Ahad, Oktober 07, 2012
SOROS SEKAT PENGARUH CHINA
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin mendakwa jutawan George Soros mendanai kumpulan antikerajaan bagi menyekat pengaruh China sebagai kuasa ekonomi dunia.
"Suaram terima dana luar untuk operasi tentang kerajaan dan hasut rakyat.
"Soros dikenal pasti (dan) jatuhkan kerajaan di beberapa negara seperti Mesir dan Iraq dan hasut rakyat di sana untuk bangkit menentang kerajaan.
"(Dia) guna cara sama di Malaysia dan pilih Malaysia sebab strategik untuk halang China kembangkan ekonomi di abad ke-21.
"Ini strategi Amerika Syarikat," katanya sewaktu perbahasan Bajet 2013 di Parlimen tiga hari lalu.
Bangkit menyokong beliau Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan.
Menurutnya, kuasa-kuasa luar yang menghulurkan bantuan kepada negara ini akan kembali menuntut budi mereka dibalas bagi memenuhi agenda mereka.
"Ada masa sumber ini minta 'dividen' - (dan tanya) dulu saya tolong kamu, apa boleh kamu buat untuk saya?
"Kita tak musuhi semua pihak, tetapi (tindakan) mempengaruhi rakyat dan menggambarkan kerajaan sangat zalim, membahayakan keselamatan kita," katanya.
Manakala ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin pula mengaitkan kuasa-kuasa luar itu dengan kedudukan naik turun saham di Malaysia.
Sementara itu, anggota Parlimen BN turut mengambil kesempatan menghentam portal berita bebas Malaysiakini.
"Kita tidak minta semua blog dan media sokong kerajaan. Tetapi jangan hari-hari memfitnah, (seolah-olah) tiada kerja lain.
"Gunakan apa-apa yang ada. Malaysiakini harus dipanggil (ke muka pengadilan), dan undang-undang ada (untuk tujuan ini)," kata Bung Mokhtar.
PEGUAM DIJEMPUT UNTUK POLITIK
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara telah memperjelaskan pembelian kapal selam Scorpene mengikut prosedur perundangan dan laporan rasminya harus diterima pakai oleh semua pihak.
Mengulas usaha pihak pembangkang untuk menjemput peguam dari Perancis, William Bourdon, untuk memberi taklimat kepada anggota Parlimen mengenai urus niaga kapal itu, Zahid berharap pihak tertentu supaya jangan cuba menyeleweng fakta yang sedia ada.
Beliau berpendapat peguam itu dijemput oleh pihak pembangkang semata-mata untuk urusan politik bukannya atas urusan perundangan.
Zahid memberitahu pemberita selepas merasmikan Temasya Sukan Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum Al Tarbiah, Kampung Tanah Lalang di Bagan Datok, semalam.
Ahmad Zahid berkata pembelian kapal selam itu harus dilihat dari aspek program 'offset', latihan dan jaminan mutu kerja untuk tempoh tertentu dan isu ini adalah perkara lama yang sengaja dibangkitkan semula untuk menimbulkan kemarahan dan mengelirukan pemikiran rakyat.
Ditanya mengenai perkara lain iaitu permintaan elaun RM500 setiap bulan oleh veteran tentera zaman darurat, beliau terserah kepada budi bicara Perdana Menteri untuk menunaikannya sekiranya kerajaan berkemampuan melakukan demikian.
"Permintaan elaun tetap RM500 sebulan adalah sesuatu yang berat untuk dilakukan oleh kerajaan. Kita harus bersyukur dengan pemberian saguhati RM1,000 yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2013 sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan veteran tentera yang bertugas semasa darurat," katanya.
- Bernama
Langgan:
Catatan (Atom)