Selasa, Julai 16, 2013

NAWI AKUI DAPAT TANAH

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Nawi Mohamad mengakui mendapat sehektar tanah daripada kerajaan negeri Terengganu, seperti didedahkan PAS di tengah-tengah kempen pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini. "Betul ada, tapi rakyat biasa juga dianugerah tanah oleh kerajaan negeri Terengganu," kata Nawi melalui SMS ketika ditanya berhubung pendedahan ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini. Dzulkefly hari ini mendakwa, ketika rakyat biasa diberikan alasan tiada tanah ketika memohonnya, empat pemimpin Umno Besut, termasuk Nawi masing-masing memiliki satu hektar tanah di Kuala Besut. Sambil menyindirnya sebagai "tradisi mendahulukan penguasa politik", Dzulkefly mencabar pemimpin BN itu menjelaskan dakwaan yang disokong oleh dokumen berkaitan yang enggan didedahkan pada masa ini. Nawi didakwa memiliki tanah PT6904 dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, Besut. Tiga lagi menghadapi dakwaan sama: Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902).