Selasa, September 03, 2013

UMNO AKAN HANCUR JIKA POLITIK WANG TIDAK DIBENDUNG

Umno akan hancur pada pilihanraya umum ke 14 jika politik wang tidak dibendung dalam pemilihan Umno Oktober ini. Menurut bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal (gambar) , politik wang masih berleluasa dalam pemilihan cawangan di bahagian tersebut. “Saya sedih dengan fenomena ini. Jika politik wang tidak dibendung segera, saya kira Umno (BN) akan hancur pada pilihanraya umum akan datang,” katanya kepada FMT. Beliau yang disebut-sebut sebagai calon Ketua Bahagian menentang ADUN Sekong, Shamsuddin Haji Yahya berkata beliau tidak jadi bertanding kerana perwakilan masih meminta wang dari calon. “Saya tiada wang maka saya tak mampu membeli undi,” katanya. Beliau kalah bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 kerana tiada wang sedangkan ada calon yang sanggup bayar RM1,000 kepada setiap perwakilan. Sapari selanjutnya meminta Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen memantau politik wang di setiap bahagian terutamanya di Sabah. “Perwakilan minta wang. Kalau calon tak hulur, kalah. Jadi calon kena hulur untuk menang,” dakwanya lagi. Beliau menambah Umno akan hancur jika fenomena politik wang ini berterusan di mana orang kaya sahaja yang dapat jadi pemimpin sedangkan cerdik pandai yang tiada wang akan tercicir.

ISU HUTANG PTPTN: KHAIRY UNTUNG?

Walaupun belum ada pengesahan dari Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun untuk mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kedudukan Khairy semakin hari semakin kukuh. Sama ada Idris mencabar Khairy atau tidak, saham Khairy semakin meningkat. Jika Ketua Menteri Melaka itu jadi menentangnya, pemerhati politik percaya beliau gagal menumbangkan Khairy. Khairy semakin popular di kalangan perwakilan Pemuda. Isu hutang PTPTN melonjakkan nama Khairy. Entah macam mana pada 19 Ogos lalu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan Ogos ini. Sistem Menurut Idris, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan. Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris. Kenyataan Idris segera menerima reaksi pembangkang dan Khairy sendiri. Mereka tidak tahu inilah dilema yang dihadapi PTPTN mengutip kembali hutang mereka. Sehingga 30 Jun lepas PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion. Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mengulas isu itu berkata PKR itu akan menggerakkan kempen membantah tindakan PTPTN sehingga kerajaan BN membatalkan hasrat berkenaan. Ugutan Rafizi dalam satu kenyataan berkata langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam CCRIS merupakan satu “ugutan dan hukuman” serta perbuatan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat, terutama golongan muda. Katanya, beliau juga percaya bahawa langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam sistem yang diuruskan Bank Negara Malaysia itu tidak akan memperbaiki prestasi PTPTN untuk mengutip hutang berkenaan. “Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama PTPTN menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam. “Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam PTPTN dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara. “Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan,” katanya. Rekod Jelasnya, sistem berkenaan akan membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru dalam menilai kedudukan kredit kewangan seseorang. “Secara langsung, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman (perumahan, kenderaan dan peribadi) kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS. “Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain,” katanya. Khairy yang senada dengan Rafizi menyifatkan sebagai tidak wajar cadangan untuk menyenarai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Beliau berkata pinjaman PTPTN adalah satu keperluan kepada golongan pelajar dan berbeza dengan pinjaman berasaskan pilihan peribadi seperti kad kredit dan kenderaan. “Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi. “Dan keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma atau ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu. Pendirian Pada hari yang sama Khairy selaku Menteri Belia dan Sukan menyatakan pendiriannya dalam mesyuarat kabinet. Ini bermakna beliau berani bersuara dalam kabinet awalupun Idris sudah buat pengumuman. Selesainya mesyuarat kabinet, beliau menulis dalam twitternya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mendengar suara orang muda. “Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS. Terima kasih pada PM & menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara-suara orang muda,” kata Khairy dalam twitternya. Ada yang mempertikai kenapa Khairy yang perlu buat pengumuman. Sebenarnya bukan Khairy yang buat pengumuman. Beliau hanya meluahkan perasaannya dalam twitter. Sebaliknya Idris selaku menteri bertanggungjawab membuat pengumuman pada petang Rabu itu bahawa kerajaan bersetuju menangguhkan cadangan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara. Memufliskan Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada hari tersebut dan tindakan selanjutnya atau tindakan lain akan ditentukan selepas menerima pandangan semua pihak kelak. “Kementerian perlu mencari punca kenapa para peminjam gagal membayar pinjaman kerana kerajaan bukannya hendak memufliskan para peminjam yang bermasalah kerana kementerian sentiasa fleksibel dan terbuka dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya di majlis sambutan hari raya Kementerian Pendidikan. Esoknya di Besut, Idris yang tidak puas hati dengan keputusan kabinet berkata ada orang yang menghasut bekas peminjam PTPTN supaya tidak membayar hutang. Katanya, dalam Islam, orang Islam wajib membayar hutang. Khairy ketika menyokong langkah kerajaan menangguhkan rancangan menyenarai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) berkata keputusan itu bertepatan dengan keadaan semasa. “Kaedah tersebut memang tidak patut digunakan, banyak cara lain lagi boleh digunakan untuk dapatkan kembali hutang pinjaman tersebut. “Antaranya kita boleh kenakan tindakan mahkamah bagi mereka yang tegar tidak mahu membayar hutang. Kenapa perlu takutkan serta senarai hitam mereka yang lambat bayar atau minta pengecualian,” katanya kepada pemberita. Khairy berkata hanya lima hingga enam peratus peminjam yang tidak mahu membayar hutang PTPTN manakala selebihnya lambat membayar atau menunggu untuk mendapat pekerjaan sebelum melunaskannya. Ternyata isu hutang PTPTN menaikkan saham Khairy dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno nanti. Sebaliknya isu ini sudah tentu menjejaskan undi Idris Jusoh yang mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 19 Oktober nanti.

