik kampung sebulan sekali saya akan singgah di kedainya mengutip info perkembangan politik terbaharu di Kemaman. Secara konsisten beliau menentang Ahmad Said sehingga beliau tersungkur dari jawatan MB pada 12 Mei lalu.
Semalam Tuan Chik yang saya kenali sudah tiada. Alfatihah buat Tuan Chik.
Langgan:
Catatan (Atom)