Ahad, September 02, 2012
AMANAH JANGKA AHLINYA BERTAMBAH
Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) menjangkakan keahlian anggotanya di negeri ini bakal bertambah dengan kehadiran Presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah ke Kemaman tidak lama lagi, bagi menarik lebih ramai ahli untuk menyertai badan bukan kerajaan itu.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, setakat ini Amanah Terengganu sudah memiliki seramai 300 ahli biarpun baru sahaja dilancarkan di negeri ini pada bulan lalu.
Menurut Raja Kamarul Bahrin, keahlian Amanah tidak terhad dan terbuka kepada setiap lapisan masyarakat kerana objektif utamanya adalah untuk melihat setiap rakyat terutama generasi muda menghayati konsep amanah yang merupakan suatu nilai universal.
“Sebagai NGO yang cintakan negara, misi kita adalah untuk menghidupkan semula legasi, janji dan cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra dan pengasas negara, supaya semua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai anggota masyarakat kebangsaan yang benar-benar adil, saksama, maju, bersatu, sejahtera dan gembira.
“Misi kita juga untuk memastikan institusi negara menghormati dan menjunjung peraturan undang-undang, prinsip demokrasi, dan hak-hak universal selain bagi membantu kerajaan dan pihak pentadbiran agar telus dan bertanggungjawab, benar-benar layak dan cekap, bebas dari rasuah dan amalan kronisme, bersih dan jujur serta saksama dan boleh dipercayai.
“Kita mahu menyemarakkan rasa kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang mendalam dalam kalangan rakyat sepertimana ketika sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kemerdekaan Amanah yang dihadiri lebih 3,000 tetamu dan diadakan di T Top Kopitiam, Jalan Jakar, dekat sini, kelmarin.
Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah; Ketua Puteri Umno Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat.
Amanah dilancarkan oleh Tengku Razaleigh di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur pada 22 Julai tahun lalu dan dengan pelancaran itu suatu suara baru, suara solidariti dan perpaduan dilahirkan.
Mengulas mengenai kehadiran tetamu yang melebihi sasaran, Raja Kamarul Bahrin menyifatkan ia sebagai kejayaan yang membanggakan apatah lagi program berkenaan adalah pertama diadakan di daerah ini seterusnya mengeratkan hubungan ahli Amanah
(dipetik dari SINAR HARIAN, 1 September 2012)
dengan segenap lapisan masyarakat.
Langgan:
Catatan (Atom)