Rabu, April 06, 2016

SARAWAK KEKAL TANPA UMNO



Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Openg semalam menafikan khabar angin bahawa parti komponen BN itu akan cuba menubuhkan Umno di Sarawak.

"Saya ingin nyatakan dengan jelas, bahawa kita tidak akan membawa Umno ke Sarawak, sama ada oleh pemimpin semasa atau masa hadapan," kata Abang Johari kepada pemberita selepas taklimat pilihan raya parti.





Umno tidak wujud secara rasmi di Sarawak. Pemimpinnya tidak pernah dihalang daripada memasuki negeri ini.

Abang Johari juga menafikan pembabitan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof dalam melobi untuk membawa Umno.

"Fadillah dikatakan sebagai pemimpin yang cuba membawa masuk Umno.

“Dulu mereka gunakan nama saya tetapi sekarang bahawa saya telah tua, mereka kata Fadillah pula akan membawa masuk Umno," katanya.

PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi negeri dan dijangka meletakkan calon untuk bertanding di 11 kerusi baru yang diwujudkan November lalu.

Ditanya mengenai jaminan bahawa Umno tidak akan menjejak ke Sarawak, Abang Johari berkata kedua-dua komponen itu mempunyai "persefahaman bersama" bahawa PBB adalah tulang belakang BN negeri.

"Terdapat perbezaan yang besar antara Umno dan Sarawak, kerana di Sarawak kita mempunyai bumiputera dengan latar belakang yang berbeza-beza.

“Dalam Umno, mereka tidak mempunyai demografi seumpama itu. Terdapat perbezaan. Senario ini berbeza,” katanya.