Selasa, Mei 03, 2016

ANTARA PAS DAN AMANAH:SIAPA LEBIH POPULAR DI SARAWAK?

KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Percaturan PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah) bukan sahaja sekadar menambat hati pengundi Sarawak malah lebih kepada saingan populariti antara kedua-dua parti semenanjung itu.



Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini, menjadi medan berkecuali bagi kedua-dua parti itu menentukan siapa antara mereka lebih popular berdasarkan undi yang diperoleh dalam 24 kerusi yang ditandingi PAS-Amanah.

Banyak pihak dan pemerhati politik berpendapat kedua-dua parti itu tidak releven dalam senario politik Sarawak malah kehadiran di Bumi Kenyalang lebih bersifat ego sesama sendiri.

Langkah PAS menggandakan kerusi yang ditandingi serta penampilan sulung Amanah pada pilihan negeri kali ini tidak harus dilihat dari segi memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak semata-semata.

Malah, sebarang pencapaian kedua-dua parti itu akan menentukan hala tuju dan penerimaan rakyat terhadap parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pada PRN-11, PAS meletakkan 11 calon berbanding lima pada pilihan raya negeri 2011 dan Amanah membuat penampilan sulung di sini dengan kehadiran 13 calon di kawasan majoriti Melayu-Melanau.

Kedua-dua parti berkenaan akan bertembung di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Samariang, Kakus, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro,

Selain enam kerusi itu, PAS turut bertanding kerusi DUN Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Amanah juga bersaing di kerusi DUN Demak Laut, Gedong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingian.

Pada PRN 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Berdasarkan hasil kajian dan tinjauan, penganalisis politik berpendapat kedua-dua parti itu sukar untuk memenang walaupun satu kerusi berikutan tahap fahaman ideologi yang dibawa oleh mereka masih rendah.

Di samping itu, mereka berkata populariti Ketua Menteri, Adenan Satem merangkap Pengerusi BN Sarawak, melonjak kepada lebih 80 peratus, sekali gus meningkatkan cabaran PAS-Amanah untuk menembusi kuat kuat BN.

Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan PAS menerima peratusan undi yang lebih tinggi daripada sebelum ini kerana undi bantahan terhadap calon BN.

Pensyarah sains politik, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi memberitahu Bernama bahawa kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai peluang memperoleh undi tambahan kerana "janji-janji yang tidak dipenuhi oleh penyandang calon BN".

"Ia tidak bermakna PAS lebih diminati tetapi pengundi rasa suara mereka tidak cukup didengar...sebab itu mungkin sebilangan kecil pengundi membantah.

Beliau turut berkata pertembungan kedua-dua parti itu boleh memecahkan undi dengan BN memperoleh kelebihan.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis berkata jumlah kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua parti itu tidak masuk akal, sebaliknya, hanya menumpukan kepada dua atau tiga kerusi sahaja.

Keluasan kawasan pilihan raya di Sarawak dan sumber yang terhad menyukarkan peluang kedua-dua parti semenanjung itu malah kerusi yang mereka bertanding merupakan kubu kuat BN, katanya.

-- BERNAMA