Selasa, April 04, 2017

BORHAN JADI KSU KEMENTERIAN LUAR BANDAR MULAI HARI INI



PUTRAJAYA 3 April - Datuk Borhan Dollah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkuat kuasa pada Rabu ini.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Borhan, 57, yang merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Perdana Menteri sebelum ini adalah lulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Hartford, Amerika Syarikat.

"Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti pada beliau membolehkannnya melaksanakan tanggungjawab di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

MALAYSIA BERSEDIA TAWARKAN INSENTIF KEPADA PENERBIT FILEM BOLYWOOD DAN KOLLYWOOD

NEW DELHI, 3 April (Bernama) -- Malaysia telah membuka pintunya kepada India, negara pembikin filem terbesar di dunia, untuk menjadikan negara sebagai lokasi pilihan mereka
menghasilkan lebih banyak filem dan siri televisyen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyifatkan dirinya sebagai peminat setia filem India, berkata pembikin filem India boleh memanfaatkan pemandangan yang unik, budaya, kepelbagaian dan bakat seni di Malaysia.

Najib berkata Malaysia bersedia menawarkan insentif kepada penggiat industri hiburan India.

"Saya menemui wakil daripada industri hiburan hari ini dan mereka bertanyakan jika kita boleh menawarkan beberapa insentif," katanya pada majlis makan malam gala anjuran Forum CEO Malaysia-India (MICEOF) bersempena lawatan beliau ke sini.

Industri filem India adalah terbesar di dunia dari segi angka filem dihasilkan, antara 1,500 dan 2,000 filem setiap tahun dalam lebih daripada 20 bahasa.

Beliau memberitahu penggiat industri hiburan India bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah peminat filem Bollywood dan Kollywood.

"Nampaknya banyak minat terhadap filem India di Malaysia," kata Najib.

Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Bersama MICEOF Malaysia Tan Sri Krishnan Tan, dan Pengerusi Bersama MICEOF India Milind Kamble.

Berdasarkan interaksi beliau dengan semua tokoh utama perniagaan, hiburan, politik dan industri beberapa hari lepas, Najib yakin banyak perkara terbaik masih belum dikecapi oleh kedua-dua negara.

Najib memulakan lawatan ketiganya ke India sebagai perdana menteri, dengan singgah di Chennai, bandaraya di selatan negara berkenaan, dan juga melawat Jaipur, yang menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia membida enam projek jalan raya dan lebuh raya.

-- BERNAMA