WAJARKAH MUKHRIZ TANDING NAIB PRESIDEN UMNO?

Sehingga ini empat orang calon sudah mengesahkan akan merebut kerusi tiga orang Naib Presiden Umno pada 19 Oktober depan. Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Afdal dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad. Dua orang calon yang disebut-sebut akan menawarkan diri tetapi belum membuat pengumuman ialah Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Malah nama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut dicadangkan bertanding jawatan tersebut. Ditekankan Wajarkah Mukhriz bertanding jawatan tersebut? Ini yang mahu ditekankan dalam tulisan ini buruk baiknya beliau bertanding. Mukhriz yang kali pertama bertanding di parlimen Jerlun pada pilihanraya umum 2008 telah dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Pada tahun 2009 beliau dicalonkan bertanding kerusi Ketua Pemuda Umno menggantikan Hishamuddin yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Mukhriz kalah di tangan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo. Baru-baru ini ayah Mukhriz yang juga bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno patut beri laluan kepada generasi muda untuk memimpin parti itu. Adakah ia ditujukan kepada perwakilan supaya memilih Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno? Sebagai Menteri Besar Kedah, saya kira beliau patut bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno sahaja kerana beliau belum pernah berada dalam majlis tersebut kecuali selepas dilantik menteri besar. Tak payahlah beliau bertanding kerusi naib presiden Umno kecuali beliau sudah menang sebagai ahli majlis tertinggi sebelum ini. Menumbangkan Saya percaya jika beliau bertanding kerusi majlis tertinggi, beliau akan menang dalam senarai “top five.” Ini adalah kerana kejayaan beliau menumbangkan kerajaan PAS pada pilihanraya umum lalu walaupun beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. Pada tahun 2016 bolehlah beliau bertanding kerusi naib presiden. Namun demikian jika beliau mahu menguji popularitinya beliau boleh mencuba bertanding jawatan tersebut walaupun sebagai orang baru mustahil menang. Saya yakin beliau akan kalah jika terus bertanding kerusi Naib Presiden Umno kerana karismanya sebagai pemimpin pusat belum terserlah. Mungkin beliau mahu mengikuti jejak ayahnya, Dr Mahathir yang pernah kalah bertanding kerusi naib presiden pada tahun 1972 tetapi Dr Mahathir menang dalam percubaan kedua pada tahun 1975 setelah dilantik Menteri Pelajaran. Ditarik Mukhriz boleh bertanding buat kali pertama pada tahun ini dan bila kalah, beliau boleh mencubanya buat kali kedua pada tahun 2016. Pada tahun 2016 beliau sudah ditarik bertanding di parlimen dan menjadi menteri pusat pula. Pada tahun yang sama, Khairy Jamaluddin juga akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno setelah menyandang jawatan Ketua Pemuda selama dua penggal. Mungkin pada tahun 2016, kerusi naib presiden Umno menjadi milik anak Hussein Onn, anak Dr Mahathir dan menantu Pak Lah kerana itulah tradisi Umno yang mewariskan kepimpinan Umno dari ayah kepada anaknya pula. Kemungkinan mereka bertiga menang pada tahun 2016 tidak mustahil kerana dalam Umno boleh buat apa sahaja yang possible. Menurut sumber, Hishamuddin sudah kalah pada tahun 2009 tetapi oleh kerana Najib mahu Hishamuddin-Zahid-Shafie menang, maka Khaled Nordin yang menang terpaksa dikorbankan. Hasil dari pengorbanan Khaled, maka jawatan Menteri Besar Johor diserahkan kepadanya sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bekas setiausaha politiknya, Datuk Dr Shaharuddin menjadi Menteri Besar Johor. Dengan terlantiknya Khaled sebagai Menteri Besar Johor, Khaled telah memberi sokongan kepada Hishamuddin sebagai calon tunggal dari Johor yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Hishamuddin tersenyum lega kerana beliau mahu jadi Naib Presiden nombor satu mengambil tempat Zahid Hamidi. Rumusannya, pemilihan 19 Oktober 2013 masih terlalu awal bagi Mukhriz bertanding jawatan naib presiden. Tetapi perwakilan 2016 mungkin sudah bersedia menerima Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno di samping Khairy Jamaluddin.

