Khamis, Disember 12, 2013

AHMAD SAID TERHARU SIKAP GARDENIA

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa terharu apabila pihak pengurusan syarikat roti Gardenia enggan menerima bayaran roti yang diagihkan kepada mangsa banjir yang terperangkap di negeri itu baru-baru ini. Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu. “Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut. Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois,pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia,” katanya. Minggu lepas, Ahmad Said dianggap sebagai Robin Hood kerana menahan dua buah lori roti untuk diagihkan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir di Chendor. Ada yang menganggap tindakan Ahmad Said itu tidak kena kerana merompak lori roti. Sebaliknya bukan Ahmad Said merompak lori roti tetapi membeli semua roti yang ada dalam dua lori lori roti Gardenia. Beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada orangramai. Lori terbabit yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya enggan membenarkan lori mereka dibuka . Selepas berbicang dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur, beliau kemudiannya membuka lori dan mengagihkanya kepada mangsa yang terperangkap. Tindakan Ahmad itu turut dikongsikan mangsa banjir yang berada di tempat kejadian dan mendapat perhatian di media sosial. FMT difahamkan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pemilik roti Gardenia memang sedekah rotinya sebanyak 600 buah lori setiap bulan kepada fakir miskin, kanak-kanak sekolah di seluruh negara. Sementara itu hampir RM18 ribu berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai kepada mangsa banjir menerusi satu perlawanan bolasepak malam tadi. Wang berkenaan adalah hasil terkumpul menerusi tiket perlawanan amal antara pasukan Terengganu dan T-Team, di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Ahmad turut memuji keprihatinan persatuan bola sepak negeri Terengganu (PBSNT) yang mengambil inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan berkenaan. Hasil kutipan caj tiket berharga lima ringgit dikumpulkan bersama sumbangan peribadi pemain T Team dan pasukan Terengganu khusus membantu mangsa banjir. Selain penonton, pemain kedua-dua pasukan turut menghulurkan sumbangan . Perlawanan berkesudahan dengan keputusan pasukan Terengganu menewaskan T-Team, 2-0. Hasil kutipan sumbangan itu diserahkan oleh presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid untuk disalurkan kepada tabung bantuan bencana banjir. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

JPJ TIDAK DIBERITAHU LORI ANGKUT BARANG UNTUK MANGSA BANJIR

TUMPAT, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bertindak kejam apabila menyaman lori yang dikatakan membawa barangan bantuan banjir seperti yang disebar dalam media sosial baru-baru ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa mendapati lori berkenaan membawa muatan berlebihan tanpa dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir. "Pemandunya langsung tidak memaklumkan yang ia membawa muatan misi kemanusiaan banjir. Sepatutnya pemandu itu memaklumkan keadaan sebenar terlebih dahulu, dan bukannya bertindak mensensasikan keadaan itu di laman sosial," katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Tumpat hari ini. Beliau berkata pihaknya bersedia membatalkan saman itu bagi menamatkan kontroversi berkenaan. Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dinasihat memaklumkan perjalanan mereka kepada JPJ selain menggantung bendera penaja bagi mengelak sebarang masalah. Pada 7 Dis lepas, JPJ didakwa menyaman pemandu sebuah lori yang membawa muatan barangan bantuan banjir seperti pakaian, selimut, beras, gula, susu dan tepung di Tol Gombak, Selangor yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan. Pemandu kenderaan itu didakwa disaman RM150 manakala syarikat lori berkenaan RM450 kerana membawa muatan lebih. Terdahulu, Ismail berkata program MyLesen yang bakal diperkenal April depan akan memudahkan rakyat, khususnya belia bermasalah, untuk mendapatkan lesen motosikal. Beliau berkata ini termasuk membenarkan calon yang gagal beberapa kali dalam ujian berkomputer mengambilnya semula secara bertulis. "Kadar mereka yang gagal dalam ujian berkomputer adalah sangat tinggi kerana ramai yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ini membantutkan usaha mereka untuk memiliki lesen motosikal," katanya. MyLesen menyasarkan kelompok usia 16 hingga 45 tahun, terutama pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendapatkan lesen motosikal yang sah. Ismail juga berkata dengan kadar bayaran RM198 seorang, golongan sasaran diharap mengambil kesempatan mendapatkan lesen apabila program itu diperkenal. -- BERNAMA ZBI SNS SBB

SUAMI NAIB KETUA MUSLIMAT PAS PULAU PINANG ADA HUBUNGAN DENGAN LELAKI

BUKIT MERTAJAM, 12 Dis (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini menetapkan 20 Jan depan untuk Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Rahmah Md Isa memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas suaminya. Hakim Syarie Faiyzan Ahmad menetapkan tarikh itu terhadap permohonan fasakh Rahmah daripada suaminya Zarkasyi Abdullah, 45. Rahmah, 52, membuat permohonan fasakh terhadap suaminya yang berketurunan Acheh dari Indonesia pada Ogos lepas dan mendakwa suaminya itu tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah serta menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Rahmah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang diwakili peguam Sarina Md Zain manakala Zarkasyi diwakili peguam Shazril Khairy Mustafa. Sementara itu, Zarkasyi yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mereka berkahwin sejak 1993 dikurniakan lima anak yang berusia antara sembilan hingga 20 tahun. -- BERNAMA EIY AZE RHM