Khamis, Disember 15, 2016

CHE WAN ADNAN DALAM KENANGAN

Malam tadi saya terima berita kematian seorang aktivis politik Che Wan Adnan Che Wan Idris pada jam 11 malam sekembalinya dari mesyuarat jawatankuasa surau di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih. Jenazahnya ketika itu sedang diuruskan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras sebelum dibawa pulang ke Kuala Terengganu dan saya tak sempat pergi.

Che Wan Adnan adalah bekas Presiden Kelab Umno London pada tahun 1984 dan beliau pernah berucap di perhimpunan agung Umno 1984 mewakili Kelab Umno ketika Tengku Razaleigh Hamzah menentang Datuk Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1984 buat pusingan kedua. Beliau yang menyokong Ku Li akhirnya menyertai Parti Semangat 46 bersama Ku Li.

Che Wan Adnan adalah pengasas Parti Semangat 46 di DUN Kijal. Apabila berlaku PRK Kijal, beliau terlibat sama berkempen untuk calon Semangat 46, Ahmad Shabery Cheek menentang calon BN, Ahmad Said walaupun beliau tidak terpilih sebagai calon. Sebagai anak Kijal beliau mempunyai peluang untuk menjadi calon Semangat 46 tetapi Ku Li memilih Ketua Penerangan Semangat 46, Ahmad Shabery Cheek sebagai calon. Pemilihan Shabery tidak mematahkan semangat Che Wan Adnan untuk terus berjuang dalam parti tersebut.



Akhirnya beliau menyertai Umno  dan MB Terengganu ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad melantik beliau bekerja dengan Kemaman Supply Base (KSB). Usaha beliau untuk memenangi jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman tidak pernah menang kerana beliau adalah tokoh politik yang tidak disenangi oleh ketua bahagian dan beliau adalah seorang yang kontroversi berbanding abangnya Che Wan Wahab yang sering memenangi jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman.

Saya pernah menemui Che Wan Adnan dengan Tok Mulu Mat Dalam Awang di Restoran Nagas empat tahun lalu. Beliau yang buat bisnes besi buruk dengan partner Cina menceritakan bagaimana bossnya dapat pingat Dato Seri dari Pahang. Beliau bercerita dengan penuh kelucuan.

Baru saya tahu bahawa beliau pernah berguru dengan datuk saya Cikgu Haji Yusuf Kemasik dan dia tanya Tok Mulu saya anak siapa. Adakah saya anak Zainun? Saya jawab saya cicit Haji Yusuf manakala Zainun adalah anak Cikgu Haji Yusuf dengan isteri mudanya manakala nenek saya Zaharah anak Cikgu Haji Yusuf dengan isteri pertama dan emak saya pun nama Zainun.

Katanya, sepanjang belajar di London ajaran Cikgu Haji Yusuf menjadi pegangannya supaya tidak terlibat dalam dosa besar sedangkan pelajar lain ada yang bersekedudukan dengan pelajar wlanita senegara.

Che Wan Adnan tidak bernasib baik dalam politik. Jika beliau menyokong Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1984 mungkin beliau sudah jadi ahli parlimen Kemaman menggantikan Datuk Ismail Said. Beliau setia dengan Ku Li dan beliau lebih berjaya sebagai ahli perniagaan dan saya selalu terserempak dengannya di Kota Kinabalu, Sabah. Alfatihah buat arwah.