JANGAN ULANGI PILIHANRAYA KE 13

Veteran Umno Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata Barisan Nasional negeri itu akan hilang kuasa jika mengulangi kesilapan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu. Beliau menambah, BN negeri melakukan banyak kesilapan hingga menyebabkan mereka kalah 15 kerusi negeri dan empat kerusi parlimen. Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen. “Antaranya calon BN khususnya Umno yang tidak mencapai cita rasa pengundi, ia termasuk calon yang sudah tua; kurang pendidikan dan calon yang berpotensi dipinggirkan. “Faktor-faktor lain termasuklah jentera pilihan raya yang kurang kemas; serta masalah dalaman yang berlaku di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Dungun. “Saya katakan kesilapan ini perlu diperbetulkan dan jangan diulangi pada pilihan raya umum akan datang,” tambah beliau. Abdul Rahman bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon Ketua Pemuda Umno Besut, Zahari Mat yang dilaporkan sebagai berkata, Umno Terengganu memerlukan perubahan drastik. Menurut Zahari, perubahan yang perlu dilakukan melalui pemilihan parti pada 19 Oktober ini perlu digunakan sebaik mungkin supaya BN tidak kecundang di Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. Katanya, jika perubahan tidak dibuat, suatu hari nanti semua ahli Umno malu mengaku “saya adalah ahli Umno”. “Kegagalan BN di 15 kawasan DUN adalah cermin kepada kepimpinan Umno sekarang,” katanya mengulas adakah pertandingan di peringkat Bahagian akan memecahbelahkan parti,” kata Zahari.

UMNO TERENGGANU PERLUKAN PERUBAHAN DRASTIK

Umno Terengganu perlu melakukan perubahan drastik untuk memenangi semula 15 kerusi yang kalah. Menurut calon Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Zahari Mat, perubahan yang perlu dilakukan melalui pemilihan parti pada 19 Oktober ini perlu digunakan sebaik mungkin supaya BN tidak kecundang di Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. Katanya, jika perubahan tidak dibuat, suatu hari nanti semua ahli Umno malu mengaku “saya adalah ahli Umno”. “Kegagalan BN di 15 kawasan DUN adalah cermin kepada kepimpinan Umno sekarang,” katanya mengulas adakah pertandingan di peringkat Bahagian akan memecahbelahkan parti. Zahari tidak nampak pertandingan itu akan memecahkan parti kalau ia diadasrkan atas semangat kekeluargaan. “Yang saya kesalkan ada calon yang bertanding sanggup membunuh kawan baik sendiri dengan peteh-memeteh sesama sendiri,” katanya kesal. Oleh itu beliau berharap semua calon yang bertanding tidak mengamalkan budaya fitnah dan tikam belakang kerana ia dikhuatiri menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang Umno dalam pilihanraya umum akan datang apabila segala pekong didedah oleh calon Umno sendiri. Beliau berharap seperti mana kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin Umno yang sudah lama memegang jawatan pelu memberi laluan kepada muka baru dalam proses peremajaan Umno. Katanya lagi, jika BN menang besar di Terengganu pada pilihanraya umum lalu, pilihanraya kecil Kuala Besut tidak mungkin sampai bernilai RM750 juta. “RM750 juta digunakan untuk melahirkan seorang wakil rakyat sedangkan duit sebanyak itu dapat membangunkan seluruh Terengganu seperti membaiki jalan yang rosak dan pelbagai program memperaksakan belia,” katanya lagi.

KETUA WIRA PERKASA DESAK NAJIB LETAK JAWATAN

Ketua Pemuda Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mengejutkan negara apabila mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan. Menurut beliau, Najib masih lagi menggunakan kaedah lama yang mana masih meminggirkan kaum pribumi di negara ini dan mengagong agongkan kaum lain. “Peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan mendapat peruntukan jutaan ringgit, peruntukan sekolah-sekolah ini diberi dengan banyak sekali jika berbandingkan dengan sekolah pondok,” tulis beliau dalam blog peribadinya www.irwanfahmi.blogspot.com pada 25 Ogos lalu. Sehubungan dengan itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar akan memanggil Irwan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Perkasa yang selama ini dianggap menyokong kerajaan mengambil sikap berkecuali pada pilihanraya umum lalu. Malah dalam pertemuan ahli majlis tertinggi Perkasa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perkasa melahirkan banyak kekecewaan dengan dasar Najib yang merugikan orang Melayu.

KETUA WIRA PERKASA TIDAK SEDAR DIRI

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris yang mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai tidak ‘berpijak di bumi nyata’. “Presiden anda (Ibrahim Ali) pun sudah kalah dalam pilihan raya lepas tu perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan. “Anda perlu tahu kedudukan anda dulu. Apa Pemuda Perkasa ini?” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Jamuan Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara di sini hari ini. Khairy berkata, Irwan Fahmi langsung tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitinya yang hanya ketua sayap kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik. “Saya rasa dia patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan? “Dia bukan Ketua Pemuda Umno. Dia Pemuda Perkasa…Perkasa ada apa,” soalnya. Irwan Fahmi dalam entri blognya “Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan.” berkata kepimpinan Najib terbukti gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu. Beliau berkata slogan 1 Malaysia yang dibawa Najib gagal mendapat sokongan kaum Cina, malah menganggap Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kononnya membantu rakyat sebenarnya adalah rasuah yang di halalkan oleh kerajaan. “Laungan 1 Malaysia ini dilaungkan oleh pengampu-pengampu, saya mahu tanya apakah 1 Malaysia ini berjaya? Jika pada pandangan saya ianya terbukti gagal,” katanya Ahad lalu. Filem Tanda Putera Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan kepada panggung wayang supaya tidak memainkan filem Tanda Putera, Khairy berkata perkara itu tidak munasabah. “Saya harap mereka teruskan. Kalau ada usaha mereka nak halang, saya minta Jabatan Penerangan hantar wayang pacak dan tayangkan kepada orang ramai,” katanya. Katanya, sebagai parti yang mengagungkan demokrasi dan memperjuangkan kebebasan bersuara, DAP perlu membenarkan tayangan tersebut kerana ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin parti itu. “Tanda Putera ialah cerita tentang Tun Razak dan Tun Dr Ismail selamatkan negara kita selepas tragedi 13 Mei. Ini tiada kena mengena langsung dengan DAP. “Kenapa Guan Eng terasa? Kenapa perasan sangat? Tak ada kena mengena dengan beliau ataupun (Lim) Kit Siang,” katanya.

