Khamis, April 04, 2013

MB TETAP PERTAHAN DUN KIJAL

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada pilihan raya umum ke-13 ini. Kenyataan beliau itu sekaligus melenyapkan khabar angin bahawa namanya tidak tersenarai untuk bertanding kali ini. Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya DUN Sura di Dungun, lewat malam tadi, beliau berkata kerusi DUN Bandar akan dipertahankan MCA menerusi penyandangnya Datuk Toh Chin Yaw. Pada masa yang sama Ahmad menggesa mereka yang tidak tersenarai agar memberi sokongan padu kepada semua calon Barisan Nasional (BN) Terengganu. "Jika hari ini kita tolong orang lain, satu hari nanti orang lain pula akan sokong kita. Tidak bertanding bukanlah bermaksud karier politik seseorang itu tamat," katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai senarai calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kali ini. Ditanya mengenai komposisi calon dan penyertaan calon wanita, Ahmad hanya menjawab ringkas: "Tunggu sehingga pengisytiharan calon diadakan."

CUKUPLAH EMPAT TAHUN NAJIB

Bakal calon PKR bagi kerusi parlimen Sipitang, Maarop Mohd Noor berkata sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia menukar Perdana Menteri yang baru. Katanya, cukuplah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi PM Malaysia selama empat tahun kerana perubahan yang dilakukannya hanya menguntungkan kroni beliau sahaja. "Rakyat kena pilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Malaysia yang baru dengan memberi kemenangan yang cemerlang kepada Pakatan Rakyat," katanya. Katanya, rakyat sudah bosan dengan penipuan kerajaan BN selama 56 tahun dan inilah peluang terbaik bagi rakyat untuk menukar kerajaan pusat. "Kenapa kita takut tukar kerajaan pusat? Sedangkan jika Pakatan Rakyat tidak bagus, lima tahun lagi rakyat boleh pilih BN semula," tegasnya. Beliau mengajak semua rakyat Sabah memilih Pakatan Rakyat kerana Anwar sudah berjanji akan memberi kuasa penuh kepada Ketua Menteri Sabah yang baru seperti mana termaktub dalam Suruhanjaya Cobbold. Beliau yang juga bekas pegawai Sime Darby pada mulanya tidak berminat untuk emnyertai politik tetapi oleh kerana Anwar dihina sebegitu rupa oleh kerajaan BN, yangf menyebabkan beliau terpanggil untuk sama-sama berjuang dalam PKR. Sehingga ini beliau belum disahkan bertanding di parlimen Sipitang atau di DUN sindumin tetapi beliau telah dijanjikan sama ada beretanding di salah satu kerusi tersebut. "Saya tidak berminat menjadi calon tetapi jika pucuk pimpinan PKR memilih saya bertanding, saya tidak menolaknya," katanya lagi. Beliau yakin bila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia,Ketua Menteri Sabah yang baru tidak akan diremote control oleh Kuala Lumpur lagi seperti mana di zaman Haris Salleh dan Datuk Seri Musa Aman sekarang. "Sabah membentuk Malaysia dan Sabah bukannya setaraf negeri lain di Semenanjung. Oleh itu Anwar yang akan mengembalikan semula hak takyat Sabah kepada kita semua<" katanya lagi.