Sabtu, Oktober 30, 2010

SAPP GUNA ISU KITAR SEMULA


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kempen Sabah untuk Orang Sabah oleh Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan isu lama yang tidak perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata penduduk Sabah hendaklah pandang ke depan memandangkan sudah terdapat ramai dari kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan mahupun swasta.

"Di Kementerian Pelajaran ramai kakitangan pengurusan tertinggi berasal dari Sabah. Ini bermakna orang Sabah mempunyai kemahiran dan mereka sekarang berkhidmat di seluruh Malaysia," katanya dalam ucapan di majlis pemimpin bersama rakyat dengan masyarakat Cina di Kompleks Sukan Sandakan di sini Jumaat malam.

Beliau juga berkata tindakan SAPP melalui Presidennya Datuk Yong Teck Lee yang membangkitkan isu itu semata-mata untuk memancing undi pada hal kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang "Mean Business".

"Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang penting kepada Malaysia tetapi juga merupakan sebuah negeri yang penting dari segi pembangunan ekonomi kepada negara," katanya.

Menyentuh mengenai pilihan raya kecil Batu Sapi, Muhyiddin mahu seluruh jentera pilihan raya BN berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Beliau berkata walaupun tidak ada siapa menyangka pilihan raya kecil itu akan diadakan namun terdapat hikmah di sebaliknya, memandangkan BN dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai pembohongan parti pembangkang.

"Ramai pemimpin parti pembangkang terutamanya PKR telah meninggalkan parti itu kerana mereka tidak percaya dengan kepimpinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

BOLA PUNYA PASAL, KEMPEN PILIHANRAYA DITANGGUH


Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim mencadangkan "gencatan senjata" selama 90 minit pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dengan Kelantan, Sabtu malam.

Beliau berkata, jentera kempen parti yang bertanding perlu bertenang seketika dan memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding.

"Malam ini perlu ada "gencatan senjata" untuk tengok perlawanan akhir, lepas itu kita sambung kembali berkempen," katanya kepada pemberita selepas melepaskan 17 bas yang membawa lebih 700 penyokong bola sepak Kelantan ke Stadium Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN itu, Abdul Aziz Yusoff.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan meminta para penyokong agar tidak mempamerkan kain rentang atau bendera parti politik pada perlawanan akhir itu.

Beliau berkata, elemen politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan sukan.

"Amat menyedihkan kalau dimasuki elemen politik dalam perlawanan akhir ini, yang lebih penting penyokong memberikan sokongan kepada pasukan negeri," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para penyokong agar tidak mengabaikan keselamatan dan menjaga disiplin ketika menyaksikan pertandingan itu.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui berkata, beliau akan bersama-sama penyokong di sekitar DUN Galas bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Beliau meramalkan kemenangan 2-0 pasukan Red Warrior ke atas Negeri Sembilan.

"Malahan bagi mereka yang tidak berpeluang ke Kuala Lumpur, peminat di Galas boleh menyaksikan perlawanan itu di skrin besar yang disediakan BN di dataran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) 8.30 malam ini," katanya.