KHAIRY MASA SUSAH CARI IBRAHIM,BILA SENANG HINA IBRAHIM

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali hairan kenapa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengaitkan namanya apabila mengulas desakan Ketua Wira Perkasa supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan. Katanya, beliau sepatutnya menghentam Irwan Fahmi Ideris dan bukan menghinanya yang kalah dalam pilihanraya umum lalu. Menurut Ibrahim, kenyataan Irwan bukan pandangan Perkasa kerana beliau menulis dalam blog peribadinya. “Ia tidak kena mengena dengan Perkasa. Oleh itu kenapa Khairy serang saya dan menghina saya yang kalah dalam pilihanraya?” soalnya ketika mengulas kenyataan Khairy yang mengatakan “Presiden anda pun sudah kalah dalam pilihanraya lepas perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan”. Khairy hari ini mengulas desakan Irwan yang menulis dalam entri blognya “Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan.” yang menulis kepimpinan Najib terbukti gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu. Khairy berkata, Irwan Fahmi langsung tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitinya yang hanya ketua sayap kepada satu badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik. “Saya rasa dia patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan? “Dia bukan Ketua Pemuda Umno. Dia Pemuda Perkasa…Perkasa ada apa,” soalnya di majlis hari raya anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Ibrahim menambah beliau kalah di Pasir Mas kerana beliau bukan menantu bekas Perdana Menteri. “Saya orang kampung, tiada duit dan tiada jentera. Sebaliknya beliau menang jadi Ketua Pemuda dan pilihanraya di Rembau kerana beliau menantu bekas Perdana Menteri,“ katanya. Namun demikian beliau mengucapkan terima kasih kepada Khairy kerana melalui kenyataanya itu jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang emosional sedangkan selama ini beliau disanjung kerana dikatakan orang yang bijak dan berilmu. Ibrahim kesal kenapa Khairy kaitkan namanya sedangkan sewaktu beliau susah, beliau meminta tolongnya. “Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamannya, beliau minta saya jadi saksi. Saya sanggup jadi saksi tiba-tiba beliau selesaikan kes itu dengan Anwar di luar mahkamah. Manusia jenis apa ni? Masa susah cari saya, bila senang hina saya?” katanya lagi. Beliau berkata Khairy jangan angkuh selepas dilantik menteri kerana dia menang Ketua Pemuda pun disebabkan dia menantu Perdana Menteri. “Saya orang kampung naik sendiri dalam politik jadi Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Bahagian, Exco Pemuda Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno tetapi dia naik kerana menantu bekas Perdana Menteri ketika itu,” jelasnya. Beliau kesal kerana beliau tidak kahwin dengan anak Perdana Menteri ketika mula-mula bergiat dalam politik dahulu. Mengulas kenyataan Khairy Perkasa ada apa, Ibrahim berkata , “Perkasa hanya ada tahi gigi dan tahi telinga sahaja berbanding dengan Khairy yang ada macam macam (kaya raya) selepas jadi menantu Perdana Menteri”.

