Jumaat, November 11, 2011

PEMBANGKANG TAKUT PILIHANRAYA AWAL?


Kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan lima sebab ia tidak akan mengikut langkah Barisan Nasional (BN) jika Parlimen dibubarkan sekarang untuk membuka laluan bagi pilihan raya umum tergempar.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih bertegas mahu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini, maka Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan memanggil sidang khas untuk membawa usul bahawa pilihan raya negeri tidak akan diadakan bersama pilihan raya umum Parlimen.

Salah satu sebab menurut Lim ialah pentadbiran Najib masih belum menunaikan janji memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pengagihan RM500 yang dijanjikan untuk keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Memandangkan spekulasi semakin rancak sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil pilihan raya umum pada tarikh bertuah 11 November (2011), ada lima sebab mengapa Pulau Pinang tidak akan ikut dan tidak akan mengadakan pilihan raya seiring dengan pilihan raya umum Parlimen tahun ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di sebalik spekulasi itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini petang ini, yang dijangka antara lain akan membincangkan soal pengagihan kerusi.

"Persoalan timbul sama ada BN hanya akan mengadakan pengubahsuaian kosmetik berbanding memansuhkan ISA, sebaliknya menggantikan dengan dua undang-undang mirip ISA, menyebabkan rakyat Malaysia berhadapan dengan dua ISA berbanding satu sebelum ini," kata beliau lagi.

Keduanya kata Lim, adalah tidak adil mengadakan pilihan raya umum sekarang memandangkan jemaah haji belum pulang ke tanah air dan mereka akan dinafikan hak untuk mengundi, sekali gus menentukan kerajaan akan datang.

Kumpulan terakhir jemaah haji hanya akan pulang ke tanah air pada 11 Disember ini.

"Ketiga, kegagalan dan keengganan kerajaan BN untuk menjelaskan salah guna dana, penyelewengan yang jelas dan salah guna kuasa sebagaimana digariskan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Laporan Ketua Audit Negara mengingatkan rakyat Malaysia tentang setiap perkara yang salah di pihak kerajaan persekutuan BN," kata beliau, yang antara lain merujuk kepada perbelanjaan berlebihan oleh sembilan kementerian atau agensi kerajaan pusat dan projek kontroversi ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan milik keluarga Ketua Wanita Umno, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul.

Lim berkata, pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri memandangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen masih menghalusi syor mengenai pembaharuan bagi mengadakan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kegagalan untuk berbuat demikian akan membenarkan pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah dengan kewujudan pengundi-pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin yang diberikan status kerakyatan dan menjadi pengundi dalam beberapa jam. Apakah nasib Malaysia akan ditentukan oleh rakyat Malaysia atau pengundi hantu dan pendatang asing tanpa izin ini?" katanya lagi.

Selain itu menurut beliau, agenda nasional seharusnya difokus ke atas usaha mengelakkan banjir.

"Malaysia seharusnya belajar daripada keperitan masalah banjir di Thailand. Untuk mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh apabila mangsa banjir lebih memikirkan keselamatan daripada mengundi, (kita) bukan sahaja menafikan hak demokratik mereka tetapi bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Ulasan saya, nampak sangat pembangkang takut jika parlimen dibubar awal sehingga Lim Guan Eng mahu semua negeri dikuasai pembangkang (Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor) tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Selama ini pembangkang yang beriya benar mahu pilihanraya awal bila BN diwar-warkan bubar segera parlimen, mereka tak mahu pula. Selama ini Kelantan tidak pernah tidak membubarkan DUN bila parlimen dibubarkan. Oleh itu jelas bahawa Lim Guan Eng tidak yakin Selangor, Kedah dapat dipertahankan oleh mereka jika DUN dibubar serentak dengan parlimen.

KJ JADI MENTERI PERTANIAN?


Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengakui bahawa syarikat National Livestock and Meat Corporation yang dimiliki anggota keluarga menteri kabinet, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli unit apartmen mewah One Menerung di Bangsar, dilaporkan dengan bayaran sebanyak RM9.8 juta.

NONEPembelian kondominium itu dibuat supaya NLMC mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembu fidlot oleh National Feedlot Corporation mengalami kelewatan operasi, kata ahli parlimen Rembau itu dalam tulisan di blognya, rembau.net.

"Apabila kelewatan ini berlaku, pihak pengurusan NFC berdepan dengan keputusan penting. Apakah mereka hanya biar duit yang diberi kepada NLMC itu dalam akaun semasa yang tidak memberi pulangan yang besar sambil menunggu ladang-ladang satelit dan pusat penyembelihan antarabangsa dibangunkan?

"Kalau dibiar sahaja duit itu dalam akaun semasa, bukan sekadar ia tidak membawa pulangan tetapi dengan iklim ekonomi dunia yang melihat fenomena inflasi atau kenaikkan harga barang, nilai sebenar duit ini mungkin terhakis," kata Khairy lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang ditimbulkan ahli parlimen PKR Saifuddin Nasurtion dan juga pengarah strategik parti itu, Rafizi Ramli berhubung pembelian hartanah yang disifatkan sebagai penyelewengan dana awam.

Pembelian untuk kondominium berkenaan telah direkodkan sebagai hutang NFC kepada NMLC, dakwa Saifuddin semalam.

Ulasan saya, sejak bila pulak KJ menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bila beliau menjawab bagi pihak syarikat anak-anak Shahrizat? Adakah KJ yang terlibat dalam projek ini ketika Pak Lah yang menjadi PM?

Bagi saya, jika KJ tahu pun,beliau tak perlu menjawab kerana yang patut menjawab ialah Datuk Seri Noh Omar. Kecualilah beliau adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bolehlah beliau menjawab soalan yang berbangkit mengenai syarikat tersebut.

Khamis, November 10, 2011

SIAPA KATA TIADA KEBEBASAN BERSUARA DALAM UMNO?


Siapa kata tiada kebebasan bersuara dalam UMNO? Kalau tiada kebebasan sudah lama Zaharin Mohd Yassin bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang menghentam Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam facebooknya dipecat dari UMNO?

Ini membuktikan bahawa masih ada suara dalam UMNO. Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian PJ Utara, Lokman Ghani berkata Muhyiddin tidak faham apa yang dikatakan oleh bossnya Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) Presiden AMANAH bila beliau berkata beliau menubuhkan Amanah kerana tiada kebebasan bersuara dalam UMNO.

Lokman mengkritik Muhyiddin bahawa beliau dipinggirkan dalam UMNO. Tetapi tiada tindakan terhadap Lokman jelas menunjukkan bahawa ada kebebasan bersuara dalam UMNO. Malah sesiapa sahaja bebas menegur pemimpin UMNO seperti yang dilakukan oleh Shahbudin Husin yang telah menulis dua buah buku menghentam Datuk Seri Najib Tun Razak. Sehingga kini tiada tindalan memecat Shahbuddin dari UMJO. Ini jelas membuktikan bahawa ahli UMNO bebas bersuara.

Rabu, November 02, 2011

SEHARI DI MALL


Pagi ini seperti biasa saya pergi ke The Mall. Saya duduk semeja dengan Malik yang banyak connection dengan ramai KSU di Putrajaya.Tak lama kemudian Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan (Pok Li) tiba dengan dua orang kawannya.

Mereka bertiga duduk di meja sebelah. Beliau yang menjadi ahli parlimen Dungun selama sepanggal (2004-2008) mungkin bertanding di DUN Sura. Jika beliau menang beliau adalah bakal Exco menggantikan Datuk Zaabar Datuk Adib yang mungkin tidak bertanding di DUN Rantau Abang.

