Sabtu, Mei 18, 2019
PENGAJARAN DARI PRK SANDAKAN
OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan baru-baru ini.Kemenangan DAP ini juga dibantu oleh usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang tidak mengenal erti penat dan telah bersama-sama turun berkempen setiap hari tanpa mengira hujan atau panas.
Daripada kajian yang dilakukan oleh beberapa penganalisis politik, mendapati bahawa pengundi di Sandakan lebih mementingkan isu tempatan dan lebih teruja dengan janji-janji dari kerajaan negeri Sabah untuk terus membawa perubahan dan membangunkan Negeri di Bawah Bayu ini, agar lebih makmur dan maju supaya semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati kesenangan yang dijanjikan. .
Mungkin itu sebabnya sebarang isu yang dikaitkan dengan agama dan bangsa sebagaimana yang sering dijadikan isu di Semenanjung Malaysia tidak akan berjaya di Sabah.
Walaupun dalam PRK Sandakan, UMNO dan PAS masih menghantar wakil bagi membantu calon dari PBS, namun masih gagal dan tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan beberapa lagi wakil dari Pakatan Harapan (PH). Kejayaan kombinasi ini juga disebabkan oleh pendekatan taktik kempen yang tidak ekstrim, bahkan mementingkan elemen kesederhanaan yang lebih kepada menekankan betapa pentingnya penyatuan rakyat Malaysia secara umumnya.
DAP dan Warisan juga berjaya meyakinkan pengundi tempatan bahawa politik perkauman serta faktor ekstremisme agama perlu ditolak. Taktik seperti ini jika terus digunakan,mungkin akan mendatangkan kebosanan kepada para pengundi yang mahukan sesuatu yang baru dari pihak pembangkang.
Kejayaan Kerajaan Persekutuan menguatkan usaha membanteras rasuah juga telah digunakan sebagai kempen oleh pihak DAP dan Warisan.Jika rasuah berjaya dibanteras maka ini akan membawa kepada pentadbiran yang lebih baik. Manakala dakwaan rasuah ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beberapa hari sebelum hari mengundi tidak membantu pihak pembangkang.
Walaupun telah dijelaskan yang pengundi Sandakan lebih menutamakan isu-su tempatan namun kemungkinan besar pihak pembangkang telah melakukan kesilapan apabila menolak usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen untuk mengembalikan status Sabah dan Sarak kepada kedudukan tahun 1963 dengan meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan DAP ketika berkempen telah menyatakan beberapa kali bahawa ahli Parlimen pembangkang pimpinan UMNO dan Pas tidak ada hak untuk bercakap tentang hak Sabah dan Sarawak jika mereka menolak untuk menyokong pindaan Perlembagaan untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada kedudukan tahun 1963 sebagai tiga entiti bersama dengan Semenanjung Malaysia yang telah membentuk Persekutuan Malaysia.
PRK ini juga terus membuktikan bahawa undi komuniti Cina masih tetap kukuh kepada kerajaan Pakatan Harapan dan nampaknya pihak pembangkang berdepan dengan jalan yang sukar untuk memenangi semula hati pengundi bukan Malayu.
Adakah ini juga bermakna yang UMNO dan PAS akan lebih erat bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang padu dari pengundi Melayu dan akan meminggirkan pengundi bukan Melayu? Dan adakah langkah ini boleh membawa kejayaan kepada UMNO-PAS untuk membentuk kerajaan.?Adakah pengundi dari bukan Melayu yakin yang gabungan UMNO-PAS akan membentuk satu pentadbiran yang lebih hebat daripada gabungan PH yang terdiri dari pelbagai parti yang lebih fleksibel. Perlu diingatkan juga beberapa parti dalam gabungan PH juga akan cuba mendapatkan undi Melayu bagi memastikan PH akan terus kekal di tampuk pentadbiran.
UMNO dan PAS telah menggunakan pelbagai isu dalam mengkritik pentadibiran PH yang baru berusia setahun jagung. Walaupun kebanyakan kritikan itu tepat dan gagal dibalas dengan baik oleh pihak PH, namun perlu diingatkan bahawa kerajaan PH telah banyak belajar daripada 365 hari pertama ini dan pastinya akan lebih berhati-hati dalam mengorak langkah berikutnya. Contohnya, adakah Isu Islam dipinggirkan sejak PH memerintah akan masih relevan dalamasa beberapa bulan ini?
Bagaimana pula dengan taktik UMNO-PAS yang terus menyalahkan DAP dalam pelbagai isu.?Mungkin masih ada penyokong yang akan terus terpikat dengan agenda yang dibawa oleh UMNO-PAS ini, tetapi jika isu yang sama terus dijerit dan diperjuangkan , dikhuatiri akan menimbulkan rasa bosan pula di kalangan para pengundi yang sentiasa mahukan kelainan dari pihak pembangkang. Ya, mereka mahukan pembangkang yang lebih dinamik dan progresif.
Langgan:
Catatan (Atom)