KENAPA HISHAMUDDIN TAKUT KEPADA ALI

Kenyataan terbaru Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mana-mana pemimpin yang ingin bertanding dalam pemilihan parti kali ini supaya tidak terlalu ghairah mengejar jawatan dan mengukur kemampuan mereka mengundang kontroversi. Katanya, mana-mana pemimpin yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Umno amat dialu-alukan tetapi tidak perlu terlalu ghairah untuk bertanding sehingga tidak melihat kemampuan diri sendiri. “Jangan kerana ghairah sempena musim pemilihan, bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Saya terkejut mendengar kenyataan Hishammuddin yang seolah-olah takut dengan Ali yang mungkin bertanding jawatan Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Isa Samad. Adakah Ali tidak layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana dia bukan lagi Ketua Menteri Melaka? Adakah beliau tidak layak dipilih ke jawatan tersebut kerana beliau sudah kalah pilihanraya?Adakah Ali tidak mengukur kemampuannya? Seolah-olah pada pandangan Hishammuddin, Ali tidak layak bertanding kerana beliau bukan menteri. Apakah maksud Hishammuddin bila beliau berkata bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat? Adakah beliau menujukan kenyataan itu kepada Ali seolah-olah Ali lupa tanggungjawab sewaktu menjadi Naib Presiden Umno(2004-2009). Ali menang bertanding kerusi itu pada tahun 2004 dengan Isa Samad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada tahun 2009, beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menentang Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, tetapi Ali tidak dibenarkan bertanding kerana kononnya terlibat dengan politik wang. Maka kali ini beliau kembali bertanding kerusi Naib Presiden Umno walaupun beliau belum buat pengumuman rasmi. Tanpa jawatan dalam kerajaan beliau bebas bergerak ke seluruh negara dan ini yang menimbulkan ketakutan kepada Hishammuddin. Malah baru-baru ini beliau turut berada di majlis hari raya anjuran Umno Bahagian Kota Belud di Sabah. Pemerhati politik percaya perwakilan Umno akan memilih Ali sebagai Naib Presiden kerana biasanya dalam tiga orang, seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan akan diberi tempat juga sebagai Naib Presiden. Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba yang tiada jawatan dalam kerajaan sering kali menang salah satu kerusi Naib Presiden Umno. Maka perwakilan Umno tidak ada masalah untuk memberi kemenangan kepada Ali yang bukan berada dalam kerajaan. (Beliau baru sahaja dilantik Pengerusi PUNB). Ini yang menimbulkan ketakutan kepada Menteri Pertahanan yang gagal menawan perwakilan Umno sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Beliau lebih dikenali sebagai menteri amaran ketika berada di KDN berbanding dengan Zahid yang lebih berani dan tegas sehingga dibenci oleh pemimpin parti pembangkang. Jika Ali menang, satu kerusi perwakilan diberi kepada orang Sabah (Shafie Apdal), maka satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang kosong akan jadi rebutan antara Hishamuddin dengan Zahid. Ini yang membimbangkan Hishammuddin. Ali sebagai bekas Presiden 4B dan Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) mempunyai akar umbi yang kuat. Datuk Idris Harun tidak dapat menandingi kehebatan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka. Kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka pada jam 2 pagi masih terbuka kepada orang ramai ketika Ali menjadi Ketua Menteri yang tidak akan dialami lagi rakyat Melaka di zaman Idris sekarang. Ali seorang pemimpin yang rajin menerima undangan majlis kahwin orang ramai di Melaka dari pagi hingga ke malam semata-mata tidak mahu menghampakan tuan rumah. Itulah kelebihan Ali yang mempunyai PR yang cemerlang yang tidak ada pada Hishammuddin. Inilah yang menjadi dilemma kepada Hishammuddin jika Ali bertanding.

TENGKU RAZALEIGH BERI LALUAN KEPADA MUKA BARU

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah sampai masanya bagi beliau berundur sebagai ketua bahagian setelah hampir 50 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sini. “Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baharu yang lebih jujur dan adil dalam memberi khidmat kepada rakyat,” katanya Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata keputusannya untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang juga adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak. PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya. “Saya diminta untuk terus menerajui Umno bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan kerana ramai yang layak dipilih,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang bersama Orang Asli di Kampung Lambok, di sini hari ini. Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan Umno Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut. “Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak,” katanya. Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baharu parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 Sept (untuk Majlis Tertinggi). – BERNAMA

UTUSAN MALAYSIA TAKUT KEPADA KU LI

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan penggilan Ku Li belum buat pengumuman jawatan apa yang akan ditandingi pada 19 Oktober nanti, tetapi sudah ada akhbar harian milik Umno yang takut kepada Ku Li. Apa motif akhbar itu menyiarkan berita “Jawatan Ketua UMNO Gua Musang disandang Ku Li dicabar “ pada hari ini sedangkan pada Jumaat lalu Bernama sudah melaporkan Ku Li tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian. Nampak sangat akhbar ini ada motif nak memalukan Ku Li sedangkan Ku Li dalam laporan Bernama pada hari Jumaat lalu telah mengatakan , “Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baharu yang lebih jujur dan adil dalam memberi khidmat kepada rakyat”. Akhbar arus perdana itu melaporkan Ku Li yang menyandang jawatan itu sejak 51 tahun lalu akan dicabar pada pemilihan parti itu Oktober ini. Akhbar itu menulis menurut sumber, nama yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan itu adalah Ketua Pemuda UMNO Gua Musang sendiri iaitu Datuk Bazlan Baharuddin dan beberapa nama lain. Sumber tersebut berkata, pemilihan kali ini adalah platform terbaik untuk mana-mana pemimpin muda menampilkan diri selaras dengan hasrat ahli akar umbi UMNO sendiri yang mahu melihat lebih ramai pemimpin muda diangkat naik. Selain itu, sumber tersebut turut memaklumkan bahawa seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di daerah itu akan turut mencabar jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani. Nampak sangat editor akhbar itu tidak membaca berita Bernama Jumaat lalu kerana masih lagi menyiarkan berita yang out of date. Buat malu sahaja akhbar arus perdana itu. Bernama melaporkan bahawa PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya. Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan Umno Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut. “Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak,” katanya. Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baharu parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 Sept (untuk Majlis Tertinggi). Mungkin akhbar itu sudah mencium bau Ku Li akan menentang Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden Umno, maka Ku Li perlu dimalukan. Jika Ku Li kalah di peringkat bahagian, macam mana beliau mahu kalahkan Presiden Umno. Jika Ku Li buat keputusan menentang Najib, Ku Li mustahil menang kerana sebahagian besar 150,000 perwakilan tidak kenal lagi siapa Ku Li. Beliau sudah 26 tahun meninggalkan kabinet. Tetapi tentangan itu sekurang-kurangnya dapat mengukur sejauh mana Najib popular di kalangan para perwakilan Umno setelah gagal membawa BN menang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum lalu. Saya masih ingat apabila Tun Biajid menyindir Tan Sri Syed Jaafar Albar pada tahun 1976 dalam akhbar yang sama bahawa beliau sudah tua jadi Ketua Pemuda Umno, maka Syed Jaafar ambil keputusan menentang Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin bagi jawatan Ketua Pemuda yang memberi kemenangan kepada ayah Tan Sri Syed Albar itu. Nampaknya jika akhbar ini terus menyindir Ku Li, maka Ku Li tiada pilihan untuk terus mencabar Najib yang pernah bekerja sebagai pegawainya sewaktu Ku Li menjadi Pengerusi Eksekutif Petronas dahulu.