Pok Li tak lama di situ kerana mahu ke airport untuk balik ke Kuala Terengganu. Kemudian muncul Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin menyertai meja kami. Malik adalah kawan baik Zahidi. Beliau yang dicantas sebagai calon pada tahun 2008 mungkin dicalonkan di parlimen Padang Besar. Namanya turut disebut-sebut sebagai MB Perlis tapi beliau tidak berminat bertanding di peringkat DUN.

Zahidi pernah saya wawancaranya ketika bekerja dengan akhbar WATAN pada tahun 2009 ketika beliau mengumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menentang KJ dan Datuk Mukhriz Mahathir.Tetapi beliau tidak cukup pencalonan kerana beliau tiada wang untuk membeli pencalonan.

Paling lucu Zahidi menceritakan pengalamannya dicabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar oleh ahli parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid. Zahidi yang bukan ADUN menang tipis mengalahkan ahli parlimen yang disokong oleh lima orang ADUN.Zahidi agak cemas apabila isteri Azmi, Normala Shamsuddin turut berkempen menemui para perwakilan di peringkat cawangan.

Tapi Allah menyelamatkan Zahidi dan beliau menang walaupun Azmi disokong oleh Pak Lah dan KJ.Zahidi ke parlimen selepas itu dan muncul pula Hassan Ali, bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus yang merupakan orang kuat Datuk Seri Najib Tun Razak.Pak Chan bersama dua kawannya di meja sebelah kami. Ketika itu bekas Pengerusi tetap UMNO Bahagian Kemaman, Tok Mulu Dalam dan bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah, Suhaimi dan Syed Abdullah dari UMNO Bandar Tun Razak ada bersama kami.

Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib Mohamad tiba tidak lama selepas itu. Beliau yang juga Exco Kerajaan Terengganu tidak lama bersama kami kerana dia ada miting. The Mall yang kini dikenali sebagai Sunway Putra Mall terus menjadi tumpuan orang politik berkumpul. Suara yang paling lantang tetap Mohd Nor seorang aktivis UMNO Bahagian Selayang yang melahirkan rasa tak puas hati di atas perlantikan Nalakaruppan sebagai Senator.

Selasa, November 01, 2011

ORANG PAS SOLAT SEMBAH GAMBAR


Kecoh orang PAS di Surau Al Ikhwan Taman Samudra solat berjemaah menyembah gambar. Kejadian ini berlaku pada tengahari Ahad lalu ketika seorang jemaah menegur imam dan makmum yang bersolat jemaah zohor menghadap bannner besar yang ada gambar orang.

Majoriti jemaah adalah ahli-ahli PAS. Mereka ikut imam mereka bersolat sedangkan seorang jemaah yang menegur tindakan itu berkata adalah haram solat menyembah gambar.Maka jemaah tersebut mufarakah dengan tidak berimamkan imam tersebut.

Gambar yang dimaksudkan adalah gambar besar ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali serta ahli-ahli panel Forum yang akan diadakan pada malam tersebut, Naib Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz; artis Catriona Ross Baharin dan moderator forum, Ridzuan Mohd. Nor.

Kejadian ini berterusan pada solat asar berjemaah, maghrib dan isyak berjemaah tanpa ditegur pun Nik Abduh yang dianggap sebagai ulama muda. Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tindakan ahli-ahli PAS itu sebagai makruh membawa kepada haram.

Bekas Mufti Terengganu pula, Datuk Ismail Yahya berpendapat jika gambar penuh, gambar itu sudah haram, menghadap gambar sedemikian macam menghadap kaabah juga haram.

"Jika gambar sebahagian tapi agak besar, gambar itu makruh, menghadapnya seperti menghadap kaabah, haram hukumnya," kata beliau ketika dihubungi oleh blog ini.

Justru itu tindakan ahli-ahali PAS yang bersolat jemaah pada zohor, asar, maghrib dan isyak menghadap gambar banner yang ada gambar besar itu adalah haram hukumnya.