UMNO GUA MUSANG MILIK SIAPA?

Umno Gua Musang yang selama ini diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang kini terbuka ekoran pengumuman pemimpin tersebut untuk melepaskan jawatannya. Pada hari Jumaat lalu Bernama melaporkan Ku Li sebagai berkata bahawa pilihan raya umum ke 13 ialah pilihan raya terakhir. Beliau turut menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan ketua bahagian Gua Musang yang disandangnya selama 51 tahun. Persoalan kini timbul berkenaan siapa yang akan mengambil alih kepimpinan Umno Gua Musang. Seorang sumber menyatakan bahawa sentimen ahli Umno di peringkat akar umbi di Gua Musang masih berpihak kepada Ku Li. “Sambutan buat masa sekarang masih berpihak kepada Ku Li,” kata sumber. Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin mahu bertanding jawatan ketua bahagian. “Bazlan kecewa kerana tidak mendapat sokongan penuh dari akar umbi. Beliau tidak popular,” dakwa sumber. Sementara itu sumber FMT berkata bahawa bekas calon pilihan raya umum 12 di Galas, Mohd Saufi Deraman berhasrat untuk bertanding untuk jawatan timbalan ketua bahagian. “Terdapat ura-ura bahawa Saufi Deraman mahu menyertai PAS kerana tidak dicalonkan untuk bertanding di Galas meskipun menjadi Adun Galas selama sepenggal selepas menang dalam pilihan raya tahun 2004,” kata sumber. Timbalan Ketua Bahagian Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani (gambar) enggan mengambil alih kepimpinan ketika persoalan samada beliau akan mengambil alih kepimpinan di Gua Musang diajukan kepada beliau. “Saya akan tunggu pengumuman pucuk pimpinan dan sentimen akar umbi. Saya pernah memberitahu Ku Li berkenaan hasrat untuk tidak bertanding tapi beliau kata jangan buat begitu,” kata Mat Yusoff yang juga adalah Adun Nenggiri.

AIR MANI GAJAH

Ali tidak tahu apa khasiatnya air mani gajah apabila Cikgu Shah menghubunginya untuk mencari pembeli air mani gajah. Ali terus hubungi Sam, kawan berbangsa Cina di Kelang. “Sam, ada buyer air mani gajah?” soal Ali. “Ada. Berapa gram?” tanya Sam. “30 gram. Berapa harga satu gram?” soal Ali. “RM30,000 satu gram,” jawab Sam. “Air mani gajah yang macam mana buyer nak?” soal Ali. “Yang dua alam. Testnya ambil dua batang mancis. Salut kedua-duanya dengan air mani gajah. Satu batang mancis letak di atas air, satu lagi di udara dan gerakkan yang di udara dengan yang di bawah. “Kalau batang mancis di bawah bergerak mengikut yang di udara, maka inilah yang buyer nak yang dikatakan dua alam,” terang Sam. Ali mencongak dalam kepalanya 30 gram berharga RM900,000. “Kita beritahu owner harga RM10,000 satu gram cukuplah. Baki RM20,000 satu gram kita punya,” kata Ali kepada Zaki. Zaki mengangguk senyum mendengar RM600,000 mereka punya. RM600,000 itu akan dibahagi sama rata dengan Ali, Zaki dan Cikgu Shah. “Barang dari mana Cikgu?” tanya Zaki yang menghubungi Cikgu Shah dengan handphone. “Dari Kedah. Esok petang kawan saya sampai,” kata Cikgu Shah. Batu kristal Menurut lagenda batu kristal Mani Gajah ini bermula di Wilayah Sumatra, Indonesia di mana tinggalnya Suku Anak Dalam (Suku Kubu) yang tinggal di satu wilayah dengan habitat gajah. Legenda bermula kononnya terdapat seekor gajah jantan besar yang menjadi raja kepada kumpulan gajah-gajah yang menghuni habitat gajah tersebut. Raja Gajah itu dikenali sebagai Gajah Tunggal kerana suka menyendiri kecuali bila Raja Gajah berkehendakkan gajah betina untuk melepaskan berahi yang telah menjadi lumrah alam si jantan akan mencari si betina. Bila tiba bulan purnama, maka Raja Gajah mencari kawanan gajah-gajah betina di habitat tersebut. Apabila melihat Raja Gajah datang, maka gajah-gajah betina ini membentuk bulatan dan Raja Gajah akan memilih seekor gajah betina untuk disetubuhinya. Selesai bersetubuh, Raja Gajah akan menimbus sisa-sisa mani yang berciciran di tanah agar tidak kelihatan lagi. Mani gajah yang tertimbus itu akan bertukar menjadi batu kristal yang lembut dan akhirnya menjadi keras dan inilah yang dipanggil Batu Mani Gajah. Puak Suku Anak Dalam mengintai ketika Raja Gajah sedang memuaskan nafsunya dengan gajah betina. Selepas Raja Gajah dan kawanan gajah betina beredar, maka suku itu berebut-rebutlah menggali kambusan tanah untuk mendapatkan air mani gajah yang telah bertukar menjadi kristal. “Apa khasiat air mani gajah Cikgu?” soal Zaki yang amat buta tentang air mani gajah. “Menurut orang Batak air mani gajah mampu mempengaruhi minda orang untuk menurut kata dan kehendak pengguna minyak ini . Ia lebih kuat dari minyak cenuai dan minyak pengasih,” terang Cikgu Shah. Mati pucuk “Jadi ia amat mujarab sebagai penunduk, pengerat kasih sayang suami isteri, pelaris perniagaan dan boleh mengubati penyakit mati pucuk,” sambung Cikgu Shah yang bukan pesara guru sekolah. Sebaliknya dia adalah bekas pensyarah di Institut Penyelidikan Getah (RRI) tetapi beliau dipanggil pelajar-pelajar RRI sebagai Cikgu. Esoknya, tepat jam 5 petang, Malik dan Sumi sampai di rumah Cikgu Shah di Subang Bestari. “Biar kita test dahulu sama ada ia dua alam atau tidak,” kata Cikgu Shah. “Tak payah testlah Cikgu. Kita dah lambat. Janji dengan Sam pukul 6 petang. Jalan ke Kelang jem ini Cikgu,” bantah Ali. “Saya dah testnya Cikgu. Memang confirm dua alam,” sampuk Sumi tuan punya air mani gajah itu. Cikgu Shah, Ali dan Zaki terus naik kereta Volvo Malik ke Kelang. Jalan ke Kelang memang jem gila. Tepat jam 7 baru mereka sampai di rumah Sam di Taman Andalas. Barang mistik Untuk berurusan dengan Sam, semua seller barang mistik dikenakan membayar RM300. Jika barang itu selepas test okay, Sam akan membayar sekali ganda RM600. Jika barang itu tidak okay, RM300 akan hangus. Cikgu Shah dan Ali memang tiada duit untuk bayar RM300. Maka Zaki yang sukarela membayar RM300 kepada Sam kerana dia yakin mereka akan dapat RM600,000 hari itu. “Mana air mani gajah?” tanya Sam yang meletakkan RM300 yang diterimanya dari Zaki di atas meja. “Ini dia,” kata Sumi yang membuka balutan kainnya. “Kita timbang dulu,” kata Sam sambil meletakkan air mani gajah itu dia atas alat imbang digital. “Tak sampai pun tiga gram. Ali kata 30 gram,” kata Sam. Terlopong Ali. Cikgu Shah pun terkejut kerana mereka diberi maklumat yang salah oleh Malik. Zaki yang lebih bengang kerana pelaburannya sebanyak RM300 hangus. “Saya dah kata kalau kurang lima gram, buyer tak beli,” tegas Sam. Dua alam “Jadi nak test tak sama ada ia dua alam atau tidak?” tanya Sumi. “Tak payah test pasal tak cukup lima gram,” jawab Sam yang tersenyum kerana duit RM300 di atas mejanya menjadi miliknya. “Tadi saya nak test dulu di rumah saya, Ali kata tak payah,” marah Cikgu Shah dalam kereta. “Lain kali Malik jangan dengar cakap orang. Awak tengok dulu dan pastikan ia lima gram ke atas baru datang ke Kuala Lumpur,” sampuk Ali. “Awak datang dari jauh kan rugi duit minyak dan duit tol,” kata Cikgu Shah kepada Malik dan Sumi. “Saya yang rugi kerana hangus RM300 sedangkan duit tu saya nak bayar sewa bilik bulan ini,” kata Zaki menyesal kerana tidak tengok air mani gajah itu terlebih dahulu sebelum pergi ke rumah Sam.

KUNYIT HITAM

Kisah saya tulis minggu lepas “Jenglot boleh angkat kereta?” telah menarik perhatian 3,705 orang pembaca. Terima kasih kepada semua yang membaca kisah itu walaupun ada pembaca yang berkata cerita itu bodoh. Minggu ini saya ingin bercerita tentang kunyit hitam. Yang sering kita dengar kunyit warna merah, tetapi yang mahu saya ceritakan pengalaman Ali dan Zaki mendapatkan kunyit hitam. Kunyit hitam ialah sejenis kunyit yang begitu jarang dijumpai dan mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Sesetengah kepercayaan menganggap kunyit ini mempunyai nilai mistik. Di India kunyit ini ditanam secara komersial kerana nilai perubatannya. Kalau nak test lihat keindahan Kunyit Hitam, ambil tiga ruas tebu dan pangkah di setiap hujungnya. Warna hitam dari Kunyit akan bersambung di tengah-tengah tebu sehingga hitam kesemuanya. Pangkah di nasi sehingga warna hitam mengubah keputihan nasi dan pada batang pisang. Sapukan di pangkal pokok dan perhatikan warna hitam berapa tinggi boleh naik ke atas. Masih ada lagi pelbagai cara untuk melihat keindahan Kunyit Hitam. Kunyit Hitam ni ada dua jenis. Pertamanya digunakan untuk bidang perubatan seperti mana yang semua maklum. Keduanya digunakan untuk dijadikan ibu duit. Seperti biasa setiap minggu Ali dan Zaki menghadap Ustaz Mukhlis di rumahnya di Seri Gombak. Ustaz Mukhlis berasal dari Jawa Tengah dan sudah lama menetap di situ. Dia gunakan kepandaiannya untuk berubat orang sakit. “Kamu tahu siapa yang ada kunyit hitam?” tanya Ustaz Mukhlis kepada Ali. “Nak buat apa Ustaz?” tanya Ali kembali. Pertukaran “Kita nak buat pertukaran. Ada kawan saya di Ampang mencari kunyit hitam untuk buat pertukaran,” kata Ustaz Mukhlis. “Banyak ke nilai pertukarannya Ustaz?” Zaki yang duduk di sebelah Ali menyampuk. “Billion ringgit,”kata Ustaz Mukhlis. “Haji Jurit pernah beritahu saya bahawa kawannya di Gunung Jerai ada kunyit hitam,” beritahu Ali. “Nanti kami usahakan,” tambah Zaki. Sekembalinya ke bilik mereka di Kepong, Ali hubungi Haji Jurit dengan handphonenya. “Assalamualaikum Ayah,” kata Ali. “Mualaiakumusalam Ali,” jawab Haji Jurit yang dipanggil ayah, seorang pemimpin dalam sebuah pertubuhan macam Pekida. “Ustaz Mukhlis yang kita jumpa hari tu cari kunyit hitam nak buat pertukaran di Ampang,” kata Ali. “Nanti ayah tanya kawan ayah di Gunung Jerai,” kata Haji Jurit yang duduk di Teluk Intan. Hai Jurit sudah berumur 63 tahun tapi kelihatan muda. Apatah lagi dia selalu ditemani isteri mudanya yang berusia 26 tahun. Khabarnya dia isteri keempat Haji Jurit. “Esok ayah call Anuar,” kata Haji Jurit. Alam ghaib Malam itu Ali bercerita kepada Zaki yang jahil tentang kunyit hitam. Ali pernah jumpa Ustaz Mazlan dari Kuantan yang juga mencari kunyit hitam untuk tarik duit dari alam ghaib. “Kalau ada kunyit hitam, Ustaz Mazlan suruh parking lori kecil di Janda Baik. Secepat kilat lori itu penuh dengan duit yang diambil dari alam ghaib,” cerita Ali kepada Zaki. Zaki terlopong mendengar cerita Ali. Dia tak pernah dapat rezeki seperti ini tetapi Ali pernah merasa duit hasil tarik duit walaupun tidak banyak sekadar RM22 ribu sahaja. Esoknya tepat jam 11 pagi Haji Jurit call Ali. “Ali, kunyit hitam memang ada di Gunung Jerai dengan kawan ayah. Jadi ayah kena pergi sana,” kata Haji Jurit. “Bila ayah nak pergi?” tanya Ali yang excited. “Secepat mungkin,” jawab Haji Jurit. “Kalau begitu pergilah esok ayah,” desak Ali. “Ayah boleh pergi hari ini tapi kena beri duit minyak dan duit hotel sekurang-kurangnya RM500 untuk bawa tuannya sekali ke Kuala Lumpur,” beritahu Haji Jurit. Bincang “Banyak mana? RM500? Nanti saya bincang dengan Zaki,” kata Ali. Petang itu Zaki yang baru balik dari kerja diberitahu kena sediakan RM500 untuk ambil kunyit hitam di Kedah. “Saya setakat RM200 adalah,” kata Zaki jujur. “Yang lebih saya cari,” jawab Ali. Dua hari kemudian, Zaki bank in RM500 kepada Haji Jurit yang berada di Teluk Intan. “Ayah pergi hari ini juga ke Kedah,” kata Haji Jurit kepada Ali dalam handphone. “Agaknya bila ayah datang KL?” tanya Ali. “Lusa terus datang dan suruh Ustaz Mukhlis siap sedia untuk buat pertukaran,” kata Haji Jurit. Dua hari kemudian Ali call Haji Jurit tanya perkembangan kunyit hitam. Haji Jurit tak angkat call. Setiap hari Zaki tak putus asa menelefon Haji Jurit. “Sabarlah,” kata Haji Jurit. “Ustaz Mukhlis tanya saya bila sampai kunyit hitam, macam mana saya mahu sabar ayah?” tanya Ali. Cukup seminggu Haji Jurit tak sampai-sampai di Kuala Lumpur dengan kunyit hitam. “Agak-agaknya kita kena tipu dengan Haji Jurit?” soal Zaki. “Takkan Haji Jurit yang tak tinggal solat lima waktu tipu kita?” kata Ali. “Orang yang kuat solat kuat diuji iblis sama ada solatnya itu ok atau tidak,” kata Zaki. “Terkena lagi kita nampaknya,” kata Ali kecewa.